KOMENTAR 20hb APRIL 1999

Kenyataan Lokman Noor yang tersiar didalam artikel Maha Firaun benar benar menunjukkan kemarahan golongan reformasi kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Abdullah Ahmad Badawi. Golongan Reformasi membantah perbuatan Polis Di Raja Malaysia atas tindakan kasar mereka terhadap Naib Presiden Parti keADILan Nasional Sdr Tian dan Aktivis Reformasi Sdr Malek Hussein. Kemarahan mereka memang berasas memandangkan polis dengan segala kuasa dan alatan kepolisan boleh menangkap tanpa mencederakan golongan reformis. Tindakan kejam Polis dengan melaksanakan kekerasan yang melampau amat membimbangkan rakyat kerana tindakan mereka seolah olah direstui oleh PM dan TPM. Jalan meleraikan demonstrasi masih luas terbuka tetapi alternatif melaksanakan kekejaman telah menjadi lumrah dan seakan senonim dengan nama Polis. Golongan Reformasi berkali kali memohon untuk mengadakan demonstrasi aman tetapi kerajaan seakan takut untuk membenarkannya kerana gusar rakyat akan sedar bahawa sokongan terhadap reformasi begitu menyeluruh dan begitu padu. Belum pernah kita menyaksikan pergolakkan politik sehebat ini dan golakkan ini berkemungkinan akan menjadi tirai pembuka alaf baru bagi Malaysia.

APAKAH DEMONSTRASI AMAN MENGUGAT KESELAMATAN NEGARA?

Demonstrasi aman dan terkawal pada asasnya tidak menggangu keselamatan awam. Kita pernah melihat para demonstrasi bergerak disiarkaki jalan dan melaungkan reformasi tanpa terjadi sebarang kejadian ganas. Kejadian ganas cuma berlaku apabila kita melihat pegawai polis yang hilang kesabaran dan bertindak melebihi dari sepatutnya. Demonstrasi aman tidak akan ketenteraman awam tetapi berkemungkinan menggangu ego dan keutuhan parti pemerintah. Sokongan terhadap reformasilah yang sebenarnya menganggu keharmonian mereka yang memerintah dan mahu mengekalkan pemerintahan. Tindakan Polis yang seakan didokong oleh PM dan TPM menunjukkan betapa takut kerajaan terhadap sokongan padu terhadap Sdr Anwar Ibrahim.

APAKAH LANDASAN SEBENAR GOLONGAN REFORMASI MENYEBARKAN PENDIRIAN MEREKA.

 

Golongan Reformasi semestinya telah mula mengambil langkah membina landasan perjuangan mereka. Ada antara mereka yang memilih PAS , DAP, PRM dan PKN. Penyuaraan pendirian dan sokongan mereka dilaksanakan melalui demonstrasi aman, media internet dan penyampai kabar melalui komunikasi mulut. Setakat ini pihak kerajaan telah menghadkan penyampaian maklumat reformasi melalui media elektronik, cetak dan telekommunikasi maka alternatif para pendokong reformasi amat terhad. Demonstrasi Aman adalah bagi mereka menunjukkan ketidak puasanhati mereka atas tindakan kerajaan terhadap Sdr Anwar Ibrahim. Kerajaan dalam menghadapi demonstrasi ini tidak sedikitpun berusaha membaiki sistem yang sedia ada tetapi bertindak mencurah minyak kepada api yang sedang membara. Kenapa? Kenapa tidak kerajaan menunjukkan bahawa mereka benar benar tulus atas menjalankan tindakan terhadap Sdr Anwar Ibrahim. Mengapa kerajaan tidak menjawab satu persatu persoalan golongan reformasi perihal pemecatan Sdr Anwar. Sebaliknya kerajaan meminta rakyat melupakan episod Sdr Anwar dan terus membantu kerajaan memperbaiki taraf ekonomi.

Sebenarnya mudah KERAJAAN TAHU KESALAHAN MEREKA DAN TAHU BAHAWA KONSPIRASI INI WUJUD. DEMI MENJAGA KEPENTINGAN MASING MASING MEREKA TERPAKSA MEMATIKAN SEMANGAT REFORMASI DENGAN MENAKUT NAKUTKAN RAKYAT MALAYSIA. INIKAH KERAJAAN YANG DIKATAKAN ADIL?

WAJARKAH REFORMASI BERTUKAR HALA KEPADA REVOLUSI

Sdr Lokman Noor telah mula dengan beraninya menyuarakan hasrat golongan mereka untuk menukar arah perjuangan mereka dari menuntut reformasi secara aman kepada perjuangan secara revolusi. Sdr Lokman amat kecewa atas tindakan polis dan membaca kenyataan beliau jelas kemarahan ini telah sampai ke kemuncaknya. Beliau telah memberi amaran secara terbuka untuk bertindak dan tindakan beliau dalam mengadakan revolusi adalah bagi membalas dendam terhadap kekejaman polis dan pihak kerajaan khususnya PM dan TPM yang merestui tindakan ini. Apakah wajar diadakan revolusi? Apakah mengadakan revolusi merupakan jalan penyelesaian yang terbaik. Apakah kerajaan dengan sikap degil mereka akan tunduk pada amaran ini. Apa sesudah revolusi?

 

Bicara revolusi adalah bicara yang serius. Jelas kita lihat bahawa tuntutan Sdr Anwar Ibrahim tidak menghala kita kepada revolusi tetapi lebih kepada tuntutan reformasi yang aggresif tetapi mengikuti lunas dan batasan perundangan. Dr Wan Azizah turut menyatakan bahawa keganasan BUKAN desakan Parti keADILan Nasional. Revolusi yang menjadi amaran oleh Lokman Noor tidak wajar dilaksanakan kerana ini merugikan bangsa kita sendiri baik penyokong keADILan mahu pun mereka yang bersekedudukan dengan anggota konspirasi. Kekuatan kita seharusnya datang dari penyatuan dan penyatuan ini semestinya diperkukuhkan. Tidak siapa yang dapat menghalang kejayaan kita sekiranya kita berusaha dan bertindak bersama menguguhkan perpaduan antara parti pembangkang yang sekarang telah menjadi kerajaan alternatif pilihan. Keutuhan PKN, PAS ,PRM dan DAP akan menjadi formula utama bagi membentuk kerajaan. Tindakan revolusi akan melewatkan perubahan kerana sebarang bentuk tindakan ala revolusi akan melemahkan sokongan rakyat kepada kerajaan alternatif. Walau apa pun kami percaya Sdr Lokman Noor terlalu marah melihat rakan mereka didera dan dikasari. Kami percaya Lokman Noor boleh mampu menumpukan usahanya dalam mengerakkan parti PKN yang menjadi landasan sokongan Reformasi. Kami percaya Lokman dengan sikap beraninya akan dapat menumpukkan usahanya sepenuhnya kepada pembangunan PKN.

 

SDR LOKMAN MARI KITA TENTUKAN KEJAYAAN UNTUK SEMUA TANPA MENGIKUTI RENTAK TARIAN DR MAHATHIR DAN KUNCUNYA YANG MENYANJUNGI KEKERASAN, KEKEJAMAN DAN KEZALIMAN