Make your own free website on Tripod.com

Dengan menyebut nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

 

 

KENYATAAN AKHBAR

 

 

MENGGESA SIASATAN POLIS MENGENAI ADUAN TERHADAP YAB DATUK SERI DR MAHATHIR MOHAMAD BERHUBUNG KELULUSAN PROJEK-PROJEK PENSWASTAAN KEPADA SYARIKAT-SYARIKAT YANG MELIBATKAN KEPENTINGAN MIRZAN DAN MOKHZANI,

DUA ANAK LELAKI DATUK SERI DR MAHATHIR MOHAMAD

 

 

Baru-baru ini rakyat telah dikejutkan oleh satu pendedahan terbuka berhubung dengan kelulusan dua projek penswastaan kepada syarikat-syarikat yang melibatkan kepentingan dua anak lelaki Perdana Menteri YAB Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1998 yang lalu.

 

Dalam satu jawaban bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Permatang Pauh YB Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada 5 Mei 1999, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Datuk Fauzi Abdul Rahman mendedahkan bahawa Mirzan Mahathir dan Mokhzani Mahathir mempunyai kepentingan secara langsung melalui pemilikan ekuiti masing-masing dalam syarikat-syarikat tertentu yang diberikan kelulusan projek penswastaan.

 

Berdasarkan kepada jawaban Datuk Fauzi, satu projek penswastaan perkhidmatan pengangkutan yang melibatkan pengambilalihan National Shipping Line Corp. daripada Pernas telah diberikan kepada Konsortium Perkapalan Berhad dengan harga bernilai RM103.78 juta pada tahun 1998. Mirzan Mahathir, seorang anak lelaki Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mempunyai kepentingan secara langsung dalam projek penswastaan itu melalui pemilikan ekuiti 49.49 peratus dalam Konsortium Perkapalan Berhad yang memiliki 51 peratus ekuiti dalam National Shipping Line Corp. yang diambil alih daripada Pernas itu dalam program penswastaan tersebut.

 

Berdasarkan kepada jawaban Datuk Fauzi lagi, satu projek penswastaan perkhidmatan sokongan hospital bagi kawasan selatan Semenanjung Malaysia telah diberikan kepada Tongkah Medivest Sdn Bhd pada tahun 1998. Mokhzani Mahathir, seorang lagi anak lelaki Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, mempunyai kepentingan secara langsung dalam projek penswastaan tersebut melalui pemilikan ekuiti beliau sebanyak 13.19 peratus dalam Tongkah Holdings Berhad yang memiliki 51 peratus ekuiti dalam Tongkah Medivest Sdn Bhd.

 

Kelulusan projek-projek penswastaan itu berada dalam bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri yang diketuai oleh Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri. Manakala kelulusan tersebut diberikan kepada syarikat-syarikat yang melibatkan kepentingan secara langsung dua orang anak lelaki Perdana Menteri. Sudah tentunya keadaan ini menimbulkan kesangsian dan keraguan.

 

Oleh yang demikian, pada hari ini 15 Mei 1999 bagi mengelakkan sebarang keraguan, saya telah mengemukakan dua aduan bertulis secara berasingan kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi bagi menggesa pihak polis untuk menyiasat samada apa-apa kesalahan disyaki telah dilakukan oleh YAB Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri.

 

Sehubungan dengan ini, saya menggesa pihak polis supaya bertindak segera menyiasat semua aduan saya dalam usaha menentang dan memerangi gejala rasuah yang kian berleluasa dalam negara ini.

 

Saya menggesa supaya polis bertindak tegas untuk menyiasat aduan ini agar rakyat tidak mempersoalkan lagi kewibawaan polis sebagai satu institusi penguatkuasa undang-undang yang diharapkan untuk menguatkuasakan undang-undang bukan sahaja secara cepat dan betul, tetapi juga secara adil dan telus tanpa memilih bulu dan tunduk kepada tekanan dan pengaruh politik mereka yang berkuasa dalam negara ini.

Perlu diperingatkan kembali bahawa sehingga kini belum ada satu jawaban yang meyakinkan diberi terhadap satu memorandum yang dikemukakan oleh 15 Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) pada bulan Ogos 1997 kepada Badan Pencegah Rasuah yang menggesa penyiasatan terhadap beberapa orang kenamaan termasuk mengenai bagaimana pada penghujung tahun 1994 sahaja Mirzan Mahathir memiliki kepentingan dalam 98 syarikat, Mokhzani Mahathir dalam 48 syarikat dan Mukhriz Mahathir dalam 67 syarikat.

 

Sehingga hujung tahun 1994, tiga orang anak lelaki Presiden UMNO dan Perdana Menteri YAB Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mempunyai kepentingan langsung dalam 213 syarikat. Bagaimanakah pula dengan jumlah syarikat milik mereka dan nilai kekayaan mereka mengikut kedudukan semasa khususnya melalui kepentingan langsung mereka dalam projek-projek penswastaan yang diluluskan oleh kerajaan selepas tahun 1994?

 

Begitu juga sehingga kini belum ada satu jawaban yang memuaskan diperolehi berikutan dengan cabaran pemimpin pembangkang Parlimen Lim Kit Siang pada tahun 1997 mengenai pemilikan korporat bernilai beribu juta ringgit yang melibatkan anak lelaki Presiden MCA dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Ling Liong Sik. Bagaimanakah anak lelakinya Ling Hee Leong yang masih berusia 27 tahun boleh mempunyai pemilikan korporat bernilai RM1.2 ribu juta dalam tempuh tiga bulan?

Persoalan juga masih belum terjawab mengenai bagaimanakah Presiden MIC dan Menteri Kerjaraya Datuk Seri S Samy Vellu boleh membelanjakan sejumlah wang yang besar, menurut satu lapuran dianggarkan lebihkurang RM1 juta, untuk majlis perkahwinan anak lelakinya Dato' Paari Vellu pada bulan Disember 1998? Perbelanjaan sedemikian besar itu menimbulkan kegelisahan rakyat dan momokan umum terhadap ciri-ciri kehidupan mewah para pemimpin negara ini sedangkan rakyat terus hidup menderita dalam suasana kegawatan ekonomi ketika itu dan kepincangan pengurusan ekonomi negara.

 

Justeru itu, saya yakin bahawa rakyat akan terus gigih memberi dukungan yang kuat kepada perjuangan berterusan Gerakan Reformasi secara aman untuk membenteras amalan kronisme, nepotisme, rasuah dan kezaliman lebih-lebih lagi yang melibatkan pemimpin-pemimpin yang menyalahgunakan jawatan dan kedudukan kerajaan bagi mengaut kekayaan dan membina empayar ekonomi untuk kepentingan diri sendiri, keluarga dan sukusakat penyokong mereka.

 

 

 

(ABD. MALEK BIN HUSSIN)

29 Muharram 1420

15 Mei 1999

Kuala Lumpur.