Make your own free website on Tripod.com
 Surat Wartawan-Wartawan Melayu Kepada Rakyat Malaysia:

                        "MAAFKAN KAMI"

                       Assalamualaikum,

Surat ini mewakili wartawan Melayu seramai 265 orang di lima buah agensi
media utama di negara ini. Tujuan kami menulis surat ini ialah untuk
memberi gambaran sebenar tentang apa yang berlaku dalam kancah politik
negara ketika ini. Kami juga ingin menyatakan sikap kami terhadap
beberapa isu semasa terutamanya yang ada kaitan dengan pemecatan Dato
Seri Anwar Ibrahim. Surat ini kami tulis setelah kira-kira lima minggu
kami mengadakan pertemuan tertutup dan sulit dalam kumpulan-kumpulan
kecil di luar pejabat. Kami berharap surat ini dapat membantu rakyat
Malaysia memahami kedudukan serta peranan yang dipaksakan ke atas kami
sebagai wartawan dalam isu Anwar.

Sejak bulan Julai 1998, kami dapat merasa angin perubahan drastik dalam
dunia kewartawanan di tempat kami berkerja. Ini dimulai
dengan penyingkiran Datuk Johan Jaafar dari Utusan, Datuk Nazri Abdullah
dari Berita Harian dan Yunus Said dari TV3. Selain
perkembangan itu, Senator Zainuddin Maidin mula memainkan peranan
penting semula di Utusan (seolah-olah sebagai Ketua Editor yang baru).
Perlu kami jelaskan di sini bahawa sejak perubahan kepimpinan media itu
berlaku maka setiap wartawan yang membuat liputan isu-isu semasa dan
politik "dipaksa" supaya mengemukakan soalan tertentu kepada beberapa
orang tokoh politik mengikut arahan bos-bos baru. Kami dipaksa untuk
menulis mengikut framework yang telah disediakan
yang tidak langsung memihak kepada Anwar. Kesahihan maklumat dan
ketepatan fakta tidak menjadi penting lagi. Kami juga tidak lagi
dibenarkan membuat interpretasi dan analisis sendiri.

Kemuncaknya ialah apabila Datuk Seri Anwar dipecat. Kami dikerah tak
ubah seperti anak sekolah yang baru belajar menulis. Ada ketika kami
dikerah seperti orang yang tidak boleh berfikir langsung semata-mata
untuk membuat liputan politik yang berat sebelah. Pada mulanya kami
yakin bahawa Datuk Seri Anwar memang bersalah dengan pelbagai pertuduhan
apabila membaca afidavit kes Datuk Nalla yang difakskan oleh Pejabat
Peguam Negara ke semua media tempatan pada 3 September. Tetapi kami
menjadi semakin keliru dan skeptik kerana terdapat banyak prosidur dan
insiden perundangan yang luar biasa yang didalangi oleh
pihak tertentu. Bos-bos kami juga sering bertemu dengan orang atasan di
Pejabat Peguam Negara, Polis dan Mahkamah. Apa yang menyedihkan kami
ialah tulisan serta laporan kami sejak akhir-akhir ini ditokok-tambah
oleh bos-bos kami. Ada banyak berita yang dipalsukan walaupun pada
asalnya kami melaporkan apa yang sebenarnya. Sebagai misalnya, apa yang
kami tulis "boleh" tetapi yang terbit "tidak boleh"; "mengaku" menjadi
"tidak mengaku", "10,000" menjadi "1,000". Selain daripada itu, banyak
juga penipuan dari segi berita. Sebagai misalnya, "pelacur diupah untuk
sertai demonstrasi di Istana Negara"; "Senator Amerika menalipon Hakim
Augistine Paul", dan "pengaruh reformasi semakin kendur". Tidak
keterlaluan jika kami katakan bahwa lebih 50% berita mengenai isu Anwar
dalam media adalah semata-mata
penipuan, propaganda dan palsu yang dipaksa ke atas kami untuk menulis
dan disiarkan.

Perlu juga kami nyatakan di sini bahawa sejak kebelakangan ini, kami
tidak dibenarkan lagi berkumpul dan berbincang sesama wartawan tentang
isu Anwar di pejabat. Tegahan itu dikeluarkan sendiri oleh Ketua Editor
dengan alasan mematuhi perintah mahkamah. Tetapi sebenarnya tujuannya
ialah untuk menghalang kami bertukar-tukar maklumat tentang apa yang
sebenarnya berlaku dalam politik negara sejak kebelakangan ini. Apa
nasib kami jika hak asasi untuk berdiskusi untuk mencari
keadilan dan kebenaran pun dihalang?

Kami menyedari apa yang sedang berlaku adalah konspirasi politik jahat
untuk membunuh Anwar dan mengekalkan kepimpinan PM sepanjang hayatnya
demi untuk menjaga kepentingan diri, keluarga dan kroninya. Kami sendiri
sudah tidak membaca akhbar yang syarikat atau agensi kami sendiri
terbitkan kerana sebahagian besar adalah pembohongan dan
propaganda. Kami tidak malu untuk mengatakan bahawa nilai akhbar atau
berita yang syarikat kami hidangkan kepada rakyat Malaysia tidak lebih
seperti surat layang. Sebagai alternatif kami membaca berita dari media
asing yang lebih bersifat objektif menerusi Internet atau akhbar
Harakah.

Dengan perkembangan ini, sebagai wartawan yang prihatin terhadap
kebenaran dan keadilan serta perjuangan bangsa, kami amat tertekan
ketika ini. Kami juga kecewa kerana dunia kewartawanan digadai oleh
ketua-ketua kami semata-mata untuk menjaga kepentingan PM semata-mata.
Kami tidak sanggup lagi berdiam diri dan hanya menulis untuk menjayakan
political framework PM dan kroni-kroninya. Kami tidak tahan lagi dicemuh
oleh kawan-kawan, saudara-mara dan masyarakat umum kerana tidak ada
integriti dan menjadi pengampu PM.

Oleh yang demikian, kami ingin memohon maaf dengan setulus hati kepada
seluruh rakyat Malaysia di atas laporan serta berita palsu yang setiap
hari tersiar dalam media massa. Kami insaf bahawa menyebarkan fitnah dan
berita angin adalah perbuatan terkutuk yang sangat dibenci Islam. Kami
insaf bahawa kami telah terlibat melakukan dosa besar dan bersengkongkol
dengan PM yang ketika ini semakin zalim dan diktator. Kami telah
bertaubat. Sebagai menebus dosa, maka kami akan berusaha untuk
menyebarkan berita sebenar menerusi saluran lain seperti Internet dan
surat. Kami juga akan mendedahkan penipuan dan konspirasi politik oleh
PM dan pemimpin UMNO yang lain.

Sekian, terima kasih.

Wartawan-Wartawan Melayu
Utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times, TV3 & RTM
14 Oktober 1998