SIAPA SEBENARNYA DAIM?

Beberapa buah buku sudah ditulis mengenai Tun Daim Zainuddin, tetapi tidak ramai
orang yang tahu siapa Daim yang sebenar.

Daim dikenali sebagai orang yang tidak banyak bercakap. Semua orang tahu Daim
jenis orang pendiam; malah sampai begitu diamnya dia, hinggakan mereka yang
menjadi mangsa perbuatan jahatnya tumbang bergelimpangan macam buah-buah
boling tetapi tidak tahu siapa yang menumbangkan mereka.

Dalam diam-diam, Daim mencipta kerjaya sebagai seorang pelepas panah-panah
beracun, pemasang periuk-periuk api, dan penikam orang dari belakang, baik kawan
mahupun lawan. Tangannya sentiasa rapi tersembunyi, tetapi bekas-bekas jarinya
boleh dikesan di mana-mana.

Sebenarnya, Daimlah yang menjadi punca banyak krisis negara, tetapi namanya tidak
pernah tercemar, semuanya kerana kuasa wang yang ada di dalam genggamannya
dan oleh kuatnya persahabatannya dengan Dr. Mahathir.

Bagi kebanyakan ahli-ahli UMNO generasi baru, mereka memang tahu Daim ialah
seorang yang berjaya mengumpulkan harta berjuta-juta, dan dia seorang lelaki macho
yang mempunyai cita rasa yang tinggi bagi perempuan-perempuan muda, tetapi
mereka tidak pedulikan kelemahan-kelemahan peribadi Daim kerana pada dirinya
mereka melihat seorang Penasihat Ekonomi Kerajaan yang bersih.

Namun bagi generasi Harun Idris, Musa Hitam dan Manan Osman, sekadar menyebut
segelintir nama-nama zaman itu, tanyalah mereka kalau hendak tahu siapa Daim
sebenarnya. Yang menyelamatkan Daim daripada kemuflisan perniagaan garamnya
ialah Datuk Harun. Mahani, isteri Daim bersahabat baik dengan Salmah, isteri Harun,
dan kedua-duanya sangat berpengaruh pada tahun 1970an. Isteri Harunlah yang
mendorong suaminya memberikan kepada Daim 160 ekar tanah bernilai tinggi di
Kampung Pandan. Dengan itu maka tertubuhlah Syarikat Maluri.

Janganlah cuba mengagak berapa agaknya wang yang dibayar oleh Daim kepada
Harun, faham-faham sahaja, mereka berdua itu bersahabat baik. Memanglah, Daim
kena membayar juga harga tanah tersebut. Tetapi, kalau hendak tahu butir-butir
busuknya, cuba tanya Low Kiok Bow, ataupun Thamby Chik. Mereka boleh
menceritakan bagaimana Daim menipu seorang broker tanah dan merasuah ahli ex-co
negeri Selangor dan juga Ahmad Razali, ipar Mahathir, untuk tanah itu.

Pada zaman itu, hendak meminjam wang bank bukan mudah. Oleh itu terpaksalah
Daim merasuah Bank Bumiputra. Lorrain Osman serta Rais Saniman tahu sangat
berapa banyak wang yang dibelanjakan oleh Daim. Manan Osman tentu boleh menjadi
saksinya: dia seorang yang amat rapat dengan Daim, sampai-sampai mereka pernah
berkongsi perempuan, di mana Manan selalu meminjam kamar tidur di pejabat Daim di
Taman Maluri. Dengan berbuat begitu, Daim berjaya mencipta nama sebagai
usahawan Melayu pertama yang mengamalkan rasuah.

Perlantikan Daim sebagai senator dan kemudiannya sebagai Menteri Kewangan
adalah sebahagian daripada strategi Mahathir. Jangan pula hairan mengapa Mahathir
memilih Daim, kerana kedua-dua sahabat baik itu berasal dari kampung yang sama di
Seberang Perak, Alor Setar.

Pada hari Mahathir menjadi Perdana Menteri pada 16 Julai 1981, perkara pertama
yang dirancang oleh Mahathir ialah bagaimana hendak menyingkirkan musuh
utamanya, Tengku Razaleigh Hamzah.

Daim memberitahu semua orang bahawa dia tidak berminat dengan politik, tetapi dia
memang sudah tahu dia akan dilantik menjadi Menteri Kewangan sejurus selepas dia
dijadikan senator. Beberapa bulan sahaja selepas dia menjadi senator, Daim pun
menjadi orang ketiga paling penting dalam Kabinet, iaiatu selepas Perdana Menteri
dan Timbalannya.

Musa Hitam, Timbalan Perdana Menteri waktu itu, pada mulanya tidak sangka dalam
diam-diam rupa-rupanya Mahathir dan Daim sangat akrab. Macam orang bodoh, Musa
pernah menyatakan keresahannya di atas tindak tanduk Daim, terutamanya berkenaan
pemberian projek-projek dan kontrak-kontrak kepada sahabat-sahabat dan
kroni-kroninya. Sudah barang tentu Musa terpinga-pinga apabila Mahathir macam
orang pekak apabila mendengarkan rungutannya itu.

Walaupun dia Timbalan Perdana Menteri, Musa langsung tidak ada suara dalam hal-hal
yang bersangkutan dengan ekonomi, terutama berkaitan dengan penswastaan dan
pemberian (pada para penyokong) projek-projek ekonomi. Betapa kecewanya Musa
apabila dia mendapati Daim tak pedulikan langsung usahanya hendak menolong
penyokong-penyokongnya mendapatkan projek ataupun kontrak.

Daim berjaya menjadikan kroni-kroninya seperti Wan Azmi, Halim Saad, Tajuddin
Ramli, Shamsuddin Hassan, Razali Rahman, dan Tan Sri Basir masing-masing jutawan
besar belaka, manakala Musa akhirnya tersingkir sebagai bekas-TPM yang miskin.

Pada satu masa, Musa pernah merungut kepada Mahathir kerana Daim mencuri
beberapa projek yang dicadangkan para penyokongnya, tetapi sekali lagi Mahathir
macam pekak. Peristiwa-peristiwa itulah yang menjadi punca keretakan yang akhirnya
menghancurkan gandingan Mahathir-Musa.

Apabila kepentingan Daim, Mahathir dan Razaleigh semakin membengkak, Musa
semakin mengecut. Ramai ahli UMNO menyangka musuh besar Musa ialah Razaleigh.

Sebenarnya, Daimlah yang mesti dipersalahkan ke atas perpecahan UMNO pada
tahun 1986. Daimlah yang menolak dan menghasak Musa ke tepi dinding sampai dia
tidak ada pilihan lagi melainkan meletakkan jawatannya.

Sekali lagi, tabiat Daim yang pendiam menyelamatkannya. Tidak ramai orang yang
tahu peranan di balik tabir yang dimainkannya sehingga UMNO pecah-belah. Sampai
hari ini pun tidak ramai yang tahu. Jadi, janganlah hairan mengapa Musa dan Razaleigh
setuju dengan genjatan senjata dan bekerjasama dalam pertandingan 1987,
pertandingan itulah yang akhirnya mengakibatkan UMNO diharamkan.

Pada masa itu, Daim langsung macam tak kelihatan, apatah lagi kerana adanya
sokongan orang-orang kuat macam Sanusi Joned dan Anwar Ibrahim. Begitu kuatnya
persepakatan ketiga-tiga orang itu, sampaikan khemah Musa-Razaleigh tak boleh
berbuat apa melainkan menjadikannya bahan gurauan dengan memberikan nama
jolokan AIDS.

Supaya UMNO baru dapat ditubuhkan, mula-mula Daim dan Mahathir mesti
menyingkirkan Hakim Tun Salleh Abas, di mana Daimlah yang merancang pemecatan
Tun Salleh, seorang yang bijaksana dan alim, serta menggantikan beliau dengan Tun
Hamid, seorang kaki betina dan kaki judi yang kronik, tetapi dia juga rakan sekolah
Mahathir dan Daim. Dengan perlantikan Hamid, maka bermulalah runtuhnya wibawa
dan kebebasan kehakiman.

Sebagai Menteri Kewangan, Daim meyakinkan Mahathir supaya memberikan kuasa
penuh kepada Unit Perancangan Ekonomi dan Perbendaharaan ke atas pelaksanaan
dasar penswastaan negara. Selepas itu, maka projek-projek kerajaan pun tidak tidak
perlu ditenderkan lagi. Sebaliknya, projek-projek itu boleh ditawarkan terus kepada
syarikat-syarikat yang diberikan layanan istimewa. Dengan itu bermulalah era
pengumpulan harta kekayaan oleh Daim dan konco-konconya. Syarikat United
Engineering Company, yang dibeli dengan harga RM2, berubah menjadi syarikat
bernilai berjuta-juta ringgit.

Sebagai Menteri Kewangan pula, dengan sewenang-wenang dapat Daim
mengarahkan bank-bank memberi pinjaman kepada syarikat-syrikat yang menjadi
miliknya. Tidak seorang pun daripada kroni-kroni Daim yang merungut mengatakan
mereka sukar mendapatkan pinjaman bank. Malah, pegawai-pegawai bank hidup
dalam ketakutan kepada Daim. Dengan melantik Wan Azmi dan Basir untuk mengetuai
Malayan Banking dan Bank Bumiputera, Daim boleh memberikan mana-mana projek
kepada kroni-kroninya kerana sekarang modal tidak menjadi masalah lagi.

Macam belum puas dengan projek-projek fizikal itu, Daim juga mengambil peluang
mengumpulkan harta dalam pasaran saham. Setiap kali Perbendaharaan meluluskan
penyenaraian sesuatu syarikat di bursa saham, kroni-kroni Daim menerima 'bahagian
singa' mereka. Itulah caranya bagaimana saham-saham Southern Bank, Resort World,
Sports Toto, Berjaya, Tanjung dan banyak lagi syarikat-syarikat blu-cip kini dimiliki oleh
Daim dan konco-konconya.

Pada satu ketika, iaitu semasa nilai saham melambung-lambung, Daim pernah dengan
angkuh memberitahu kawan-kawannya hartanya berjumlah RM65 bilion.

Untuk menutup mulut para pemimpin Barisan Nasional, Daim memberikan kepada
Samy Vellu dan Ling Liong Sik projek-projek besar supaya naka-anak mereka boleh.....

Kenapa Daim meletakkan jawatan?

Daim berjaya memperbodohkan ahli-ahli UMNO sehingga mereka percaya kononnya
Mahathir tidak mahu dia meletakkan jawatan meskipun dia sudah beberapa kali
memohon supaya dia dibenarkan mengundurkan diri dari Kabinet.

Sesudah Musa dan Razaleigh tersingkir, Daim berpeluang mengaut sebanyak-banyak
harta kekayaan yang dia mahu, tanpa disekat oleh Mahathir. Lagipun dia Bendahari
UMNO, jadi dia boleh memberi gambaran seolah-olah UMNO mempunyai kepentingan
di dalam syarikat-syarikat yang dikuasainya. Tabiat tamak halobanya bukan hanya
mempunyai kesan buruk ke atas imej dirinya sebagai Menteri Kewangan, tetapi juga
menjejaskan nama baik Mahathir dan nama baik Malaysia di mata dunia.

Mengikut kata orang, Pengerusi dua buah bank terbesar Jepun, iaitu Bank of Tokyo dan
Sanwa Bank, pernah merungut kepada Mahathir kerana komisen yang diminta oleh
menteri kewangnya sangat tinggi dalam perundingan bagi mendapatkan pinjaman yen.
Margaret Thatcher juga pernah merungut berkenaan peranan Daim sebagai agen
komisen.

Daim pernah mempunyai - ataupun masih terus mempunyai - akaun-akuan bank di
Zurich, London, Hong Kong, Tokyo, Singapura, Caymen Island, Channel Island dan
Virgin Island. Sebenarnya, dia bukannya menyimpan wangnya yang berbilion-bilion itu
di dalam negeri, sebaliknya dia menyorokkannya di luar negeri.

Dengan harta kekayaaannya yang begitu banyak dan pengaruhnya yang amat meluas,
akhirnya Daim menjadi beban yang terlalu berat bagi Mahathir. Dalam tiaap-tiap
urusniaga yang dibuatnya, ada bahagian untuk dirinya sendiri. Dia tergamak
bersekongkol dengan Lee Kuan Yew untuk mengambil tanah milik KTM di Tanjung
Pagar, Singapura. Kabinet Malaysia langsung tidak tahu menahu akan hal itu. Peristiwa
bagaimana Malaysia ditipu oleh Lee Kuan Yew dan Daim sampai sekarang belum
tamat.

Akhirnya Mahathir menyedari bahawa dia terpaksa menamatkan cengkaman kuku
Daim di Kementerian Kewangan. Dia pun meminta Daim supaya meletakkan jawatan.
Mahathir bimbang kalau Daim terus menjadi menteri kewangan, rungutan akan datang
bukan sekadar daripada Vincent Tan, Ananda Krishnan, Arumugam dan lain-lain
anggota elit korporat Malaysia, tetapi juga daripada pemimpin-pemimpin luar negara.
Tanda-tanda pelbagai skandal yang melibatkan Daim sudah menjadi begitu terang, dan
bila-bila masa sahaja ia akan bocor di Jepun ataupun di Britain, oleh sebab itulah Daim
mesti meletakkan jawatannya.

Perletakkan jawatan Daim mesti dibuat dengan begitu rupa supaya nampak
seolah-olah dia bukan dipecat. Memanglah tidak munasabah, mengapa seorang
menteri kewangan yang begitu berkuasa, begitu kaya raya dan menguasai begitu
banyak syarikat awam, tiba-tiba sahaja meletakkan jawatannya, konon kerana dia
sudah tidak berminat lagi dengan kerjanya. Sebenarnya, Daim diarahkan supaya
meletakkan jawatannya.

Para pemerhati tentu masih ingat apa komen Mahathir yang pertama ke atas reaksi itu:
"Dia pernah beberapa kali memohon untuk meletakkan jawatannya, dan akhirnya saya
menyetujuinya. Saya harap Daim tidak akan meninggalkan negara ini selepas
meletakkan jawatannya." Kata-kata itu sarat dengan makna. Mahatahir tahu Daim
merajuk. Begitu juga Anwar dan Sanusi.

Mahathir mengekalkan Daim sebagai Bendahari UMNO kerana ada alasan yang kuat:
Dia mahu menjaga keselamatan wang UMNO, yang sebahagian besarnya di bawah
kuasa Daim. Tetapi Daim, orang yang banyak menyimpan rahsia Mahathir, adalah
seorang yang amat licik. Selepas meletakkan jawatannya, dia meninggalkan negara
dan tinggal di kediamannya di San Francisco. Dia mengatakan dia hendak pergi
menuntut di Universiti Harvard, tetapi sebenarnya dia meninggalkan Malaysia.

Mahathir yang sudah masak dengan perangai Daim merayu supaya dia balik, dengan
alasannya dia memerlukan nasihat Daim dalam hal-ehwal ekonomi. Daim pun balik, lalu
dia membuat kenyataan bahawa Mahathir melantiknya menjadi Penasihat Ekonomi
Kepada Kerajaan. Rafidah bertanya kepada Mahathir apakah hal itu benar, tetapi
jawapan yang diterimanya ialah senyap.

Secara rasmi Daim tidak pernah dilantik menjadi Penasihat Ekonomi, iaiatu suatu
jawatan yang pernah dipegang oleh Tun Raja Mohar. Kuasa perlantikan itu terletak di
bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Awam. Daim melantik dirinya sendiri.
Untuk menjaga hati Daim, Mahathir membenarkan Daim membuka pejabat di Unit
Perancangan Ekonomi, dengan itu ia menguatkan anggapan awam bahawa dia masih
berkuasa dalam hal-ehwal ekonomi.

Sewaktu dia disuruh meletakkan jawatannya sebagai Menteri Kewangan, Daim
meminta Mahathir melantik Anwar Ibrahim mengisi kekosongan itu. Nampaknya, dia
sangka dengan cara itu dia dapat menutup rahsia busuknya. Daim mengingatkan
Mahathir Rafidah merbahaya bagi rahsia mereka berdua; rahsia-rahsia yang hanya
mereka berdua tahu, akan bocor. Daim juga berjaya meyakin Mahathir supaya melantik
Mustapha Mohammad sebagai timbalan Anwar kerana kedua-duanya dipercayai dapat
menutup lubang-lubang yang ditinggalkannya. Anwar bukan bodoh, tetapi dia terpaksa
mengorbankan idealismenya demi menjaga taukehnya.

Sejauh yang kita tahu, belum pernah ada mana-mana menteri kewangan yang bersara
sebagai bilionwan, kecuali Daim. Di dalam buku yang berjudul Daim Yang Diam:
Sebuah Biografi, sewaktu bercakap tentang persaraannya Daim berkata: "Saya
bersara dalam bahagia. Tanggungjawab itu terlalu berat. Sebenarnya, saya suka pada
dunia perniagaan. Perniagaan adalah darah daging saya. Saya suka buat duit. Saya
boleh buat duit. Dari kerusi ini pun saya boleh buat duit. Pada hari-hari yang baik, saya
boleh buat berjuta-juta."

Sahabat Soros

Berdasarkan analisis dalaman bank, disokong oleh masyarakat korporat, dan
berdasarkan kata-kata seorang kroni Daim, Amin Shah, kekayaan Daim, dalam bentuk
ringgit dan matawang luar yang di simpan di luar negara, pada masa ini berjumlah
RM20 bilion. Dengan wang yang begitu banyak yang dapat digunakannya, Daim
mampu memanipulasi pasaran saham Kuala Lumpur. Pada tahun 1991, dia
membuktikan kudrat dan pengaruhnya. Selepas menjual saham-sahamnya, dia
meramalkan pasaran saham akan jatuh. Dan betul seperti yang dikatakannya, pasaran
pun jatuh.

Apabila Daim dengan angkuhnya mengatakan bahawa dia melabur dalam KLSE untuk
mencari duit poket sahaja, Mahathir hanya boleh membuat komen sinis. Tetapi kepada
kawan baiknya, Daim memberitahu, pada hari-hari yang baik, bila harga saham naik,
dia boleh membuat untung RM90 juta sehari dengan cara membeli semula
saham-sahamnya pada harga rendah. Apabila pasaran saham meningkat tinggi lagi
pada tahun 1995 dan 1996, Daim membuat keuntungan berbilion-bilion ringgit.

Rupa-rupanya, inilah kerja yang dibuat oleh seorang Penasihat Ekonomi Kepada
Kerajaan. Jadi, terbuktilah Soros bukan satu-satunya peniaga mata wang dan
pemanipulasi pasaran saham. Daim pernah menemui Soros dua kali di London
sewaktu ringgit diniagakan dengan aktifnya.

Apabila nilai ringgit jatuh di bawah RM4 berbanding dolar Amerika, Mahathir meminta
tolong dari Daim dan, mengikut sumber di Singapura, Daim rugi RM1 bilion kerana
cuba mengukuhkan harga ringgit. Bayangkanlah sahaja, kalau kerugiannya pun sudah
sebesar itu, berapa banyak wangnya?

Kejatuhan nilai wang dan pasaran saham menyebabkan Mahathir takut. Dia sedar
sebahagian daripadanya puncanya ialah dasar-dasarnya dan sikap keras kepalanya.
Apabila Daim melihat Mahathir ketakutan, Daim mengesyorkan supaya dia
mengisytiharkan darurat bagi membolehkan dia memulihkan ekonomi, dan pada waktu
yang sama, menimbus dalam-dalam bangkai-bangkai yang sudah mulai mengeluarkan
bau busuk.

Kita hormat pada Ketua Setiausaha Negara dan Peguam Negara kerana menentang
cadangan itu. Kalaulah rancangan Daim diterima, ekonomi Malaysia akan punah-ranah.
Selepas gagal mengisytiharkan darurat, Mahathir menubuhkan Majlis Tindakan
Ekonomi Negara, dipengerusikan oleh Daim, manakala Unit Perancangan Ekonomi
menjadi urus setianya.

Pada asalnya, MTEN hendak diberi kuasa penuh, tetapi menteri-menteri Kabinet
menentang rancangan itu kerana takut mereka kehilangan kuasa yang masih ada pada
mereka. Akhirnya, Majlis itu hanya menjadi badan penasihat, manakala Kabinet
mempunyai kata putus ke atas syor-syor yang dikemukakannnya.

Penubuhan MTEN ialah dengan tujuan memecah-belahkan Anwar dengan Daim.
Dengan itu, kini dua orang sahabat yang dulu kuat menyokong Mahathir menentang
Musa, kini saling memusuhi satu sama lain.

Semua syor MTEN ditolak oleh Kabinet dan oleh Bank Negara. Dengan secara terbuka
Daim menghentam Bank Negara kerana menolak syor-syor yang dikemukannya,
seperti yang berkaitan dengan kadar faedah dan kawalan kredit. Kita menyanjung
Gabenor Bank Negara yang terus mengamalkan dasar kewangan yang berhemat
walaupun terpaksa sabar dengan perbuatan Daim yang kuat membuli dan memalukan
beliau. Tidak seperti Daim dan konco-konconya, pegawai-pegawai Bank Negara tidak
mementingkan diri mereka sendiri.

Perlantikan Daim sebagai Pengerusi MTEN adalah suatu kesilapan nasional. Sehingga
kini, berdasarkan laporan-laporan akhbar berkenaan keputusan-keputusan MTEN,
nampaknya tumpuan utama MTEN ialah menyelamatkan syarikat-syarikat gergasi
daripada muflis. Terang-terangan, syarikat-syarikat itu mempunyai kaitan dengan Daim.

Sampai saat ini Daim tidak ada menunjukkan sebarang minat ke atas kenaikan harga
cili, ataupun melambungnya harga ikan, ataupun bagaimana harga beras semakin naik.
Begitu juga, dia langsung tak pernah bercakap tentang peniaga-peniaga kecil yang
sedang sekarat, dan kontraktor-kontraktor kelas F berdepan dengan kebangkrapan
ataupun projek-projek jalan luar bandar yang terbengkalai.

Di dalam kamus hidup Daim, tidak ada masalah orang kerdil, tidak ada rumah kos
rendah, catuan air, ataupun tabung bantuan pendidikan untuk anak-anak Melayu miskin.
Malah, ia cuma mengandungi angka-angka yang berjumlah berbilion-bilion.

Pada saat ekonomi negara sedang huru-hara, Daim kekal sebagai seorang bilionwan,
menikmati hidup dengan gaya penuh glamor, ke sana sini dengan jet bersama isteri
barunya Naimah, dan si jelitawan bernama Josephine, gadis India yang membantunya
menguruskan salah sebuah syarikatnya, iaitu International Malaysia Bank.

Apa yang digambarkan di sini hanya sekelumit kisah tentang siapa sebenarnya Daim.
Maklumat yang lebih terperinci akan didedahkan di dalam buku nanti. Buku ini baik
dibaca oleh ahli-ahli UMNO, terutama mereka yang mempunyai cita-cita besar, kerana
dari buku ini mereka berpeluang belajar kisah-kisah pelik-tetapi-benar tentang pelbagai
komplot politik.

Kita mengutuk orang-orang seperti Vincent Tan dan Ting Phek Khiing di atas perbuatan
mengambil tanah-tanah, tetapi ada baiknya juga kita bertanya kepada Menteri Besar
Johor dan Menteri Besar Kedah berapa banyak tanah yang sudah diambil oleh Daim.
Tanyalah Sanusi, berapa yang dibayar oleh Daim kepada kerajaan Kedah untuk 12,000
ekar tanah di Sungai Petani dan berapa keuntungan yang dikautnya daripada tanah itu.
Kerana tanah 12,000 ekar, Osman Arof mesti dikorbankan. Cerita persekongkolan
Daim-Sanusi akan didedahkan di dalam buku nanti.

UMNO kini berada di persimpangan dan UMNO mesti memilih dengan bijaksana jalan
mana yang hendak diambil. Satu jalan menjanjikan keagungan kepada UMNO, di mana
kestabilan dan amalan demokrasi akan berterusan. Jalan yang satu lagi menuju
perpecahan, kuku besi, dan akhirnya, kehancuran.

Seruan supaya diadakan REFORMASI, yang dulunya hanya berani diucapkan dengan
nada rendah, kini semakin kuat kedengaran. Ahli-ahli UMNO sudah tidak sanggup lagi
menekan rasa marah dan kecewa, kini mereka mulai bercakap mahukan perubahan
dengan suara yang lantang dan terbuka, termasuklah melalui konvensyen-konvensyen
anjuran parti. Masih belum cukup jelaskah lagi semua tanda-tanda bahawa ahli-ahli
UMNO sudah hilang sabar, mereka sudah muak dengan sikap pemimpin kuku besi,
dan merebaknya nepotisme, kronisme, pilih kasih, rasuah dan pelbagai salah laku, baik
dalam parti mahupun dalam kerajaan.

Semangat kebangsaan Melayu kini sudah berkubur, sedangkan nilai kebendaan dan
keegoan sedang menggila.