Make your own free website on Tripod.com

PERISYTIHARAN ADIL

(PERGERAKAN KEADILAN SOSIAL)

Sesungguhnya, sesudah saya sendiri merasai betapa besarnya azam dan iltizam rakyat menuntut supaya dilakukan perubahan-perubahan besar di negara ini demi mencipta sebuah masyarakat madani,

dan;

demi cita-cita mewujudkan sebuah negara yang berdaulat, mulia, bermaruah dan berprinsip,

dan;

demi mencipta masyarakat Malaysia yang aman, tenteram, harmoni dan sejahtera,

dan;

di atas keyakinan bahawa semua itu dapat dicapai hanya apabila terdapat keadilan,

maka;

didorong oleh rasa prihatin di atas desakan rakyat yang menuntut keadilan, dengan ini saya maklumkan penubuhan sebuah pertubuhan yang dinamakan PERGERAKAN KEADILAN SOSIAL dengan nama singkatnya "ADIL".

ADIL akan segara didaftarkan mengikut peruntukan-peruntukan di dalam Akta Pertubuhan 1966 (Pindaan 1984).

ADIL akan menjadi wadah bagi menyatukan semua golongan rakyat yang inginkan pembaharuan dan reformasi politik, ekonomi dan sosial berdasarkan lunas-lunas perlembagaan dan undang-undang berdasarkan keadilan sosial.

ADIL akan bergerak secara aman, dan ADIL menolak semua bentuk kekerasan.

ADIL akan menyakinkan rakyat bahawa negara ini tidak memerlukan sebarang undang-undang lapuk ciptaan penjajah yang menyekat keadilan, keseimbangan politik dan ekonomi, serta hak-hak asasi manusia. ADIL akan berjuang menegakkan sebuah sistem kehakiman yang bebas dan telus.

ADIL berpegang kepada prinsip demokrasi yang berdasarkan kedaulatan undang-undang.

ADIL akan mendaulatkan kuasa rakyat dengan menggunakan proses-proses demokrasi.

ADIL akan mengamalkan prinsip-prinsip yang bertanggungjawab, telus dan terbuka kepada suara rakyat demi menjaga amanah rakyat.

Oleh itu, dengan sukacitanya saya memaklumkan objektif ADIL adalah seperti berikut:

- Memuliakan kedudukan manusia dalam segala urusan mentadbir masyarakat dan negara.

- Memberi kemerdekaan yang bererti kepada setiap rakyat.

- Melaksanakan keadilan bagi semua kelompok dan lapisan masyarakat.

- Menegakkan institusi-institusi undang-undang dan kehakiman yang bebas, telus dan luhur.

- Mengukuhkan jatidiri bangsa dan budaya Malaysia yang dinamis dan progresif.

- Menguatkan lagi tradisi persaudaraan, persefahaman dan kerjasama di antara setiap kelompok dan lapisan masyarakat.

 

Pada peringkat awal ini, ADIL menumpukan usaha kepada aktiviti berikut:

- Meningkatkan kesedaran rakyat terhadap apa yang disebut sebagai hak asasi manusia, hak-hak warganegara dan perlindungan undang-undang.

- Membela nasib tiap-tiap individu ataupun kumpulan yang pada masa ini sedang dianiayai oleh perbuatan mencabuli undang-undang.

- Mengumpulkan maklumat berkenaan kes-kes pencabulan undang-undang.

- Menyeleraskan usaha oleh pelbagai pihak yang sedang membela mereka yang teraniaya di sisi undang-undang.

- Meningkatkan kefahaman rakyat berkenaan isu-isu semasa peringkat tempatan, nasional dan antarabangsa.

- Memperjuangkan supaya kekayaan negara diagihkan secara merata, supaya peluang-peluang ekonomi diberikan secara adil, dan menyelesaikan krisis ekonomi.

- Membela maruah dan kedaulatan negara, memartabatkan bahasa kebangsaan, menyemarakkan kehidupan beragama, nilai moral dan etika.

ADIL adalah sebuah Pergerakan bertaraf nasional, dan dengan demikian ADIL akan menubuhkan cawangannya di seluruh negara. ADIL membuka pintunya kepada semua individu yang berkongsi cita-cita dan idealisme.

ADIL mempelawa semua individu yang berusia 18 tahun ke atas, daripada semua kaum, agama dan kepercayaan menjadi ahli.

Dengan ini ADIL mengajak semua golongan dalam masyarakat termasuk para ulamak, para pemimin agama, ilmuwan, golongan profesional, ahli-ahli politik, para aktivis budaya, seniman, ahli-ahli korporat, para pekerja, pegawai-pegawai kerajaan, peniaga kecil, penjaja, petani, nelayan, belia dan suri rumah menjadi ahli ADIL.

Kami menggesa kerajaan mendaftarkan ADIL dan jangan menggunakan alasan politik sempit untuk menafikan hak rakyat berorganisasi.

Kami juga menggesa kerajaan supaya menghentikan penangkapan di bawah ISA serta penggunaan ugutan dan intipan terhadap rakyat yang menuntut keadilan dan hak-hak asai manusia.

Kami berdoa moga-moga Tuhan memberi taufik dan hidayahNya kepada ADIL dan menolong kami melaksanakan tujuan kami menubuhkan ADIL.

Dr. Wan Azizah bte. Dr. Wan Ismail

Pengerusi Jawatankuasa Penaja ADIL