Make your own free website on Tripod.com

Perletakan Jawatan Rahim Noor. Hari ini 8hb Januari 1999 Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor melepaskan jawatan beliau atas alasan bertanggung jawab keatas kecederaan yang berlaku keatas Anwar Ibrahim semasa beliau memegang teraju kepimpinan Polis. Ini kemudian diikuti oleh perlepasan jawatan Kementerian Dalam Negeri oleh Dr Mahathir Mohamed. Apakah sebenarnya Dr Mahathir Mohamed mahu mengaku bahawa beliau juga gagal dalam memegang pucuk kuasa Jabatan Polis yang tertakluk dibawah kementerian itu? Apakah Dr Mahathir juga turut kononnya bertanggung jawab keatas pemukulan dan penderaan keatas Sdr Anwar Ibrahim selepas kenyataan demi kenyataan beliau buat mengatakan bahawa terdapat kemungkinan Sdr Anwar mencederakan diri sendiri untuk mendapatkan simpati orang ramai? Apakah perombakkan kabinet dibuat mempunyai hubung kait dengan perletakan jawatan Rahim Noor ? Secara tiba tiba kita digemparkan dengan perlantikkan Abdullah Badawi sebagai Timbalan Perdana Menteri. Semua berlaku serentak. Kenapa dan mengapa?

Apakah helah Dr Mahathir kali ini? Apakah untuk menunjukkan kebersihan diri beliau dan kesungguhan beliau dalam menangani kes Anwar Ibrahim.Apakah ini gimmik politik untuk meminta rakyat menerima beliau dan UMNO kembali? Mungkin juga Pak Lah dilantik sebagaimana Tun Ghafar dilantik untuk missi tertentu, khususnya menyatukan semula UMNO dan memanggil balik ahli UMNO yang banyak telah kecewa dengan kepimpinan Dr Mahathir . Kemungkinan perlantikkan ini perlu memandangkan reputasi Pak Lah sebagai "a cool politician" bagi memperbaiki keadaan UMNO yang mula nazak. Apa pun bagi pendokong reformasi semuanya tidak akan kembali pulih selagi Dr Mahathir tidak melepaskan jawatan beliau. Jika dirumus kembali memang Pak Lah mempunyai kredibiliti tersendiri dalam UMNO. Mungkin Pak Lah bersih dari segi moral berbanding dengan Datuk Najib dan ini dijadikan umpan untuk mereka kembali menyokong UMNO. Dengan adanya Pak Lah diharapkan sokongan keatas UMNO dan reputasi UMNO akan pulih semula. Percaturan Mahathir menang tepat sekali. Antara yang lain memang keperibadian Pak Lah boleh memikat para pendokong UMNO dan ini akan dapat menyelamatkan UMNO dari menghadapi kekalahan pada pilihanraya akan datang. Walau apa pun setakat ini Pak Lah masih terbelenggu dengan Mahathir. Kebijakan Dr Mahathir menyelamatkan diri dan UMNO memang tidak dapat dinafikan lagi. Pemilihan Pak Lah memang tepat bagi UMNO. Sikap yang tidak radikal Pak lah pasti akan menyelamatkan Dr Mahathir kelak, sangka beliau.

Walau apa pun gerakan reformasi harus bersedia. Kehadiran Pak Lah dengan identiti beliau masih didalangi oleh Dr Mahathir. Masakan tidak, Pak Lah yang dikenali ini turut serta membidas Anwar Ibrahim tanpa mengira benar atau tidak tuduhan tersebut. Pak Lah turut menyokong konspirasi yang ada sekarang ini. Beliau masih tidak lepas dari cengkaman Dr Mahathir. Beliau masih dibelenggu dengan kekejaman pemerintahan Dr Mahathir dan selagi beliau begitu maka beliau akan turut menjadi mangsa kekalahan pada pilihanraya akan datang bersama sama dengan kehancuran UMNO. Pak Lah tetap menjadi umpan bagi UMNO yang kian lama kian nazak hasil perbuatan Dr Mahathir. Selagi Mahathir ada selagi itulah tidak ada seorang pemimpin sekarang ini yang sanggup menentang beliau. Semua akan turut menjadi korban Dr Mahathir berserta dengan kehancuran UMNO. Walau bagaimanapun awas Megat Junid dan Aziz Shamsudin, sedar sedar Mahathir akan meletakkan kamu sebagai pengasas konspirasi yang beliau konon tidak tahu. Awas...

 

SALAM

Komentar