Make your own free website on Tripod.com

DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DIKUALA LUMPUR

(BAHAGIAN JENAYAH-PERMOHONAN JENAYAH PELBAGAI)

PERBICARAAN JENAYAH WILAYAH PERSEKUTUAN NO 45-51-98

(Dalam MahkamahSesyen Kuala Lumpur Kes Tangkap No 1-62-145-98)

 

PENDAKWA RAYA

 

LAWAN

 

DATO SERI ANWAR IBRAHIM

 

Saya, Anwar Ibrahim (No K/P 470810-07-5095) seorang warganegara Malaysia yang cukup umur dan kini seorang banduan di Penjara Sungai Buloh, Sg Buloh, Selangor Darul Ehsan, dengan sesungguhnya mengaku dan berikrar bahawa:-

 

  1. Saya adalah tertuduh dalam perbicaraan jenayah ini.
  2. Melainkan dinyatakan sebaliknya, fakta-fakta yang disebutkan di sini adalah dalam pengetahuan saya dan dipercayai benar.
  3. Saya telah dikenakan dengan satu pertuduhan seperti berikut”

 

“Bahawa kamu,pada satu malam diantara bulan Januari hingga Mac 1993, lebih kurang jam 7.45 malam, di Unit No 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan sengaja melakukan persetubuhan aturan tabii dengan Azizan Abu Bakar dengan memasukkan zakar kamu ke dalam duburnya dan oleh yang demikian kamu telah melakukkan satu kesalahan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.”

  1. Pembelaan saya antara lain ialah bahawa pertuduhan yang dikenakan terhadap saya adalah satu fabrikasi keterangan bagi melaksanakan satu konspirasi politik yang jahat dan jijik untuk menjatuhkan saya daripada pimpinan parti dan negara.
  2. Di antara mereka yang boleh dengan jelas dan nyata membuktikan pembelaan saya ini dan selanjutnya membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa saya tidak bersalah ataspertuduhan tersebut ialah Dato Seri Dr mahathir Mohamed (“kemudian daripada ini disebut sebagai Dr Mahathir”),yang pada masa berkaitan adalah Presiden Parti UMNO (sementara saya adalah Timbalan Perdana Menteri).
  3. Mahkamah telah memerintahkan saya supaya memfailkan suatu Affidavit untuk memberi fakta dan alas an mengapa keterangan Dr Mahathir adalah relevan. Saya dinasihatkan dan sesungguhnya mempercayai bahawa perintah tersebut secara langsung akan mendedahkan strategi dan maklumat yang ada kepada pasukan pembelaan dan secara tidak langsung membocorkan kepada Dr Mahathir soalan-soalan serta isu yang akan ditanya dalam pemeriksaan utama dan/atau pemeriksaan balas. Pendek kata, Dr Mahathir adalah satu-satunya saksi yang saya percaya diberikan keistimewaan untuk memperolehi keterangan lengkap dan diberi maklum mengenai isu dan fakta yang akan ditanya kepadanya sebelum beliau dating ke Mahkamah untuk memberi keterangan sekiranya dibenarkan oleh Mahkamah.
  4. Bagaimanapun disebabkan perintah Mahkamah, saya terpaksa mematuhinya walaupun saya sesungguhnya mempercayai adalah cukup jelas dan nyata didalam kes ini bahawa keterangan-keterangan saksi-saksi samada bagi pihak pendakwa mahupun pihak pembela membuktikan tanpa sebarang keraguan betapa penglibatan Dr Mahathir dalam kes ini adalah cukup jelas dan relevan. Malahan Dr Mahadir telah merayau keseluruh pelusuk dunia dengan membuat kenyataan-kenyataan kepada media elektronik dan cetak dan di segala forum dan persidangan peringkat dunia , serantau dan tempatan dengan dakwaan-dakwaan dan tohmahan-tohmahan terhadap saya khususnya mengenai salahlaku seks termasuk berkaitan kes pendakwaan yang sedang saya hadapi.
  5. Oleh yang demikian , saya mengatakan bahawa berdasarkan fakta-fakta dan insiden-insiden yang terkandung dalam perenggan-perenggan berikut, keterangan yang akan diberikan oleh Dr Mahathir adalah relevan dan akan menyokong pembelaan saya dan membuktikan dengan jelas dan tanpa sebarang keraguan bahawa saya adalah mangsa satu konspirasi politik yang dengan jahat dan dengan secara jijik merekacipta dan mengada-adakan keterangan/bukti untuk memalukan,mengaibkan dan menjatuhkan saya.
  6. Pada24hb Ogos 1997 Dr Mahathir telah membuat satu kenyataan media yang diantara lain, menyatakan bahawa:

 

a)                  Tuduhan-tuduhan salahlaku seks seperti yang ditohmah didalam surat Ummi Halfida termasuk yang berkaitan dengan Azizan Abu Bakar adalah fitnah dan tidak berasas.

b)                  Dr Mahathir juga menegaskan bahawa semua tuduhan tersebut termasuk seperti pertuduhan yang saya hadapi ini tiada kebenaran sama sekali dan merupakan fitnah semata-mata.

c)                  Dr Mahathir juga menegaskan kes itu sudah ditutup.

Saya memohon kebenaran merujuk kepada Eksibit-Eksibit berkaitan dengan kenyataan umum Dr Mahathir yang dikemukan kepada MAhkamah ini.

  1. Saya sesungguhnya yakin dan percaya bahawa Dr Mahathir mempunyai banyak maklumat dan bukti untuk menunjukkan bahawa saya sememangnya tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan terhadap saya.Oleh itu adalah penting bagi pembelaan saya untuk Dr Mahathir hadir ke Mahkamah untuk memberi keterangan dan mengemukkan bukti menyokong kenyataan medianya.
  2. Saya ingin menegaskan bahawa saya telahpun memberikan keterangan berkaitan kenyataan Dr Mahathir tersebut. Malahan saksi-saksi pembela termasuk wartawan seperti Pn Siti Mariam Md Zin (Utusan Malaysia) dan R.Sivabalan (Bernama) telahpun memberi keterangan mengenai kenyataan akhbar Dr Mahathir seperti yang dinyatakan diperenggan 10 diatas dan keterangan-keterangan tersebut langsung tidak dicabar atau dipertikaikan oleh pihak pendakwa. Itu sahaj pun sudah cukup untuk membuktikan tanpa sebarang keraguan langsung bahawa saya sememangnya tidak bersalah dalam tuduhan yang direkacipta terhadap saya di Mahkamah ini.
  3. Selanjutnya Dr Mahathir juga telah membuat kenyataan umum bahawa:

a)                  dakwaan terhadap saya tidak akan mencemarkan imej saya melainkan orang begitu bodoh untuk mempercayai tuduhan yang tidak masuk akal itu.

b)                  Menegaskan bahawa tohmahan terhadap saya adalah fitnah semata-mata,bahkan ada tujuan politik disebalik tuduhan dan tohmahan yang dibuat terhadap saya.

c)                  Menyatakan tuduhan dan tohmahan terhadap saya dibuat untuk memastikan say tidak mengantikan beliau sebagai Perdana Menteri.

d)                  Menuduh bahawa tohmahan terhadap saya adalah suatu usaha untuk mensabotaj walhal siasatan mendapati tidak ada bukti terhadap tuduhan itu.

  1. Selanjutnya ,mengikut urutan peristiwa pada tahun 1997, Dr Mahathir dapat membantu menerusi keterangan bagi:

 

i.                     mengesahkan bahawa surat yang dikatakan ditandatangani oleh Ummi Halfida bertarikh 5hb Ogos 1997 bertajuk”Perihal salahlaku TPM” telah disampaikan kepada beliau oleh Megat Junid Megat Ayub. Surat tersebut mengandungi tohmahan salahlaku seks dan pengakuan Azizan Abu Bakar mengenai tohmahan liwat. Saya memohon kebenaran metujuk Eksibit IDD.20 dan IDD.20A dan menerimapakainya disini.

ii.                   Menegaskan bahawa surat tersebut telah diserahkan berikutnya kepada saya dengan pesanan”ignore such irresponsible dan malicious allegations” dan “read dan destroy”. (meminta saya mengenepikan tuduhan liar dan tidak bertanggungjawab, dan supaya saya membaca dan memusnahkan surat tersebut)

iii.                  Mengakui menerima surat/lapuran Dato Said Awang, Pengarah Cawangan Khas masa itu mengenai siasatan terhadap tohmahan kepada saya. Dan bahawa tohmahan tersebut tidak berasas; Ummi dan Azizan menyesal dan memohon maaf;terdapat kalangan tertentu lainnya yang turut terlibat termasuk seorang bekas pegawai polis yang menyamar sebagai pegawai JPM dan bahawa siasatan tidak perlu diteruskan lagi. Saya mmohon kebenaran merujuk Eksibit IDD.23 dan menerimapakainya disini.

iv.                 Mengakui menerima surat-surat dari Ummi dan Azizan bertarikh 18 Ogos1997 yang memohon maaf dan menyesali tindakan mereka serta mengaikkan nama-nama Dato Aziz Shamsuddin dan Ziela Jalil (isteri kedua Dato Megat Junid)

  1. Mengesahkan Encik Mohd Azim Ali menerumi beliau pada 13 haribulan Ogos 1997 berkaitan dengan surat Ummi dan Azizan Abu Bakar dan memberitahu Dr Mahathir bahawa Dato Megat Junid Megat Ayub dan Dato Aziz Shamsuddin bertanggungjawab atas surat tersebut. Seterusnya Encik Mohd Azmin Ali ada memaklumkan kepada saya bahawa di dalam pertemuannya dengan Dr Mahathir itu,beliau ada memberitahu Dr Mahathir bahawa Dato Seri Megat Junid Megat Ayob ada memberikan kontrak besar dari “PEMADAM” kepada Ummi dan sebagai sogokkan, Ummi ada membayar wang sebanyak RM 30,000 sebulan kepada Ziela bt Jalil,isteri kedua kepada Megat Junid Megat Ayob.
  2. Pada 31hb Ogos 1997, setelah tersiarnya penafian beliau terhadap kabar-kabar angin terhadap saya dan memberi amaran bahawa penyebar khabar angin wajar ditembak,saya telah diberitahu oleh Dr Mahathir di Sri Perdana bahawa beliau kesal dengan penglibatan Dato Aziz Shamsuddin dan telah memberikan amaran keras kepada beliau.
  3. Sesungguhnya,kenyataan-kenyataan Dr Mahathir tersebut jelas menyokong pembelaan saya bahawa memang sebenarnya wujud satu konpirasi politik yang kotor dan jijik untuk menjatuhkan saya dengan didalangi oleh orang-orang tertentu yang akan saya nyatakan selanjutnya daripada ini.
  4. Dr Mahathir juga dapat membantu Mahkamah menjelaskan perkembangan yang berlaki pada thaun 1998 yang menyebabkan beliau menukar fikiran secara mendadak dan drastil dan mengugut untuk bertindak menyingkir dan mendakwa saya diatas tuduhan seperti tahun 1997.
  5. Perkara tersebut telah saya ketahui apabila dimaklumkan oleh Tun Daim Zainuddin pada 12 Ogos 1998 bahawa Tan Sri Mohtar Abdullah, Peguam Negara telah berbincang dengan beliau mengenai cadangan pendakwaan terhadap. Saya terus kepejabat Dr Mahathir dan meminta penjelasan dari beliau. Beliau juga akan diminta mengesahkan bahawa beliau ada menalipon Peguam Negara dihadapan saya pada sekitar jam 9.15 pagi yang mengarahkan pendakwaan terhadap Dato’ Nallakarupan dan Khalid Jefri(pengarang buku 50 dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM) tetapi akan berbincang semula dengan Tan Sri Mohtar mengenai pendakwaan terhadap saya. Pada masa itu saya sudah yakin bahawa semua tindakan yang berkaitan dengan saya, Dr Mahathir sendiri yang mengeluarkan arahan. Lain-lain pegawai termasuk Peguam Negara sekadar mematuhi arahan.
  6. Dr Mahathir juga diminta menjelaskan perbincangan yang berlaku dengan saya. Saya telah menyatakan bahawa setelah lapuran polis dan tindakan sivil dibuat oleh saya berhubung dengan Buku 50 dalil,Peguam Negara menyatakan bahawa tohmahan terhadap saya adalah fitnah dan tidak berasas. Tan Sri Rahim Noor , Ketua Polis Negara pada masa itu juga menjelaskan kepada saya bahawa penyiasatan polis mendapati tohmahan tersebut sebagai”rubbish dan hambar”. Bila saya minta penjelasan dari Dr Mahathir,beliau menyatakan belum dapat maklumat. Saya mencelah kalu begitu,mengapa mengambil tindakan melali pakatan Daim?
  7. Terdapat banyak perbincangan diantara saya dan Dr Mahathir dipejabat Perdana Menteri dan di Seri Perdana diantara 12 Ogos dan 2 September 1998. Beliau curiga kerana saya disyaki akan mencabar beliau sebagai Presiden UMNO pada tahun1999;lebih-lebih lagi kerana suara-suara yang lantang dalam Perhimpunan Agung UMNO 1998 mempersoalkan rasuah,kronisma dan nepostisma.Perkara tersebut perlu dijelaskan oleh Dr Mahathir kerana perubahan sikap beliau,dengan alas an-alasan yang akan saya kemukakan menyebabkan Dr Mahathir terlibat dengan konspirasi untuk menjatuhkan saya.
  8. Saya jelaskan kepada Dr Mahathir dalam pertemuan-pertemuan tersebut:

i.                     adalah tidak benar saya merancang untuk mencabar beliau sebagai Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agung 1999. Dr Mahathir menjawab ramai orang memberitahu saya sebaliknya.

ii.                   Saya tidak mengarahkan BPR untuk menyiasat Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, atau Bahagian Pengswataan Jabatan Perdana Menteri (dibawah tanggunjawab Perdana Menteri) pada bulan Julai-Ogos 1998. Dr Mahathir marah dan menyatakan kepada saya apakah BPR akan menyiasat ke pejabat dan rumahnya?

iii.                  Memang benar saya bersama Petronas tidak setuju dengan cadangan “bail-out” langkah menyelamatkan Syarikat Konsortium Perkapalan sebanyak 2 billion dimana anaknya Mirzan memegang ekuiti utama. Dr Mahathir menyatakan sengaja mempersulitkan keputusan perniagaan biasa. Dr Mahathir juga mengungkit bahawa syarikat-syarikat anak-anaknya tidak harus dihalang dari mendapat kemudahan. Saya menjawab mereka mendapat terlalu banyak kontrak dan kepentingan ; dalam pengswataan.kontrak,saham dan lain-lain.

iv.                 Kami berbahas dengan tegang mengenai peranan Daim dalam kerajaan terutama usaha memulihkan ekonomi. Saya ingatkan Dr Mahathir apa yang telah beliau ucapkan kepada saya sebelumnya; bahawa Daim adalah perasuah,mengaut kekayaan semasa menjadi Menteri Kewangan. Beliau menjawab sekaran Daim tidak lagi begitu.Saya berikan contoh bagaimana Daim mengumpulkan wang dan saham dengan mengingatkan semula surat dari tiga tokoh koprat Tan Sri Wan Azmi Hamzah, Tan Sri Halim Saad, dan Tan Sri Tajuddin Ramli. Begitu juga dari maklumat Anuar Osman diman ratusan juta saham diambil oleh Daim kononya untuk UMNO. Sebahagian besar dari wang tersebut ialah saham agihan syarikat perjudian Resorts World. Saya mohon rujuk lapuran polis yang dikemukkan dalm Mahkamah dan menerimapakainya disini.

v.                   Mengenai projek Empangan Bakun, Dr Mahathir berkera mahu meneruskan projek tersebut. Saya jelaskan bahawa penglibatan syarikat anaknya untuk memasang kabel laut tidak mungkin diteruskan. Setelah projek itu ditangguhkan/batalkan pada Ogos 1998,beliau mengarahkan supaya saya membayar ganti rugi yang tinggi kepada Tan Sri Ting Pek Khing. Saya enggan dan menyatakan jumlah sebenar mesti disahkan oleh juruodit Price Waterhouse. Saya merujuk kepada arahan Dr Mahathir dan surat Tan Sri Ting Pek Khing kepada Dr Mahathir dan Daim bila perbicaraan kelak.

vi.                 Dalam ketegangan ketika itu,siasatan BPR dan pengurusan Perwaja oleh Price Waterhouse juga diungkit oleh Dr Mahathir. Saya jelaskan bahawa siasatan terpaksa dilakukkan kerana kerugian dan tanggungan RM 6 billion ringgit. Saya akan merujuk kepada dokumen berkaitan dan mengemukkan kepada Mahkamah dalam perbicaraan kelak.

  1. Manakala peranan Daim dalam konspirasi lebih ketara lagi,saya bantah kepada Dr Mahathir kerana alas an bahawa Daim nyata punyai banyak kepentingan. Pertam beliau mempunyai Bank International Bank of Malaysia yang sedang disiasat oleh Bank Negara Malaysia kerana beberapa penyelewengan yang berlaku. Kedua , terdapat lapuran Bank Negara Malaysia bahawa Daim didapati membawa lari jumlah wang yang bear keluar negara. Saya juga kemukkan lapuran pegawai imigresen tentang penyalahgunaan pesawat peribadi Daim dan ruang VIP Lapangan Terbang Subang untuk membawa masuk pelacur-pelacur asing. Dr Mahathir mengenepikan semua kenyataan tersebut dengan menyebut: “ I know how to deal with these things”( saya tahu bagaimana mengendalikkan perkara ini)
  2. Saya membantah keras kepada Dr Mahathir bila Daim menyebut isu rasuah dan moral pada 12 Ogos. Saya mencabar beliau mengemukkan bukti rasuah terhadap saya. Walhal beliau selama ini melindungi perasuah yang nyata seperti dalam keterangan surat mengenai Daim,kertas pendakwaan Jabatan Peguam Negara dan BPR terhadap Dato Seri Rafidah Aziz dan Tan Sri Rahim Thamby Chik. Bila Dr Mahathir membebel menyatakan sukar dibuktikan, saya menyatakan bahawa ramai kalangan yang mula mempersoalkan samada Dr Mahathir sendiri adalah perasuah dan bersengkongkol dengan perasuah terutamanya DAIM.
  3. Manakala soal moral dibangkitkan,saya dengan tegas menafikannya sebagai fitnah mengikut rancangan para konpirator politik. Saya menyatakan kepada Dr Mahathir bahawa saya kesal bahawa orang yang saya Bantu dan sokong selama ini sanggup memfitnah jahat seperti itu semata-mata untuk kepentingan politik. Saya katakana mustahil direkacipta bukti. Tetapi janganlah peralatkan polis, jabatan peguam negara atau badan kehakiman. Dr Mahathir menjawab bahawa beliau ada menerima tuduhan. Saya katakana Dr Mahathir sendiri terlibat dengan pelbagai tuduhan salahlaku seks dan menyebut nama beberapa wanita melayu dan cina termasuk dua wanita bekas pesakit beliau.Maka dengan sinis saya bertanya,sejak bila ada syarat baru untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri atau Perdana Menteri bahawa tidak boleh terlibat dengan salahlaku seks? Beliau tidak berani menjawab dan hanya menyatakan bahawa “you lain sebab you terkenal sebagai orang beragama”( You’re different,you are known to be religious). Saya terima syarat itu tetapi tegaskan jangan rekacipta dan fitnah.
  4. Pada masa itu, Buku 50 dalil terus disebar luas sejak Perhimpunan UMNO walupun saya telah memperolehi perintah injunksi melarang pengedaran buku tersebut.Dihadapan Dr Mahathir saya menuduh Daim, Aziz Shamsuddin terlibat dengan pengetahuan beliau;lebih-lebih lagi buku-buku tersebut diedar dari sekitar pejabat beliau. Beliau tidak menafikan tetapi sekadar menyatakan beliau kurang pasti.
  5. Oleh kerana bantahan saya lebih kerap dan keras,serta tuduhan saya bahawa Dr Mahathir kian terlibat yang menyebabkanpihak polis dan Peguam Negara mengambil sikap berbeda; Dr Mahathir menyatakan saya boleh menjawab kalau mahu. Pada hal pada masa itu saya masih belum mendapat maklumat mengenai sebarang pertuduhan secara spesifik. Walaubagaimanapun, saya tetap menulis kepada Dr Mahathir tentang konspirasi politik,peranan polis yang mula menekan dan memaksa saksi-saksi termasuk Datuk Nallakarupan dan amsal PeguamNegara. Saya akan merujuk surat-surat saya bertarikh 25 gos dan 28 Ogos 1998 kepada Dr Mahathir yang telah dikemukakan sebagai Eksibit. Takkala menyerahkan surat-surat tersebut secara peribadi kepada Dr Mahathir,saya mengulangi rasa kesal kerana beliau kelihatan bersama dengan pakatan dalam konspirasi jahat dan memperalatkan polis dan jabatan peguam negara.
  6. Saya juga bangkitkan kepada Dr Mahathir keterangan-keterangan baru yang saya perolehi menunjukkan pejabat beliau dan Aziz Shamsuddin terus terlibat. Raja Kamaruddin, bekas komando yang ditugaskan untuk melaksanakan konsipirasi jahat ini telah melapurkan pakatan dengan Dato Aziz Shamsuddin untuk membunuh karier politik saya. Dr Mahathir sekadar menjawab” Saya tidak tahu”. Saya sebut lapuran daripada Azmin Mohd Ali dan Baginda (Norazman) tentang kenyataan Ummi bahawa beliau telah memberi pengakuan kepada Dr Mahathirbahawa beliau akan “membunuh” dan membunuh karier politik Anwar. Seklai lagi Dr Mahathir menyatakan Saya tidak tahu.
  7. Saya senaraikan urutan peristiwa, perbincangan berulangkali dengan Dr Mahathir untuk menunjukkan bahawa Dr Mahathir telah begitu marah kepada saya , menganggap saya sebagai pencabar dan pengancam kedudukkan dalam parti dan kerajaan;terutama kerana merasa tergugat dan tersinggung kerana masalah rasuah dan perbedaan pendapat dalam pendekatan ekonomi,agama dan ulama dan dasar politik. Ini telah menyebabkan sikap permusuhan yang nyata dalam beberapa bulan sebelum saya dipecat. Saya juga yakini bahawa Dr Mahathir terlibat dengan mengeluarkan arahan kepada polis,jabatan peguam negara dan lain-lain jentera kerajaan untuk mengancam kedudukan saya dengan merekacipta tuduhan terhadap saya.
  8. Hal ini disahkan dalam pertemuan saya dengan Dr Mahathir pada 2 September 1998 jam 12.45 petang. Beliau meninta saya meletak jawatan,dan mengugut bahawa jika tidak saya akan didakwa.(resign or I’ll charge you). Saya membantah dengan menyatakan, “Saya tidak bersalah. Jangan memfitnah bagi meneruskan agenda politik kamu. Kamu yang siasat, kamu yang buat tuduhan dan kamu menghukum. Kamu gunakan polis, jabatan peguam negara dan badan kehakiman”. Saya kemudian ulangi: Im innocent (saya tidak bersalah). Saya tidak akan meletak jawatan. Saya akan pertahankan hak dan kebenaran saya. Its going to be messy (keadaan akan menjadi rumit). Walaubagaimanapun,saya akan berbincang dengan Azizah.
  9. Berdasarkan semua penyataan-penyataan diatas,saya sesungguhnya percaya dan yakin bahawa Dr Mahathir mempunyai maklumat-maklumat khusus berkaitan dengan pertuduhan saya didalam kes ini.
  10. Saya juga memohon kebenaran Mahkamah untuk merujuk kepada semua Exhibit yang berkaitan untuk rujukkan dan sokongan kepada Affidavit saya ini. Saya juga akan mengemukakan kepada Mahkamah lain-lain dokumen dan keternagan apabila saya perlu kelak.
  11. Saya juga sesungguhnya percaya dan yakin bahawa keterangan-keterangan Dr Mahathir berserta bukti dan maklumat yang ada pada beliau tanpa sebarang keraguan sangat relevan kepada pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan terhadap saya didalam perbicaraan ini.
  12. Oleh itu,saya menegaskan bahawa Dr Mahathir wajib dipanggil memberi keterangan sebagai saksi bagi membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa pertuduhan dan pendakwaan terhadap saya adalah hasil rekacipta oleh mereka yang mendalangi satu konspirasi yang paling kotor dan jahat untuk menjatuhkan seorang pemimpin pilihanrakyat.

 

 

KLIK SINI UNTUK MELIHAT TANDATANGAN DAN BUKTI FAIL KEMAHKAMAH