POSTING DARI GERAK-NET
Terima KAsih Pengirim
From
To: gerak-net@onelist.com
Subject: [gerak-net] Penjara Sungai Buloh 3 Mac 99
Date: Thu, 04 Mar 1999 18:27:59 PST
Penjara Sungai Buloh, Selangor, 3 Mac 1999.
Yang Mulia Tan Sri Pengerusi dan Ahli-Ahli, Suruhanjaya Siasatan
Kecederaan Anwar Ibrahim, Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur.
Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Selaku pengadu dan mangsa keganasan, saya ingin merakamkan penghargaan
kepada Suruhanjaya atas keprihatinan dan wewenang memberikan ruang
kepada saya melaporkan peristiwa malang malam 20 September 1998 yang
lalu.
Sikap Tan Sri Pengerusi dan ahli-ahli Suruhanjaya mencerminkan komitmen
pengendalian urusan kehakiman yang sewajarnya bebas, bijaksana untuk
mencari kebenaran dan menegak keadilan.
Saya telah memohon melalui peguam untuk memberikan kesempatan
menjelaskan beberapa isu mendesak setelah membaca laporan keterangan
daripada saksi-saksi lainnya dan Tan Sri Rahim Nor sendiri. Keterangan
yang saya berikan sebelum ini adalah sebelum mendengar keterangan
saksi-saksi utama dan memperolehi laporan doktor.
Saya juga perlu memberikan pandangan bersabit dengan kenyataan Dato’
Seri Mahathir Muhammad dan Tan Sri Mohtar Abdullah, Peguam Negara
berhubung kecederaan yang saya alami. Dan saya kira ianya masih relevan
merujuk kepada bidang tugas Suruhanjaya mengenai kecederaan dan
konspirasi yang menyebabkan kecederaan.
Saya menghormati keputusan Suruhanjaya untuk melanjutkan penyiasatan
setelah "pengakuan terhad" Tan Sri Rahim. Justeru itu, saya memohon
pertimbangan Suruhanjaya untuk menerima kenyataan bertulis sebagai
penjelasan lanjut.
"Pengakuan Terhad" Tan Sri Rahim Nor.
Dari satu sudut, saya merasa lega dengan "pengakuan terhad" Tan Sri
Rahim kerana sekurang-kurangnya telah mengesahkan kepercayaan saya
selama ini. Saya telah dibelasah kuat ala-gestapo; dipukul dan ditampar
hingga parah. Dengan pengakuan tersebut, percubaan berselindung dan
menafi gagal. Ia juga menolak tanggapan nakal dan tidak bertanggungjawab
termasuk Dato’ Seri Mahathir yang secara gopoh mengandaikan kemungkinan
kecederaan dialami akibat tindakan saya sendiri untuk meraih simpati,
atau kerana provokasi terhadap polis. Sebahagian daripada sentimen
tersebut dipertahankan oleh Tan Sri Mohtar Abdullah, kononnya sebahagian
dari sentimen dan kecederaan yang saya dakwa adalah tidak benar.
Malangnya pengakuan Tan Sri Rahim Nor setelah berdolak-dalik selama lima
bulan menzahirkan keangkuhan, tidak mengakui kesilapan, tidak memohon
maaf dan masih terus dengan penipuan dengan mendakwa kononnya beliau
terhilang punca kerana provokasi dari saya yang menuduhnya "bapa
anjing". Dalam ingatan saya, istilah "bapa anjing" hampir tidak terpakai
dalam bahasa Melayu. Tetapi istilah "bapa lanun" mungkin lebih serasi.
Lagi pun pada ketika itu, mata saya ditutup dan tangan digari.
Keterangan para doktor dan pegawai kanan polis telah memaksa
beliau membuat pengakuan; namun sikapnya tetap angkuh dan degil. Apakah
beliau merasakan akan terbela jua dengan jaminan oleh pihak tertentu?
Sementara Tan Sri Rahim melakukan keganasan di hadapan Pengarah Siasatan
Jenayah, Dato’ Yaakob M. Amin dan pegawai kanan polis lainnya, tidak ada
laporan polis dibuat; tidak ada yang berani menerima laporan dari saya
seolah-olah terdapat "konspirasi menyepi". Bahkan Tan Sri Rahim boleh
terus menjalankan tugas seperti biasa tanpa sebarang sentuhan dhamir
atau conscience. Beberapa hari kemudian beliau sanggup menipu rakyat
dengan kenyataan bahawa saya berada dalam keadaan aman dan terkawal
("safe and sound"). Ini menimbulkan persoalan penting mengenai
kewibawaan polis dan "budaya polis".
Sikap melampau sedemikian hanya tertera setelah pemecatan saya pada 2
September 1998. Saya sering diberikan amaran dengan nada angkuh oleh
Ketua Polis Negara. Pasukan Khas di bawah SAC II Musa Hassan, yang kini
telah dinaikkan pangkat, dan dibantu oleh ASP Rodwan, ASP Mazeli dan
lain-lain berhempas pulas mengugut, mendera untuk mendapatkan pengakuan
yang direka untuk mengaibkan saya bermula dengan kes Dato’ Nalla diikuti
oleh Dr. Munawwar, Suka Darmawan dan Mior Abdul Razak. Seperti mana yang
saya tegaskan dalam keterangan saya tempoh hari, Tan Sri Rahim pada awal
bulan Ogos lalu telah merayu supaya saya menyelesaikan masalah politik
dengan Perdana Menteri dengan sebaiknya. Perubahan sikap polis secara
mendadak dipercayai atas arahan Perdana Menteri yang memperalatkan polis
dan Jabatan Peguam Negara dan tentunya media tempatan untuk membinasakan
karier politik saya. Tidak sekali dijangka bahawa pergelutan politik
boleh berlarutan sehingga
mengakibatkan kecederaan fisikal yang parah.
Tahanan Di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)
Pada malam 20 September, kawasan rumah saya dikepung, seterusnya pasukan
Polis Tindakan Khas telah memecah pintu rumah dan menyerbu masuk
seolah-olah saya adalah pengganas bersenjata. Pada hal saya telah
membuat kenyataan umum dan peguam saya telah menulis kepada Ketua Polis
Negara dan Peguam Negara memberi pengakuan bahawa saya akan patuh
menyerah sekiranya dikehendaki. Mungkin mereka mendapat arahan untuk
menyerbu supaya saya cuba melarikan diri. Alasan inilah yang diidamkan
mereka. Malangnya buat mereka, saya tidak mahu terperangkap dengan
konspirasi peringkat tertinggi tersebut dan memilih untuk menenangkan
keadaan dan bersedia untuk ke Bukit Aman diiringi oleh Azizah dan
anak-anak. Penguasa Polis Brickfields
memaklumkan bahawa saya ditahan di bawah Seksyen 377B dan D Kanun
Keseksaan.
Namun setelah dibelasah teruk, dan melihat kecederaan yang parah,
tahanan dipinda di bawah ISA. Seklali lagi ISA digunakan. Kali ini untuk
menutup kemungkinan kecederaan diketahui oleh rakyat. Strategi mereka
menggunakan pertuduhan seks yang direka-cipta akibat konspirasi terpaksa
ditangguh buat seketika. Alasan dipinda kerana rusuhan dan keselamatan
negara. Lantas saya bertanya mengapakah Akta Polis dan ISA menjadikan
senjata ampuh untuk mempertahankan seseorang pemimpin meskipun tidak
disenangi rakyat? Bahkan lebih parah lagi ialah manakala penderaan,
keganasan dan kekejamaan dibenarkan berlaku atas keselamatan negara.
Rawatan Perubatan
Keterangan para doktor mengenai kecederaan akibat dipukul kuat amat
menggerunkan. Dr. Halim Mansa, pakar forensik menyebut bahawa bentakan
bertubi-tubi di kawasan genting "lethal" telah mengakibatkan kecederaan
parah dan berkemungkinan membawa maut. Di dalam keadaan sedemikian jua
pun, rawatan perubatan dinafikan selama lima hari. Tan Sri Rahim
menjelaskan beliau tidak menerima maklumat. SAC I Musa Hassan dan Dato’
Ramli Yusuf telah menolak permohonan rawatan segera. Saya dibiarkan
terlantar di atas simen lokap No. 6 Bukit Aman. Mujurlah anggota polis
biasa yang bertugas begitu simpati, membantu mendemah bengkak dan
seterusnya menyampaikan maklumat penting kepada saya.
Dalam keadaan kesakitan dan lemah, saya dipaksa beralih dengan
perjalanan satu jam ke bilik kurungan tertutup rapi Cawangan Khas. Dalam
keadaan saya yang terhoyong-hayang ACP Aziz dan pasukannya masih
meneruskan soal siasat. Soalan hanya reda manakala saya menyentuh soal
rasuah, bail-out untuk sanak saudara dan kroni, rompakan harta dan
khazanah negara. Pada hari kelima, Dr. Vasantha muncul untuk memberi
rawatan pertama.
Menurut keterangannya, beliau diberi amaran supaya jangan mengemukakan
pertanyaan mengenai kecederaan. Permohonan beliau untuk rawatan lanjut
dari pakar optamologi dan ortopedik ditolak.
Siapakah yang bertanggungjawab mengarah supaya penderaan berlanjutan?
Dan mengapakah senjata ISA dan Akta Polis diperalatkan demikian rupa
tanpa kawalan dan pertanggungjawaban?
Penglibatan Peguam Negara
Saya juga telah menyentuh perilaku-perilaku Tan Sri Mohtar, Peguam
Negara setelah saya dipecat. Kenyataan dan tindakan beliau dan
jabatannya adalah mencurigakan. Afidavit polis (sekali lagi Musa Hassan
dan Peguam Negara dalam kes Dato’ Nalla) dibuat dengan cara yang leceh,
tidak berdasarkan pertimbangan undang-undang atau prinsip
keadilan, bahkan menjadikan Jabatan Peguam Negara sebagai alat dan
perkakasan politik murahan atas arahan Dato’ Sri Mahathir. Beliau
sanggup mengumpulkan pertuduhan menakjubkan menjadikan saya sebagai
penderhaka, mengamalkan rasuah dan salah laku seks; gabungan kesalahan
paling hebat dalam sejarah malang bagi Jabatan Peguam Negara yang kini
diremehkan ke peringkat serendah dan sekeji ini.
Dalam sidang khas pegawai tinggi polis di Bukit Aman pada 22 September
1998 bagi membahaskan di antara lain soal penangkapan saya, Dato’ Gani
Patail turut terlibat. Arahan perubahan tahanan di bawah ISA dibuat
semasa beliau di sana. Setelah pasukan Siasatan Khas yang diketuai oleh
ACP Mat Zain Ibrahim menyelesaikan tugas, laporan dikemukakan kepada
Jabatan Peguam Negara, diteliti oleh Dato’ Gani dan Azhar Mohammad.
Kebetulan juga mereka terlibat dengan pendakwaan saya dan bersabit
dengan tuduhan serius dalam akuan bersumpah Manjeet Singh.
Di hari pertama saya dihadapkan ke mahkamah pada 29 September 1998, satu
permohonan oleh peguam Y.M Raja Aziz Addruse yang dikira biasa bagi
tertuduh, yang didakwa didera tatkala dalam tahanan polis melaporkan
kepada majistret telah dibantah oleh Dato’ Gani Patail. Menurutnya, saya
hanya mengalami "kecederaan ringan" sahaja. Walau bagaimanapun, saya
dibenarkan memberi kenyataan ringkas, beberapa jam kemudian. Saya
beranggapan wujudnya perancangan untuk menutup maklumat kecederaan dari
diketahui umum. Bahkan pihak polis mengambil langkah-langkah luar biasa
melarang dan melindungi agar gambar saya tidak diambil.
Saya telahpun memohon supaya Suruhanjaya mengkaji beberapa laporan yang
dikemukakan kepada Peguam Negara oleh ACP Mat...... Oleh kerana ia
berkaitan dengan isu kecederaan perlu diteliti peranan yang dimainkan
oleh Dato’ Gani dan Azhar dalam menilai laporan tersebut, lebih-lebih
lagi kerana prasangka jelas mereka terhadap saya. Ini dapat disahkan
dari kenyataan Peguam Negara bertarikh 5 Januari 1999 yang cukup lemah,
tidak profesional dengan menzahirkan niat serong terhadap saya. Setelah
mendapat keterangan delapan doktor pakar, beliau tokok alasan munasabah
mengundang pakar forensik tambahan yang tidak menemui atau menyiasat
saya tetapi membuat laporan mempertikai laporan doktor pakar terdahulu,
walau bagaimanapun, keterangan Dr. Abdul Rahman Yusof kepada Suruhanjaya
memperakui laporan tersebut. Apakah beliau kurang senang dengan perakuan
tersebut sehingga terpaksa mencari pandangan lain lagi berdasarkan satu
pendapat ini. Peguam Negara membuat kesimpulan yang memberi sedikit
kepuasan kepadanya, kerana mempertikaikan perakuan dan aduan.
Setelah memengap laporan siasatan khas selama dua bulan, beliau membuat
keputusan mempertikai sebahagian kecedaraan yang diadu: belum bersedia
mengemukakan kes prima facie; dan seterusnya meletakkan PDRM sebagai
bertanggungjawab. Hanya PeguamNegara yang memilih untuk terkeliru di
antara kecederaan baru dan masalah saya sebelumnya, termasuk refflux
oesophagitis dan cervical spondylitis. Kini tidak ada doktor yang
mempertikai. Cuma prasangka tebal Tan Sri Mohtar menyebabkan beliau
cepat menghukum saya tidak memberikan keterangan yang tepat. Mengenai
sama ada terdapat asas prima facie, alasan dan bukti lebih kukuh
sekiranya Peguam Negara tidak terikat dengan pendekatan "pendakwaan
terpilih". Mengenai tanggungjawab polis, kita tidak perlu menunggu dua
bulan dari tempoh laporan dan hampir empat bulan dari tempoh kejadian
untuk diberitahu maklumat asas tersebut.
Yang agak menarik ialah apakah Kementerian Dalam Negeri tidak ada kaitan
sama sekali?
Perdana Menteri Dan Menteri Dalam Negeri
Saya akui kesulitan Suruhanjaya, lebih-lebih lagi Ketua Penyiasat Tan
Sri Abu Talib untuk menjemput Dato’ Seri Dr. Mahathir membantu
penyiasatan dan memberi keterangan. Tetapi, sekurang-kurangnya beliau
harus memberikan kerjasama dengan memberikan maklumat lengkap selaku
Menteri Dalam Negeri pada ketika itu. Ketua Polis Negara bertangungjawab
langsung kepadanya. Dalam keadaan yang cemas dan gawat, menurut Tan Sri
Rahim Noor sendiri dengan perhimpunan sekitar 60,000 orang, mustahil
bagi beliau untuk tidak melaporkan setiap
perkembangan yang berlaku.
Sekiranya Dato’ Seri Dr. Mahathir menyatakan tidak dimaklumkan sama
sekali tentang apa yang berlaku, nyata sekali pimpinan daif dan meleset
kerana kurang bertanggungjawab. Justeru itu pimpinannya tidak relevan
lagi. Di sebaliknya, andai kata mengetahui mengenai keganasan yang
berlaku, mengapa beliau memilih untuk berdusta kepada rakyat. Pertama,
beliau menuduh saya dan penyokong reformasi mengadakan perhimpunan untuk
mengelak diri saya dibawa ke mahkamah, walhal kecederaan parahlah yang
menyebabkan kes terpaksa ditangguh.
Kedua, beliau menyangkal mengenai kecederaan dengan menyatakan
kemungkinan saya mencederakan diri saya sendiri. Bahkan setelah
kecederaan diketahui umum, beliau sama sekali tidak menunjukkan sikap
prihatin dan bertanggungjawab. Kenyataan-kenyataan lebih didorong
perasaan berang dan dendam kesumat. Inilah sikap yang memungkinkan
hulubalang dan "lanun" bertindak ganas untuk menjaga kepentingan tuan
mereka!
Dan selaku Perdana Menteri, Peguam Negara akan merujuk semua urusan
utama. Saya telah cuba membuktikan berdasarkan dokumen-dokumen bahawa
Peguam Negara tidak bebas dalam memutuskan pertuduhan yang melibatkan
mana-mana tokoh penting atau dalam memutuskan perkara besar. Maka tidak
mustahil bagi Peguam Negara untuk mendapatkan kelulusan Perdana Menteri
sebelum mengeluarkan kenyataan hambar mengenai penyiasatan pada 5
Januari 1999. Dan kini, setelah lebih 5 bulan peristiwa tersebut
berlaku, Perdana Menteri dengan kuasa yang hampir mutlak mampu sekadar
mengatakan bahawa beliau menyerah segala-galanya kepada Peguam Negara!
Penutup
Saya bersyukur ke hadrat Ilahi, kerana sekurang-kurangnya dalam tempoh
singkat, keterangan kepada Suruhanjaya telah mendedahkan banyak fakta
yang sengaja dirahsiakan atau cuba dibendung selama ini. Atas
alasan-alasan sedemikianlah saya telah berulang kali merayu agar
Suruhanjya menimbangkan aspek-aspek kecederaan, punca dan suasana
selepas serangan termasuk konspirasi berkaitan. Seperti mana yang saya
tekankan, saya tidak berhasrat menonjolkan kes dan pengalaman tersebut
sebagai isu peribadi. Jika pengalaman seteruk ini boleh menimpa seorang
bekas Timbalan Perdana Menteri, apakah jaminan keseluruhan undang-undang
serta pertimbangan keadilan bagi rakyat biasa di negara Malaysia
tercinta ini?
Peristiwa tersebut harus dijadikan pengajaran. Undang-undang harus
dipatuhi oleh semua dan dilaksanakan secara adil. Orang yang diamanahkan
harus memikul tanggungjawab dan dipertanggungjawabkan sepenuhnya. Rakyat
kian insaf dan sedar. Kejadian tersebut juga telah mendedahkan ratusan
kisah penderaan dan keganasan pihak berkuasa
dan polis. Akta Polis dan pengendalian Akta Keselamatan Dalam Negeri
oleh Cawangan Khas bukanlah sijil untuk digunakan sewenang-wenangnya
secara rakus. Ketidakadilan dan keganasan harus dihentikan. Pihak polis
harus mengerti tugas menjaga keamanan dan keselamatan yang amat penting.
Dan ini dibedakan dengan urusan parti politik dan kepentingan individu
pemimpin yang tidak tergolong atau harus dirangkul sebagai tanggungjawab
polis.
Akhir sekali, kita berdoa ke hadrat Allah swt semoga pendedahan kes ini
memulakan prinsip ketelusan tidak percubaan berselindung; prinsip
keadilan dan tidak mempertahankan keganasan dan kezaliman; kepada pihak
Suruhanjaya, saya ucapkan terima kasih kerana sumbangan ke arah usaha
mencari kebenaran dan menegak keadilan.
Wassalamu alaikum warahmatullah dan salam hormat.
Ikhlas, Anwar Ibrahim.