Make your own free website on Tripod.com
Surat Terbuka buat Dr Mahathir
 

 
7hb Oktober 1998   Thank You Justice4all
 


YAB Dato' Seri Dr Mahathir Mohammad
Presiden
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu
 

YAB Dato' Seri

PEMECATAN SEBAGAI AHLI UMNO

Didoakan semoga petunjuk dan hidayah diberikan Allah s.w.t kepada
Dato' Seri agar tidak terus mengimmarahkan sistem pemerintahan yang
zalim.

Terlebih dahulu saya mengucapkan tahniah, di atas kejayaan Dato Seri,
Daim, Sanusi, Megat, Aziz dan rakan-rakan yang lain dalam usaha
menyingkirkan Dato' Seri Anwar dan sekaligus melenyapkan pengaruh
gerakan Islam yang mula mendapat tempat dalam UMNO.

Mesyuarat MKT semalam (6/10/98) jelas memaparkan keangkuhan seorang
presiden parti yang dengan sewenang-wenangnya memecat ahli yang tidak
mempercayai pembohongan terancang yang didalangi oleh dirinya sendiri.
Walaupun pada dasarnya, sepuluh ahli termasuk saya dipecat oleh MKT,
tetapi saya yakin bahawa keputusan MKT UMNO itu sebenarnya tidak lagi
mencerminkan keputusan ahli Majlis Kerja Tertinggi tetapi adalah
keputusan peribadi Presiden parti.

Lebih menyedihkan lagi, bukan sahaja kami dipecat tanpa diberi peluang
membela diri, malah kami difitnah terlibat secara langsung dalam
gerakan anti UMNO.  Saya dengan lafaz Wallahi bersumpah, bahawa saya
tidak pernah terlibat sehingga tarikh saya dipecat dalam mana-mana
gerakan anti UMNO.  Sokongan saya terhadap perjuangan Dato' Seri Anwar
Ibrahim adalah atas dasar keyakinan saya bahawa beliau sahajalah yang
mampu diharapkan oleh rakyat Malaysia untuk membawa perubahan dalam
sistem pemerintahan kuku besi Dato' Seri.

Gerakan Reformasi bukan merupakan satu gerakan anti UMNO, tetapi ianya
merupakan satu gerakan massa yang menyeru seluruh rakyat Malaysia
untuk bangkit menuntut perubahan dalam sistem pentadbiran, perundangan
dan kehakiman negara.

Sebagai seorang ahli parti yang turut membayar nilai yuran keahlian
yang sama dengan Dato' Seri, saya mempunyai segala hak sebagai seorang
ahli parti untuk menyatakan sokongan saya kepada mana-mana individu.
Tindakan Dato' Seri memecat Dato' Seri Anwar memang tidak dapat saya
terima sama sekali.  Ia jelas mengambarkan ketakutan Dato Seri  kepada
bayang-bayang sendiri yang begitu khuatir ditentang oleh pejuang hak
rakyat yang lebih bertenaga dalam pemilihan tahun hadapan.   Demokrasi
ala Mahathir ini langsung tidak mengizinkan mana-mana ahli parti
berbeza pendapat atau menegur Presiden parti.  Oleh itu saya
mencadangkan agar Perlembagaan UMNO dipinda bagi memastikan tidak ada
sesiapa boleh menentang Presiden parti selagi diktator tua itu masih
hidup.

Janganlah tuduh kami anti UMNO, sesungguhnya cinta kami kepada UMNO
sepuluh kali lebih tebal dari Dato' Seri sendiri.  Itulah sebabnya
saya tidak rela terus melihat UMNO dipimpin oleh seorang pemerintah
autokrat yang tidak bertindak adil terhadap rakyat.  Jika benar Dato'
Seri benar-benar cintakan UMNO, sudah pasti Dato' Seri memahami
perasaan rakyat yang sudah tidak memerlukan khidmat  Dato' Seri dan
menuntut agar Dato' Seri berundur dari jawatan Presiden dan Perdana
Menteri.  Rakyat terbanyak kini terlalu membenci Dato' Seri dan mula
memandang hina terhadap UMNO.  Saya merayu kepada Dato' Seri,
janganlah biarkan UMNO dihukum disebabkan keangkuhan Dato' Seri.
Jika benar Dato' Seri pernah mempunyai niat untuk bersara dan
menyerahkan kerusi Presiden kepada Dato' Seri Anwar, kini dengan
penahanan beliau, mengapa tidak jawatan itu diserahkan kepada Dato'
Seri Najib atau Dato' Seri Abdullah?  Adakah Dato' Seri tidak yakin
dengan mereka?  Jika mereka tidak Dato' Seri yakini sebagai pengganti,
kenapa Dato' Seri begitu rakus menyingkirkan Dato' Seri Anwar tanpa
memikirkan apakah nasib anak bangsa selepas ketiadaan Dato' Seri.
Adalah mustahil untuk Dato' Seri menyerahkan tampok pemerintahan
negara kepada orang lain selagi masih hidup.  Dato' Seri hanya
memikirkan bagaimana untuk mengukir nama sahaja, jambatan terpanjang,
lapangan terbang tercanggih, menara berkembar tertinggi, Multimedia
Super Corridor,  Perdana Menteri paling lama dan macam-macam lagi.

Pada firasat saya, tindakan Dato' Seri untuk tidak melantik TPM yang
baru adalah untuk memastikan cita-cita Dato' Seri untuk menjadi
pemimpin yang membawa Malaysia ke abad baru tercapai tanpa
diganggu-gugat.  Saya ingin menasihatkan kepada Dato' Seri, belum
tentu strategi Dato' Seri untuk membiarkan mereka bercakar bagi
merebut jawatan Timbalan Presiden pada tahun hadapan akan membawa
makna kedudukan Dato' Seri  sebagai Presiden tidak akan dicabar.

Adakah Dato' Seri fikir rakyat bodoh dan terperdaya dengan kata-kata
Dato' Seri yang sebelum ini pernah melahirkan niat untuk bersara?
Saya yakin, rakyat boleh berfikir. Mana mungkin orang yang hendak
bersara bisa membina Istana bernilai RM 200 juta dengan perhiasan
dalaman tercanggih di dunia hanya untuk dinikmati oleh penggantinya.
Dan bodohkah rakyat untuk mempercayai bahawa Dato' Seri benar-benar
ikhlas membina Memorial Tunku Abd Rahman untuk menghargai jasa
Almarhum Tunku Abdul Rahman .   Kita sedia maklum Dato' Seri
sememangnya membenci beliau dan pembinaan Memorial itu semata-mata
mengharapkan  memorial yang jauh lebih besar dan hebat untuk Tunku
Mahathir.  Rata-rata rakyat sudah menyedari hasrat Dato' Seri untuk
kembali ke rahmatullah dalam keadaan gilang-gemilang iaitu sewaktu
masih menjawat jawatan Perdana Menteri bagi mendapatkan liputan dan
sambutan penuh istiadat.

Beristifarlah Dato' Seri, janganlah terlalu mengharapkan keagungan
yang hanya wajar diberikan kepada Allah s.w.t.  Jangan biarkan rakyat
terus membenci Dato' Seri sehingga cucu-cicit Dato' Seri menerima
cemuhan mereka.  Ini akhirnya menyebabkan keturunan Dato' Seri sendiri
kencing di perkuburan Dato' Seri sebagai tanda kesal mendapat seorang
moyang yang zalim.

Untuk itu saya menyeru pada Dato' Seri, hentikanlah kezaliman ini.
Bertaubatlah kepada Allah s.w.t.  Kembalikanlah Dato' Seri Anwar
Ibrahim ke pangkuan rakyat.  Walaupun beliau terpaksa menjalani
pembicaraan yang kita sedia maklum Hakim-hakim yang mengambil kes
beliau sebahagiannya memang sengaja ditukarkan ke situ untuk
memastikan Dato' Seri Anwar kecundang, tapi janganlah membiarkan
beliau terus ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.
Sesungguhnya beliau adalah seorang pejuang dan tidak gentar untuk
menghadapi keadilan di Mahkamah.  Tidak seperti sesetengah pemimpin
yang sudah menyediakan pesawat untuk melarikan diri bersama-sama
dengan doktor peribadinya .

Akhir sekali, saya ingin menegaskan bahawa saya dan rakan-rakan yang
lain tidak pernah berniat untuk menentang UMNO, apa yang kita
perjuangkan adalah Reformasi yang mampu memperkukuhkan lagi UMNO.
Bersama-sama ini saya lampirkan salinan pita video yang dapat
memperkukuhkan lagi hujah saya bahawa Gerakan Reformasi bukan Gerakan
Anti UMNO.

Sekian.  Maaf di atas segala keterlanjuran bahasa.  BERUBAHLAH SEBELUM
RAKYAT MERUBAH.
 

PEMUDA PEMANGKIN GERAKAN REFORMASI
 
 

LOKMAN NOOR HAJI ADAM

s.k.  Pejuang-pejuang UMNO