Bercerita mengenai HAK

 

Salam Reformasi,

 

Adapun sedang kita sibuk berbuka puasa kita dikejutkan dengan satu pertubuhan politik baru yakni Himpunan Angkatan Keadilan atau HAK. Kami pada mulanya tidak mahu mengulas apa pendapat kami tentang penubuhan HAK, tetapi entah mengapa seolah olah hati kecil ini mengesa untuk kami menyurat sedikit sebanyak pendapat kami tentang penubuhan HAK.

 

Asas utama apa yang ingin kami sampaikan adalah kebebasan mana mana individu untuk menubuhkan sebarang platform bagi menyuarakan ketidakpuasan hati mereka baik secara kolektif ataupun secara individu.

 

Penubuhan platform ini perlu kerana perundangan kita kemungkinan menetapkan bahawa sekiranya rakyat bersatu hati sebulat suara tidak setuju dalam sebarang hal pentadbiran baik ekonomi, politik mahupun sosial maka mereka tidak boleh secara kolektif menyuarakannya tanpa platform tertentu dan tanpa permit dari polis. Ini akan meletakkan mereka sebagai berada dalam perhimpunan haram dan kalau mereka semua bersependapat maka pendapat mereka adalah pendapat haram. Agaknya begitulah sistem kita. (just a thought)

 

Walauapa pun sekiranya pendapat mereka menyokong kerajaan maka permit dan platform tidak perlu dan yang perlu cuma bawa Kad Pengenalan dan Banner banner sokongan. (Lumrah pemerintah sekarang ini)

 

Maka asas inilah kemungkinan HAK ditubuhkan bagi menentang ketidakadilan dalam sistem kita hari ini.

 

Kami terbaca juga posting posting dalam Gerak Net yang mengutuk dan menghina penubuhan HAK. Posting mereka berasaskan kemungkinan HAK didalangi oleh Kerajaan Malaysia bagi memecahkan majoriti undi khususnya dalam masyarakat berbilang bangsa. Aduh .... satu tuduhan dan satu tindakan yang tidak wajar.

 

Dahulu kami membidas para pengkritik yang menentang Sdr Malik dalam penubuhan parti reformasi, ramai yang menghantar email mengatakan laman kami adalah Laman Malik. Agaknya nanti tentu kami akan dikecam sebagai Laman HAK pula. Tidak mengapa? Kami sedikit tidak marah atas kritikan tersebut. Pada kami sekiranya mereka ingin menubuhkan sebarang parti atau pertubuhan itu adalah hak mereka sebagai individu dinegara kita yang telah lama merdeka dan telah lama mengamalkan demokrasi. Apa yang penting adalah fahaman mereka yang dan cita cita penubuhan mereka. Sekiranya sealiran dengan fahaman kita dan kehendak kita sebagai individu maka tidak ada sesiapa yang boleh melarang penubuhan mereka dan begitu juga sebaliknya tidak ada sesiapa yang boleh memaksa kita menyertainya sekiranya HAK tidak seangkatan dengan kehendak dan fahaman kita sebagai individu. Dengan lain kata tepuk dada tanya minda.

 

Meneliti slogan dan propoganda HAK memang tidak dapat dinafikan bahawa idealisma yang ingin dijunjung oleh kumpulan ini amat positif sekali bagi pembangunan keadilan dan pembangunan sistem demokrasi yang lebih bermakna. Konsep "check and balance" mereka amat menarik dan sememangnya secara dasar ia memperjuangkan keadilan , kebebasan rakyat dan membenteras sebarang bentuk penindasan baik dari segi sosial kemasyarakatan, ekonomi dan politik. Tujuan yang murni dengan idea idea yang membawa kepada cita cita pembangunan sejagat dan kolektif seharusnya disusuli dengan langkah langkah yang berkesan dan tindak tanduk yang ikhlas. Ini adalah bagi meletakkan cita cita tersebut sebagai matlamat dan bukan igauan kehendak. Walauapa pun penubuhan secara mendadak dan intipati perjuangan yang direka atas kesan kesan politik yang wujud sekarang ini adalah tidak lebih dari cita cita dan idealisma yang ditiru dan dirompak dari mereka yang terbantut pergerakannya untuk terus memperjuangan keadilan sejagat secara terbuka kerana dipenjara secara tidak adil. Sekurang kurangnya sebelum penubuhan atau mendaftar untuk pertubuhan HAK perlu memberi salam kepada rakan rakan yang sedia ada dalam bilik perjuangan. Ini lebih meletakkan HAK sama sama sebagai rakan juang dan bukan rakan memecahkan perjuangan. Walau apa pun HAK telah menyertakan permohonan pendaftaran mereka. Adalah diharapkan semoga HAK turut berjaya dalam cita cita mereka dan sekiranya sealiran dengan cita cita kita maka sokongan akan terus kami beri .

 

Sungguhpun begitu KOMENTAR tidak pernah berubah untuk memberi sokongan padu pada Datuk Seri Sdr Anwar Ibrahim dan perjuangan kami adalah hasil laungan REFORMASI beliau.

 

KOMENTAR