KENYATAAN AKHBAR ABDUL MALEK HUSSIN

15 Muharam 1420

1 Mei 1999

 

DENGAN MENYEBUT NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG

 

KENYATAAN AKHBAR

 

ADUAN TERHADAP PEGAWAI-PEGAWAI KANAN POLIS BERIKUTAN LAPURAN SURUHANJAYA DIRAJA UNTUK MENYIASAT KECEDERAAN DATO' SERI ANWAR IBRAHIM SEMASA DALAM TAHANAN POLIS

=====================================================

 

Setelah saya meneliti dan mengamati keterangan-keterangan tang terkandung dalam Lapuran Suruhanjaya Di Raja Untuk menyiasat Kecederaan Dato Seri Anwar Ibrahim Semasa Dalam Tahanan Polis, saya mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa selain dari bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor, terdapat beberapa orang pegawai polis disyaki telah terlibat melakukan beberapa perbuatan menyalahi undang-undang negara.

 

Oleh yang demikian, pada hari ii Mei 1999 saya telah mengemukakan lima aduan bertulis secara berasingan kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur bagi menjalankan penyiasatan polis dan membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap lima orang pegawai polis terdiri daripada berikut:

 

1. DCP Dato' Yaacob bin Md Amin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah , Ibu Pejabat Polis , Bukit Aman, Kuala Lumpur

 

2. SAC1 Dato Ramli bin Yusof, Timbalan Pengarah, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis , Bukit Aman , Kuala Lumpur

 

3. ACP Koh Hong Sun, Ketua Polis Daerah Brickfields, Kuala Lumpur

 

4. ASP Zulkifli bin Mohammed, Jabatan Siasatan jenayah, Ibu Pejabat Polis, Bukit Aman, Kuala Lumpur dan

 

5. ASP Abdul Aziz bin Abdul Majid, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields Kuala Lumpur

 

Melalui aduan -aduan saya ini, saya telah menggesa pihak polis bertindak segera menyiasat pegawai-pegawai polis yang berkenaan yang saya syaki telah melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang, diantaranya, seperti berikut :

 

1. Disyaki melakukan kesalahan dibawah seksyen 107 Kanun Keseksaan kerana perbuatan bersubahat dalam kejadian jenayah Tan Sri Rahim Mohd Noor mencederakan Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 20 September 1998 di sel nombor 6, Abngunan Ibu Pejabat Polis DiRAja Malaysia, Bukit Aman, Kuala Lumpur semasa Dato' Seri Anwar Ibrahimberada dalam tahanan polis, dan /atau

 

2. Disyaki melakukan kesalahan dibawah Seksyen 176 dan Seksyen 202 Kanun Keseksaan kerana perbuatan gagal melapurkan atau membuat aduan polis berhubung kejadian jenayah Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor mencederakan Dato Seri Anwar pada 20 September 1998 di Lokap sel Nombor 6, Abngunan Ibu Pejabat Polis Malaysia, Bukit Aman, Kuala Lumpur semasa Dato Seri Anwar Ibrahim berada dalam tahanan polis dan/atau:

 

3. Disyaki melakukan kesalahan tatatertib kerana gagal menangkap Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor menurut Seksyen 23(1) Kanun Prosedur Jenayah dalam kejadian jenayah Tan Sri Abdul Rahim Noor mencederakan Dato Seri Anwar Ibrahim pada 20 hb September 1998 di Lokap sel Nombor 6, Bangunan IbuPejabat Polis Malaysia Bangunan IbuPejabat Polis DiRaja Malaysia Bukit Aman , Kuala Lumpur semasa Dato Sei Anwar Ibrahim berada dalam tahanan polis.

 

Oleh kerana mereka disyaki melakukan suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang, saya mendesak penyiasatan dijalankan secaramenyeluruh ke arah menyeret pegawai-pegawai polis berkenaan ke muka pengadilan sambil memberi peluang kepada mereka untuk membela diri dalam mahkamah terbuka.

 

Selama penyiasatan menyeluruh tidak dilakukan ke atas mereka dan pendakwaan serta hukuman setimpal terhadap Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor tidak dijalankan, saya yakin umum menpunyai tanggapan bahawa kewibawaan Polis DiRAja Malaysia teruk tercemar dan pincang akibat beberapa kelemahan dan kegagalan polis yang begitu nyata. Pertama , kegagalan polis dalam mengendalikan penyiasatan sendiri dalam kes kecederaan Dato' Seri Anwar Ibrahim semasa dalam tahaman Polis, keduanya kelembapan polis menjalankan penyiasatan dalam kes penyiksaan polis semasa saya ditangkap dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan ketiganya perilaku ganas dan melampau sebahagian anggota polis dalam menangani penyokong -penyokong Gerakan Reformasi sebelum ini khasnya selepas hukuman penjara dijatuhkan keatas Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 14hb April 1999.

 

Saya menggesa supaya langkah -langkah berkesan perlu diambil segera oleh kepimpinan Polis DiRaja Malaysia untuk memperbaiki imejnya yang sudah tercemar di kacamata dunia dan mengembalikan keyakinan rakyat negara ini terhadap kewibawaannya. Demi tidak mengulangi episod keganasan dan kekejamaan Polis dalam mengendalikan orang-orang tahanan dan abntahan aman rakyat, tidak dapat dinafikan bahawa Polis Di Raja Malaysia sendiri memerlukan Reformasi.

 

Namun demikian, saya yakin dan percaya bahawa reformasi yang menyeluruh hanya dapat dilaksanakan dengan memastikan perubahan positif dalam falsafah dan nilai kepimpinan politik negara melalui penolakan rakyat terhadap kepimpinan rakus Dato' Seri Dr Mahathir Mohammad yang terus mempertahankan kebatilan,kezaliman dan pencabulan hak-hak asasi manusia.

 

Lantaran itu, perjuangan Gerakan Reformasi yang diasaskan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim akan diteruskan bagi menegakkan kebenaran, keadilan dan kebebasan melalui penentang berterusan secara aman.

 

Saya yakin bahawa rakan-rakan seperjuangan dalam Gerakan Reformasi akan terus mendukungnya sehingga rakyat memperolehi kemenangan dalam perjuangan yang murni ini sekalipun terpaksa mengharungi kekejaman dan keganasan pemerintah.

 

 

 

Tandatangan beliau

(ABD.MALEK BIN HUSSIN)

15 MUHARAM 1420

1 MEI 1999

KUALA LUMPUR