GERAKAN REFORMASI JUGA YANG DIHARAPKAN BAGI MENGHIDUPKAN PERJUANGAN MENUNTUT KEADILAN

Komentar 15/1/2000

Gerakan Reformasi tajaan Sdr Anwar Ibrahim telah disambut dengan begitu bersemangat sekali oleh rakyat Malaysia. Perjuangan menuntut pembaharuan atau "REFORMASI" bergema diseluruh pelusuk negara. Perjuangan ini terus dilaksanakan walaupun Sdr Anwar Ibrahim telah dipenjara dan suara keramat beliau disekat. Sewaktu Sdr Anwar dibelasah dipenjara oleh Tan Sri Rahim Noor, ramai kalangan reformis juga turut dibelasah dijalanraya. Ada antara mereka yang ditahan dalam akta zalim ISA. Mereka diseksa,dizalimi,dibelasah dan layan umpama anjing tanpa nilai kemanusiaan. Gerakan Reformasi TETAP diteruskan. Reformis tetap memperjuangkan keadilan.Amaran dan ugutan ditolak tepi. Pengusaha Laman Reformasi TETAP menyalurkan informasi-informasi ketidakadilan dan kezaliman bagi mengantikan media yang korup dengan lapuran yang menipu dan mengaburkan mata masyarakat.Perjuangan tetap dilaksanakan dan pengorbanan mereka adalah demi menuntut keadilan dan pembebasan Sdr Anwar Ibrahim. Perjuangan mereka kemudiannya disalurkan melalui platform parti politik. Mereka kemudiannya menabur khidmat dalam Parti Keadilan Nasional yang ditubuhkan pada bulan April 1999. Rentak perjuangan berubah dari tuntutan jalanan kepada tuntutan berlandaskan politik.

MALANG SEKALI bagi reformis,

Kehadiran Parti Keadilan Nasional yang berasaskan perjuangan mereka diambilalih oleh politikus-politikus yang nampak "prospect" kejayaan Parti Keadilan Nasional lalu berusaha mengambil jalan mudah untuk menjayakan karier politik mereka. Perjalanan para reformis terbantut. Mereka yang masak dalam perjuangan Reformasi diketepikan terus dan budaya politik kotor diresap kedalam parti. Perjuangan Reformasi diketepikan tetapi mereka terus berusaha memperjuangan kebebasan Sdr Anwar Ibrahim. Politikus yang ada mengugut andainya perjuang reformis tidak akur kepada keputusan mereka maka Sdr Anwar Ibrahim akan terus merengok dalam penjara. Demi menuntut keadilan dan demi mahukan Anwar Ibrahim bebas pejuang reformis yang disepak ketepi terus akur kepada setiap keputusan kepimpinan tertinggi. Ugutan sebegini terus dilaksanakan oleh mereka. Mereka mula membawa masuk budaya kronisma, membawa masuk konsep tohmahan bagi menjatuhkan saingan mereka, mula melaksanakan politik bertangga (bodek membodek) untuk menguguhkan tempat mereka dalam parti sedangkan reformis diharapkan dapat berkorban demi perjuangan dan demi cita-cita mereka. Politikus sedemikian terus wujud dalam keADILan dan politikus tersebut terus naik untuk memegang kepimpinan Parti Keadilan Nasional. Reformis yang dahulu memulakan gerakan dan memulakan langkah memperkembangkan Parti Keadilan Nasional kini diganti dengan plitikus-politikus murahan dan jasa mereka yang membangunkan parti terus disejarahkan.Alasan biasa mereka adalah untuk memantapkan parti, demi perjuangan dan demi kejayaan parti.Walau apa pun setelah menikmati kegagalan dalam pilihanraya yang lalu rahsia agenda mereka jelas terbongkar.Mereka tidak telus dalam perjuangan dan mereka lebih kepada keinginan menjawat jawatan penting sekiranya parti berjaya dengan dokongan para reformis dan sokongan rakyat. Mereka rela mencaturkan perjalanan setiap bahagian agar kedudukan mereka kukuh. Mereka menolak reformis yang kurang dalam pengalaman berpolitik kotor amalan mereka. Kini mereka terus berdiam. Mereka senyap dengan harapan agar golongan reformis memulakan langkah untuk menyemarakkan suasana tuntutan keadilan. Mereka tunggu golongan reformis bertindak untuk menuntut pembebasan Sdr Anwar Ibrahim. Mereka menagih agar golongan reformis terus berkorban untuk mengerakkan kesedaran rakyat dan semangat rakyat untuk mereka memulakan politik kotor mereka menjelang pilihanraya akan datang. Mereka hadir hanya menjelang piliharaya tanpa risiko perjuangan. Inikan yang ada dalam keadilan. Inikah perjuangan. Inikah kepimpinan rakyat. Inikah parti hasil dokongan rakyat.Sungguhpun begitu tuntutan membebaskan Sdr Anwar Ibrahim dan keadilan tetap diteruskan oleh perjuang reformis tulen. Hanya kepimpinan Datin Presiden selaku penganti suara Anwar Ibrahim dapat diharapkan membela golongan reformis ini dari terus dijajah oleh mereka yang berpolitik demi kepentingan sendiri. Pengharapan kita kepada Ketua Pemuda agak kabur, kerana Ketua Pemuda berani berhadapan dengan kezaliman diluar parti tetapi gentar menghadapi pergolakkan dalam parti.Mungkin kesedaran akan timbul kalangan kepimpinan yang kuat menyokong Sdr Anwar Ibrahim untuk mengembalikan arah tuju perjuangan yakni MENUNTUT REFORMASI BUKAN MENUNTUT AGENDA TERSENDIRI DAN BERTOPENGKAN PERJUANGAN REFORMASI.

Komentar