Make your own free website on Tripod.com

KENYATAAN AKHBAR DR. ABDUL RAHIM MD. GHOUSE & MOHAMAD EZAM MOHD NOR
Manila, 7 October 1998  Thank You Justice4all



Kami sama sekali tidak terperanjat dengan keputusan Majlis Tertinggi
menyingkir kami dari UMNO.  Sebenarnya ia bukanlah keputusan MT, tetapi
ia adalah kehendak Dr. Mahathir Mohamad.  MT sekadar menjadi alat kepada
Dr. Mahathir Mohamad untuk melepaskan dendam dan geram beliau kepada
aktivis Gerakan Reformasi yang dipelopori olah Saudara Anwar Ibrahim dan
kini dipimpin oleh Dr. Wan Azizah Ismail.

Kami tidak akan merayu kepada keputusan tersebut kerana ia hanya akan
menggelembongkan ego dan nafsu Dr. Mahathir yang sedang mabuk kuasa. Dr.
Mahathir adalah Presiden dan Timbalan Presiden, dia jualah MT, dan dia
berpendapat dialah UMNO dan UMNO itu milik dirinya seorang.

Begitu juga dengan kerajaan. Dialah PM dan TPM, Menteri Dalam Negeri dan
Menteri Kewangan.  Kabinet itu adalah Dr. Mahathir seorang.  Bahkan
Malaysia ini hanya milik Dr. Mahathir seorang. Dr. Mahathir  adalah
Malaysia dan Malaysia adalah Dr. Mahathir.  Sikap "megalomaniac" ini
saling tak ubah dengan sikap Louis XIV, raja Perancis di zaman Rejim
Lama, yang pernah berkata: "I am the State" = "Akulah Negara."  Ini
jelas dari kenyataan Dr. Mahathir yang dilapurkan berkata: " We run our
country in our own way."  Siapa "we"?  Hanya Dr. Mahathir seorang diri.
Apakah Malaysia milik beliau seorang?  Dimanakah undang-undang dan
peraturan?

UMNO berada diambang perpecahan.  Dan UMNO akan hancur kerana mengikut
kerenah Dr. Mahathir.  Beliau ingin membersihkan UMNO dari pengaruh
Saudara Anwar  dan Gerakan Reformasi. Hakikatnya ialah penyokong Saudara
Anwar  dan penyokong Gerakan Reformasi adalah golongan majoriti dalam
UMNO dan Dr. Mahathir dan kuncu-kuncunya adalah golongan minoriti.  Jika
Dr. Mahathir yakin belaiu mendapat sokongan majoriti beliau tidak perlu
menggunakann kekerasan, "naked power" dan cara yang jijik untuk
menjatuhkan Saudara Anwar dan begitu takut dengan Gerakan Reformasi.

Kita perlu belajar dari sejarah UMNO. Dipenghujung masa pemerintahannya
Tunku Abdul Rahman  menjadi "liability" kepada UMNO.  Beliau menjadi
punca perpecahan dalam UMNO dan kekalahan teruk dalam pilihanraya dan
seterusnya rusuhan kaum.

Hanya setelah Tunku Abdul Rahman berundur dan Tun Abdul Razak mengambil
alih tampuk kepimpinan kekuatan UMNO pulih semula bahkan menjadi lebih
kuat dengan pembentukkan Barisan Nasional dalan perpaduan kaum dapat
dibina semula dengan dasar ekonomi dan sosial yang mementingkan
keadilan.

Jelas bahawa Dr. Mahathir perlu undur untuk mengelakkan perpecahan dalam
UMNO.  Seperti Tun Abdul Razak di zamannya, di masa ini hanya Saudara
Anwar dapat menyelamatkan UMNO dari kehancuran.

Semua tahu bahawa Dr. Mahathir kini merupakan pemimpin kera sumbang.
Dalam kes Saudara Anwar bukan negara Barat yang terkedepan untuk
mengkritik kezaliman Dr. Mahathir.  Yang paling tegas menegur Dr.
Mahathir adalah pemimpin-pemimpin negara dari rumpunan bangsa Melayu -
Indonesia dan Filipina.

Semalam kami diberi kehormatan bertemu dengan Presiden Estrada di
kediaman peribadi beliau.  Kami diberikan layanan yang begitu mesra dan
beliau menyatakan kebimbangan beliau terhadap keselamatan dan kesihatan
Saudara Anwar.  Kami tergagam bila belum sempat kami membuka mulut
beliau bertanya:  "What can I do to help my friend." Kami tidak perlu
memberi penerangan kerana beliau telah tahu segala-galanya dan Presiden
tersebut menegaskan bahawa apa yang berlaku kepada Saudara Anwar adalah
melanggari hak asasi manusia dan bertentangan dengan prinsip demokrasi.

Setelah bertemu dengan Presiden Estrada kami dijamu makan tengahari oleh
bekas Presiden Cory Aquino.  Puan Aquino menyatakan semasa beliau
menjadi Presiden beliau tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Dr.
Mahathir kerana sikap Dr. Mahathir yang angkuh dan mengaku mahatahu.
Cory menyatakan kagum beliau dengan wawancara Dr. Wan Azizah dalam
majalah TIME dan berkata "Dr Wan Azizah started better than me."  Beliau
terus menalipon Dr. Wan Azizah untuk menyatakan simpati, "saya faham
hati seorang isteri dalam kadaan begitu kerana saya pernah
mengalaminya."  Suami beliau pernah di tahan atas pelbagai tuduhan
termasuklah "political murder".  Bekas Presiden tersebut juga menulis
surat kepada Dr. Wan Azizah.

Sebelum kami ke Manila, kami bertemu pemimpin-pemimpin kerajaan dan
bukan kerajaan  di Jakarta.   Pemimpin Nahdatul Ulama, Abdul Rahman
Wahid, menerima kunjungan kami dengan mesra meskipun beliau sedang
sakit.  Perbincangan kami berjalan dalam kamar tidur beliau dan ulamak
tersebut berbaring di atas katilnya.  Beliau berkali-kali mengulangi
bahawa "Anwar adalah seorang pejuang."  Beliau terang-terang mengatakan
bahawa terdapat banyak perbezaan fikiran antara Anwar dan beliau, tetapi
itu adalah hak masing-masing dan Anwar sendiri pendukung perbezaan
pendapat.  Abdul Rahman Wahid mengatakan "Dr. Mahathir itu sama saja
dengan Suharto.  Melakukan sesuatu mengikut letter  of the laws, bukan
spirit of the laws," mengikut zahir undang-undang, tetapi melanggar
semangat dan maksud undang-undang.

Kami juga bertemu dengan Adnan Buyung Nasution, seorang peguam hak asasi
manusia yang terkenal dan juga ahli International Commission of Jurist.
Beliau khuatir perbicaraan Anwar tidak akan adil, kerana "miscarriage of
justice"  sudah berlaku kepada perbicaraan dua saksi utama, Sukma
Darmawan dan juga Dr. Munawar Anees.  Dan jelas bahawa dakwaan jenayah
adalah sebahagian dari konspirasi politik yang dirancang oleh Dr.
Mahathir.

Di kedua-dua negara, Indonesia dan Filipina, telah wujud gerakan untuk
membebaskan Anwar - "Free Anwar Movement".  Kami amat terharu dengan
keprihatinan yang ditunjukkan oleh rakyat dan media kedua-dua negara
terhadap nasib Saudara Anwar.

Kita jangan lupa bahawa Ghafar Baba diusir oleh rakyat Indonesia kerana
cuba menjadi burung kakak tua di Jakarta dengan mengulangi fitnah jijik
DM.  Tidak ada menteri yang mahu menerima kunjungan Annuar Musa, kecuali
rakan sejawat beliau.  Beberapa hari yang lalu Dr. Mahathir mengirim
bekas KSN, Ahmad Sarji, juga untuk menjelaskan fitnah Dr. Mahathir.
Percayalah tidak ada sebarang usaha Dr. Mahathir untuk mengeksport
fitnahnya yang akan berjaya.  Ia hanya akan menambah kebencian rakyat
Asean kepada beliau.  Dr. Mahathir akan terus menjadi kera sumbang.

Presiden Habibie dan Presiden Estrada sanggup melanggar diplomasi
konvesional untuk menyatakan simpati dan berusaha untuk membebaskan
sahabat mereka dari terus dianiaya oleh Dr. Mahathir.  Presiden Habibie
dan Presiden Estrada tidaklah mengenali Saudar Anwar serapat ahli-ahli
UMNO. Dimanakah maruah ahli-ahli UMNO yang membiarkan sahabat dan
pemimpin mereka dilayani seperti anjing?  Adakah begini sikap orang
Melayu dan orang Islam Malaysia terhadap sahabatnya?

Kami yang disingkirkan keahlian UMNO oleh Dr. Mahathir.

(digitized signature)                           (digitized signature)
Dr Abdul Rahim Ghouse                           Mohamad Ezam Mohd Nor