Make your own free website on Tripod.com
PAS bentuk panel kaji pindaan perlembagaan

 BUKAN ISLAM AHLI BERSEKUTU

 

 KUALA LUMPUR: Jawatankuasa PAS Pusat mengarahkan Panel Khas yang dibentuk untuk
 mengkaji pindaan ke atas perlembagaan PAS turut mengkaji kemungkinan untuk membolehkan
 orang bukan Islam menyertai PAS sebagai `ahli bersekutu'.

 Mesyuarat Jawatankuasa Pusat pada hari Ahad 15 November lalu itu mengarahkan penal yang di
 pengerusikan oleh Naib Presiden PAS, Ustaz Haji Hassan Shukri mengkaji perkara tersebut.

 Demikian kata Presiden PAS, Dato Haji Fadzil Mohd. Noor kepada Harakah ketika mengulas isu
 pembukaan keahlian PAS kepada rakyat bukan Islam di negara ini.

 "Panel itu akan membuat satu perakuan setelah mendapat pandangan daripada Majlis Syura dan
 akan dibentangkan di dalam muktamar khas bagi meminda perlembagaan," kata beliau.

 Ditanya mengenai jangkaan tempoh penyiapan perakuan panel, beliau tidak dapat menentukan
 masa yang tepat.

 Bagaimanapun, perhatian serius diberikan kerana panel ini telah ditubuhkan lebih awal lagi bagi
 meminda beberapa peruntukan perlembagaan sebagaimana yang dicadangkan oleh muktamar yang
 lalu.

 "Jadi, kita serahkan kepada panel berkenaan untuk kemungkinan meminda perlembagaan bagi
 menambah bentuk keahlian yang dikenali sebagai `ahli bersekutu' untuk orang-orang bukan Islam.

 Untuk tempoh yang segera perbincangan boleh diadakan bagi menubuhkan 'Kelab Penyokong
 PAS' di kalangan rakyat bukan Islam sebagaimana wujudnya 'backbencers' parti pemerintah dalam
 Parlimen," tegas beliau.

 Sementara itu, Pemangku Setiausaha Agung PAS, Dato' Hishamuddin Haji Yahya mengatakan,
 jika PAS menerima kemasukan kaum-kaum yang bukan Islam sebagai ahli, sama ada ahli penuh
 atau bersekutu, ia membuktikan dengan lebih jelas bahawa PAS bukan parti perkauman seperti
 Umno, MCA dan MIC.

 Beliau mengulas kenyataan negatif pemimpin Umno dan Barisan Nasional mengenai isu PAS
 mungkin membuka keahlian kepada rakyat bukan Islam.

 Menurutnya lagi, parti perkauman seperti ini hanya berjaya memampatkan perjuangan perkauman,
 walaupun di bawah satu bendera iaitu Barisan Nasional.

 "Itulah sebabnya walaupun sudah lebih 40 tahun merdeka, Barisan Nasional masih tidak berjaya
 memupuk persefahaman di antara kaum.

 Tiap-tiap kaum di negara ini hanya berpura-pura bersefahaman tetapi hakikatnya adalah di
 sebaliknya," katanya.

 Sikap perkauman ini, katanya amat jelas ditimbulkan di kalangan penuntut Malaysia di luar negeri
 seperti di London. Begitu juga di sekolah-sekolah dan di maktab.

 Walaupun perasaan perkauman ini masih boleh dibendung, tetapi ia ibarat bara api yang hidup dan
 tidak padam-padam, tegas beliau.

 Menurutnya juga, usaha PAS ialah untuk menghilangkan gejala yang tidak sihat dan merbahaya ini.

 "PAS mengajak orang bukan Islam untuk memahami dasar Islam, sedangkan Umno
 mengumpulkan orang Islam dan bukan Islam untuk mematuhi dasar-dasar sekular.

 "Soal PAS terkebelakang di dalam masalah penyatuan kaum tidak timbul sama sekali.

 "Sungguhpun Umno nampaknya ke hadapan, tetapi hakikatnya Umno masih primitif di dalam
 berparti-politik di negara yang berbilang kaum," tegas beliau.