Make your own free website on Tripod.com

Terima Kasih Ummi Rasyidah atas Email Saudari

 
DO'A MUNAJAT SELURUH NEGARA
BismiLlah Ar-Rahman Ar-Rahim
Ya Allah Ya Tuhan Kami, Ya Jabbar Ya Muntaqim. Tunjukkanlah kebatilan
itu sebagai kebatilan dan berikanlah kekuatan kepada kami memeranginya.
Tunjukkanlah kebenaran itu sebagai kebenaran dan berikanlah kekuatan
kepada kami untuk mendukungnya sekuat-kuat hati kami. Sesungguhnya
apabila datang kebenaran dari Mu Ya Allah, pastinya kebatilan itu akan
lenyap. Sesungguhnya apabila datang kebenaran, kebatilan itu pasti tidak
dapat mencetuskan sedikit pun kebaikan kepada hamba-hamba Mu ini apakah
lagi mengekalkan kehadirannya di kalangan hamba-hamba Mu.
Ya Allah Ya Rauf Ar-Rahim. Selamatkan kami dari gejala dan bencana
fitnah golongan menfitnah. Janganlah Engkau uji kami dengan perbuatan
keji segelintir mereka dari golongan kami. Janganlah Engkau biarkan
perbuatan fitnah, khususnya yang berkaitan dengan tuduhan zina menjadi
budaya dan darah daging kepada masyarakat kami. Berilah hidayah kepada
mereka yang melemparkan fitnah agar memberhentikan perbuatan keji
mereka. Lindungilah kami agar tidak menjadi mangsa perbuatan keji
mereka. Jadikanlah kami umat yang sangat benci kepada perbuatan fitnah.
Ya Allah Ya Rabbal Jalali wal Ikram. Selamatkan umat ini daripada
kezaliman lantaran perbuatan fitnah segelintir mereka yang tidak
bertanggungjawab di kalangan kami. Janganlah disebabkan bencana fitnah
ini Engkau tanamkan kezaliman di dalam hati dan tingkah laku
pemimpin-pemimpin kami terhadap kami. Sesungguhnya tiada kehinaan yang
lebih besar daripada kami apabila kami sendiri dizalimi oleh
pemimpin-pemimpin yang telah kami berikan kepercayaan untuk melindungi
kami dari kezaliman.
Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim. Hapuskanlah benih-benih takut terhadap
sesama manusia yang telah mula bersemi di hati umat ini lantaran
perbuatan zalim pemimpin-pemimpin kami. Janganlah kerana kecintaan dan
kebergantungan kami kepada dunia dan segala kenikmatannya menjadikan
kami gentar menyatakan yang batil itu sebagai batil dan yang benar itu
sebagai benar. Selamatkan kami daripada perasaan takut terhadap manusia
dan undang-undang palsu perbuatan mereka. Selamatkan kami daripada
mempunyai perasaan kerdil berhadapan dengan hamba-hamba Mu yang zalim.
Sesungguhnya hanya Engkau sahaja yang layak untuk kami takuti.
Ya Allah Ya Malik al-Quddus. Janganlah Engkau hina kami dengan
membiarkan kami ditindas dan diperhambakan oleh segelintir mereka di
kalangan kami. Sesungguhnya sehina-hina perhambaan adalah perhambaan dan
penindasan manusia ke atas sesama manusia. Berilah kekuatan kepada umat
ini untuk menghapuskan perhambaan manusia ke atas manusia lain di bumi
ini.
Ya Allah Ya Fattah Ya Halim. Sesungguhnya kebencian dan permusuhan telah
begitu menular sesama kami. Kini kami hamba-hamba Mu telah curiga sesama
sendiri dan merasakan tidak selamat dan tidak lagi dilindungi oleh
mereka yang mempunyai kuasa di kalangan kami. Sesungguhnya kebencian dan
permusuhan ini akan membawa kelemahan dan kehancuran kepada umat ini.
Selamatkanlah kami dari kehancuran akibat kebencian dan permusuhan
sesama hamba-hamba Mu Ya Allah.
Ya Allah Ya Razzaq Ya Adil. Kebatilan dan kegelapan telah menyelubungi
umat ini. Kebenaran dan cahaya telah mula meninggalkan kami. Akibatnya
keadilan tidak lagi diukur dengan neraca dan undang-undang Mu.
Sebaliknya keadilan dan kehakiman kini akur kepada budi bicara dan nafsu
segelintir hamba-hamba Mu. Ya Allah, tunjukkanlah jalan yang benar
kepada kami menuju keadilan hakiki. Ya Allah teguhkan hati kami untuk
terus berjuang menegakkan keadilan.
Ya Allah Ya Ghafur Ya Syakur. Sesungguhnya kami tahu sekiranya kami
bersyukur kepada Mu di atas segala ni'mat Mu, pasti Engkau akan
tambahkan lagi ni'mat Mu ke atas kami. Sebaliknya sekira kami ingkar
terhadap ni'mat Mu, kami tahu bahawa azabmu sangat pedih. Dengan itu Ya
Allah, janganlah Engkau masukkan kami dalam golongan mereka yang ingkar
terhadap ni'mat mu akibat kebencian dan permusuhan sesama kami. Ya
Allah, janganlah Engkau azab kami lantaran perbuatan zalim segelintir
mereka di kalangan kami. Ya Allah, jangan Engkau masukkan kami ke dalam
kemurkaan Mu lantaran kami belum berdaya menghapuskan kezaliman dan
menegakkan keadilan.
Ya Allah Ya Qawwi al Matin. Berilah kami kekuatan memerangi gejala
fitnah dan golongan penyebar fitnah. Teguhkanlah hati kami untuk
beriltizam dan beristiqomah menghapuskan kezaliman dan menegakkan
keadilan. Lindungilah kami dalam perjuangan kami menjalankan perintah Mu
untuk menghancurkan kegelapan dan menegakkan kebenaran. Berikanlah
kemenangan kepada kami mengatasi kebatilan.
Ya Allahu Ya Allahu Ya Allah. Ampunkanlah dosa-dosa kami dan dosa kaum
muslimin dan muslimat, mu'minin dan mu'minat. Terimalah doa munajat kami
ini. Masukkan kami ke sisi Mu sebagai mereka yang cintakan kebenaran dan
keadilan dan mereka yang bencikan kebatilan dan kezaliman.