UMNO

BILA RETAK MEMBAWA BELAH

 

Komentar 22hb April 1999

 

UMNO telah mula retak. Dalam menuju ke alaf baru UMNO tidak tentu dapat berdiri seteguh mana mereka berdiri sebelum ini. Malahan indikasi awalan menujukkan tanda tanda kelumpuhan UMNO bakal tiba. Sokongan ahli UMNO terhadap parti mereka semakin pudar. Penghalang mereka untuk terus menyuarakan bangkangan terhadap UMNO adalah ancaman ancaman dan tindakan keras mereka kepada golongan anti kerajaan. UMNO telah mula sensitif. Sebarang kritikan diiktiraf mereka sebagai propoganda anti kerajaan. Pengkritik akan dikategorikan sama dengan golongan komunisma dan tindakan Akta Keselamatan Dalam Negeri akan dikenakan. Perbuatan dan kepimpinan mereka jauh terpesong dari apa yang mereka laung laungkan. Pemerintahan Demokrasi yang menjadi landasan sokongan rakyat Malaysia mula tercalar akibat perbuatan mereka. Walau apa pun UMNO tetap mengaku bahawa mereka adalah pendokong demokrasi yang paling baik didunia. Sudah semestinya mereka yang terbaik kerana mereka adalah penilainya. Apabila nilaian yang dibuat oleh rakyat jelata tidak menepati kehendak UMNO maka penilai akan dilemparkan dengan tuduhan anti kerajaan, tidak tahu berterima kasih dan tindakan semaksima akan dikenakan. Inilah demokrasi UMNO. Inilah yang dikatakan mereka sistem pemerintahan demokrasi. Demokrasi yang mengikuti lunas dan kehendak mereka. Demokrasi yang jauh berbeza dari nilai dan ertikata demokrasi sebenar.

 

BILA RETAK MEMBAWA BELAH

 

Keretakan UMNO telah membawa belah awal minit pertama waktu pemecatan Sdr Anwar Ibrahim pada 2hb September 1998. Keretakan yang telah lama dilihat semenjak pengharaman UMNO dan pembentukkan Semangat 46 kini telah menular dan membawa kepada pemecahan mutlak yang sukar hendak diperbaiki. Melayu telah terpisah. Melayu kini berkumpulan dan kumpulan ini bukan kerana idealogi politik berbeza tetapi lebih kepada perbezaan pentabiran dan sikap pemimpin parti UMNO. Melayu tidak dipisah oleh fahaman politik kerana fahaman politik tetap sama yakni pemerintahan berlandaskan demokrasi dan Islam sebagai tunggak agama. Tidak terdapat sebarang pemecahan fahaman politik berlaku dalam keretakan kaum melayu. Kekukuhan UMNO sebelum ini adalah kerana penerimaan masyarakat Melayu terhadap sistem demokrasi. Malangnya penyatuan fahaman politik ini dibelahi oleh rasa tidak puasa hati rakyat terhadap kepimpinan yang UMNO yang tidak melaksanakan landasan demokrasi yang sempurna. Penentangan rakyat lebih kepada rasuah dan sikap nepotisma yang wujud dikalangan pimpinan tertinggi UMNO. Kemarahan membuak apabila keadilan di cabuli demi kepentingan sendiri. Penggunaan kuasa bagi membenteras kritikan dan ketidak puasan hati rakyat menjadi agenda penentangan terbuka rakyat terhadap kepimpinan. Jesteru itu UMNO masih berdegil. Laungan tidak disambut dengan kematangan tetapi sebaliknya laungan ditentang dengan kezaliman ,kekerasan dan penderaan terbuka mereka. Maka retakan melarat dan maka kini masyarakat melayu terbelah dan sukar disatukan selagi tuntututan asas mereka kepada keadilan untuk Sdr Anwar dan perletakan jawatan Dr Mahathir disegerakan.

 

BELAH YANG MEMBAWA PADAH

 

Belahnya satu satu kaum terbesar di Malaysia yakni Melayu merupakan satu perkara yang serius dalam negara yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat. Belah ini mampu menghancurkan negara kerana implikasi yang akan menyusul kesan dari pemecahan kaum Melayu. Rakyat yang telah menerima laungan reformsai Anwar mahukan pembaharuan. Kerajaan yang memerintah enggan berkompromi dengan mereka. Kerajaan bukan sahaja tidak mahu berkompromi malah telah melaksanakan segala bentuk tindasan keatas rakyat yang tidak lagi mahu Dr Mahahtir memerintah. Rakyat pada awalnya menuntut Dr Mahathir meletakkan jawatan dan mengembalikan keadilan buat Sdr Anwar Ibrahim. Tuntutan ini dilaksanakan dengan mengadakan demonstrasi Aman dan gerakan media internet. Media media lain telah ditentukan oleh kerajaan dan jelas media media ini telah melapurkan berita yang jelas berat sebelah. Kebencian rakyat terhadap pemerintahan Mahathir disemarakkan lagi oleh perbuatan kerajaan yang jelas cuba menutup kepalsuan mereka. Tindakan kerajaan sendiri yang sebenarnya menyemarakkan penentangan terhadap kerajaan khususnya UMNO. Belah yang berlaku adalah kerana sikap "obsessive" mereka untuk melihat Sdr Anwar Ibrahim dilumpuhkan. Sikap ini dipertonjolkan dengan begitu sekali sehinggakan kemarahan berubah kepada kebencian dan kebencian kepada pemerintahan Mahathir menular kepada kebencian kepada pendokong Mahathir dan seterusnya UMNO. Perlakuan Mahahtir dan kerajaannya dalam menangani isu Sdr Anwar Ibrahim sebenarnya menunjukkan kebenaran tuduhan konspirasi politik yang wujud dalam membunuh karier politik Anwar Ibrahim. Sikap dan tindakan kerajaan lah yang mengukuhkan teori konspirasi politik yang dikatakan oleh Sdr Anwar Ibrahim.

 

ANWAR MENYATAKAN KEWUJUDAN KONSPIRASI POLITIK, MAHATHIR DAN KERAJAAN NYA MENGUKUHKAN PENYATAAN TERSEBUT ATAS PERLAKUAN MEREKA.

 

Mahahtir dan tindakan golongan mereka sebenarnya telah mengukuhkan teori konspirasi yang wujud dalam agenda ini. Teori yang dikatakan oleh Sdr Anwar Ibrahim telah berubah menjadi satu hakikat. Penerimaan hakikat ini oleh rakyat Malaysia telah mengarahkan keretakan UMNO kepada pembelahan yang tidak mungkin dapat disatukan. Ini adalah hasil perbuatan Dr Mahathir dan anggota konspirasi. Pemimpin yang berkaliber dan bertanggung jawab akan meletakkan jawatan dan mengarahkan pengundian untuk membuktikan penerimaan rakyat terhadapnya. Mahathir lain, beliau berusaha keras untuk mengekalkan jawatan dan melaksanakan kekerasan bagi sesiapa yang menentang. Ini lebih menyemarakkan kemarahan. Ini lebih memisahkan Melayu dan ini adalah punca utama Melayu terbelah.

 

ANWAR BERTINDAK BERSESUAIAN DENGAN SIKAP LAHIRIAH KEMANUSIAN.

 

Sdr Anwar bertindak setelah beliau difitnah dan di tuduh dengan begitu hebat sekali. Sdr Anwar terpaksa bertindak bagi membela kebenaran dan tuduhan keatas dirinya. Ini bersesuaian dengan lumrah individu apabila di tuduh dan dihina sebegitu hebat oleh pemerintah. Salahkan beliau menepis tuduhan tersebut. Salahkan beliau untuk bertindak membongkar kepalsuan dan kesongsangan yang diperlakukan oleh Mahathir dan rakan pendokong beliau. Rakyat mengikuti episod ini. Rakyat meneliti segala adengan dan isu yang dibawa. Rakyat akhirnya menerima kebenaran Sdr Anwar. Rakyat setelah mengikutinya dan mendapati bahawa keadilan di Malaysia tercalar dan Mahathir patut dihadapkan kepada mahkamah rakyat. Rakyat telah menerima hakikat ini dan rakyat mahukan perubahan. Sikap kepimpinan UMNO sekarang ini mula ditolak oleh rakyat khususnya Melayu. Penolakkan ini membawa pepecahan dalam UMNO. Penolakkan ini membawa kepada pepecahan dalam melayu. Penolakkan ini menghancurkan perpaduan Melayu. Mahathir dengan kuasa nya mengerohkan keadaan demi menjaga kebajikan dan kepentingan nya dan kroni kroninya.

 

SATU KERETAKAN YANG MEMBAWA KEPADA PEMBELAHAN KAUM MELAYU.

 

Segerakan tuntutan keadilan sebelum Melayu tumbang di tanah air sendiri. Segerakan penurunan Dr Mahathir kerana beliau punca pemecahan MELAYU. Fikirkan lah dan buatlah keputusan yang boleh membawa balik keharmonian dan keadilan dalam negara ini. Hanya rakyat penentu bangsa BUKAN Mahathir.