KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri
                Rahim Noor disahkan telah memukul dan menumbuk
                Dato' Seri Anwar sehingga menyebabkan mata kiri Dato'
                Seri Anwar lebam, lehernya lebam, tangan kirinya tidak
                bermaya serta hidung dan bibirnya pecah.

                Perkara ini terdedah apabila sekumpulan pegawai kanan Bukit
                Aman yang membincangkan isu itu menyebut memang benar
                Rahim memukul Dato' Seri Anwar dan perbualan mereka telah
                didengari oleh seorang pegawai polis berpangkat rendah yang
                kebetulan berada di bilik perbincangan tersebut.

                Dalam perbincangan itu, polis kini berada dalam keadaan serba
                salah kerana kes Dato' Seri Anwar dipukul perlu disiasat segera.

                Menurut mereka adalah sukar untuk mereka menyiasat Rahim
                dan kini mereka sedang mencari anggota polis berpangkat
                rendah untuk dipertanggungjawabkan.

                Berdasarkan perbincangan itu, semasa Dato' Seri Anwar dipukul
                oleh Rahim, Dato' Seri Anwar sedang membaca ayat-ayat suci
                Al-Quran.

                Apabila Dato' Seri Anwar dipukul, beliau tidak berhenti daripada
                membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan keadaan ini
                menyebabkan Rahim hilang sabar dan terus membelasah Dato'
                Seri Anwar.

                Setidak-tidaknya 8 kali tumbukan telah dilepaskan oleh Rahim
                dan lebih 10 pukulan lain di bahagian badan Dato' Seri Anwar.

                Malah, pukulan keras telah dilakukan di bahagian leher Dato'
                Seri Anwar kerana Rahim tahu leher Dato' Seri Anwar pernah
                tercedera kerana jatuh daripada kuda.

                Lebih memeranjatkan menurut para pegawai itu, semasa Rahim
                memukul Anwar, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim
                Thamby Chik turut berada di Bukit Aman.

                Sementara itu, dalam perbincangan tersebut, pegawai kanan
                polis itu turut dimaklumkan tentang keadaan tahanan-tahanan
                ISA.

                Daripada laporan yang dikemukakan, Timbalan Rektor UIA, Dr.
                Sidek Baba dikenakan seksaan dengan ditelanjangkan serta
                disiram dengan air batu dan kemudiannya diletakkan dalam bilik
                sejuk.

                Manakala, Ruslan Kassim pula dipaksa meminum air sabun
                sehingga mengalami muntah-muntah dan cirit-birit.

                Penyeksaan berterusan ini bertujuan untuk meminta
                tahanan-tahanan berkenaan mengakui mereka percaya dengan
                dakwaan bahawa Dato' Seri Anwar memang rendah moralnya.

                Berdasarkan maklumat ini, kita tidak hairan tahanan ISA boleh
                diseksa sedemikian rupa kerana Dato' Seri Anwar selaku bekas
                Timbalan Perdana Menteri pun diseksa begitu kejam oleh Rahim
                Noor.