Make your own free website on Tripod.com
From: Sekretariat GERAK <sekretariat@gerak.org>

KENYATAAN MEDIA

Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) menegaskan bahawa rakyat
berhak mengadakan perhimpunan secara aman dan pihak polis harus
menghormati hak rakyat yang diperuntukkan oleh perlembagaan.  Seandainya
apa jua berlaku akibat daripada kekerasan dan penafian hak rakyat untuk
berhimpun secara aman maka YAB Dato Sri Dr Mahathir-lah seharusnya
dipertanggungjawabkan.

Meski pun GERAK tidak terlibat dengan penganjuran perhimpunan yang
berlaku di Kg Baru pada 24 Oktober 1998 namun GERAK merakamkan segala
kejadian tersebut adalah akibat provokasi pihak keselamatan terutamanya
pihak polis. Perhimpunan tersebut telah dimulakan secara aman di Masjid
Jame' Kg Baru.  Polis telah menggunakan kekerasan melampau sehingga
banyak harta benda dimusnahkan dan orang ramai tercedera. Ini telah
membangkitkan kemarahan dan ketegangan  di antara pihak polis dan mereka
yang terlibat dalam perhimpunan.

Ramai orang telah menyaksi polis berperangai provokatif dengan
memusnahkan motor-motor di tepi jalan, ada motor yang ditolak ke dalam
longkang, orang yang sedang makan di warung dipukul dan ditangkap polis,
gelas, meja dan  kerusi  dirosakkan. Seramai lebih dari 200  orang
telah ditangkap secara borong.

GERAK amat-amat mengesali atas kecederaan dan kemusnahan harta benda
awam yang dilakukan oleh polis dengan cara yang kejam, ganas dan tidak
bijak sama sekali. Kita menyeru pihak berkuasa untuk mewujudkan sebuah
Jawatankuasa Penyiasat yang bebas untuk menyelidik secara teliti
kejadian ini.

GERAK menyeru orang ramai yang terlibat dalam perhimpunan tetap bersabar
dan mengelakkan daripada sebarang keganasan dalam perjuangan menegakkan
keadilan. Pada masa yang sama polis diperingatkan supaya menjalankan
tugas dengan penuh displin dan menngunakan kuasa dan budi bicara mereka
dengan bijaksana dan keprihatinan. Kekerasan dan kekejaman harus
dielakkan sama sekali.

GERAK menggesa pihak kerajaan untuk memulakan satu dialog dengan rakyat
termasuk  parti-parti politik dan NGO demi perpaduan dan menghormati hak
asasi  rakyat.

GERAK tetap akan menghantar satu memorandum kepada Menteri Dalam Negeri
bagi membantah penafian hak rakyat untuk berhimpun secara aman seperti
yang diizinkan dalam Perlembagaan Perkara 10 (1). GERAK meyakini bahawa
inilah punca utama apa yang berlaku  ketegangan  akhir-akhir ini.
 
 

MAJLIS GERAKAN KEADILAN RAKYAT MALAYSIA
25 Oktober 1998