KOMENTAR MENGULAS ARTIKEL REFORMASI NASIONAL

16 FEBRUARY 1999

 

DARI WEB MASTER KOMENTAR

 

Terlebih dahulu saya mengucapkan tahniah atas perkembangan laman saudara yang telah muncul antara laman popular dalam memperjuangkan keadilan dan menentang kezaliman. Saudara telah menunjukkan sikap dedikasi yang sepatutnya dipuji dan saya selaku seorang web master tahu akan pergorbanan biar dari segi masa, tenaga dan material. Walau apa pun kejayaan laman saudara tidak lain dari usaha gigih saudara dan teman teman saudara serta penerimaan warga-net dalam hasil tulisan dan lapuran saudara.

Kehadiran pengulasan ini adalah rintihan dari beberapa tulisan dalam gerak-net forum yang mulai menimbulkan kesangsian dan keraguan atas beberapa artikel saudara khususnya artikel yang mendakwa bahawa kurang kerjasama atau interaksi antara pengusaha pengusaha laman web serta dengan NGO yang berdaftar dengan kerajaan Malaysia. Secara ikhlas saya tidak menafikan kebenaran artikel tersebut dan walaupun pahit saya akui kebenaran artikel saudara tersebut dalam mempertikaikan pengikhtirafan badan NGO keatas pengusaha Laman Web. Selaku web master saya percaya bahawa usaha dan jasa saudara tidak akan sia sia dan percaya pada dasarnya ia diterima dan telah diakui keberkesanannya dalam usaha memperjuangkan keadilan. Saya percaya penghujung perjuangan ini masih kabur dan jauh. Dalam perjalanan menuntut reformasi kita lihat bahawa banyak juga laman laman web reformasi telah mula tidak aktif atas sebab sebab yang tidak kita ketahui, walau apa pun jasa mereka tetap kita kenang.

Saya juga percaya bahawa dalam usaha kita memperjuangan keadilan terdapat kekecewaan yang kadang kala menghampirkan kita kepada sikap putus asa. Saya sendiri merasakan bahawa kekadang mahu terus menuju ke dataran merdeka dan memekik sekuat kuat hati lalu menyeru supaya kita usahakan bukan reformasi tapi revolusi. Walau apa pun kita harus segera kembali kepada kesabaran. Saya juga kekadang hilang kesabaran kerana mahukan usaha yang lebih aktif dari hanya mengusahakan laman web. Ini jelas dalam beberapa artikel saya yang kekadang sudah hilang kesabaran.

Nescaya warga-net harus sedar bahawa pengusaha laman web ini adalah manusia yang lemah dan perlu juga sesekali diberi semangat dan kekuatan. Kekadang saya terbaca dan terdengar pujian pujian mereka kepada perjuangan reformasi yang turun memberi sokongan serta menjalankan demonstrasi bagi menghapuskan kezaliman. Saya terdengar dan terbaca tentang perjuangan tokoh tokoh NGO yang popular yang telah disanjung dan dipuji tulisan dan penglibatan mereka. Malang sekali jarang saya terdengar dan terbaca sokongan tokoh tokoh ini kepada pengusaha laman web khususnya laman web popular seperti laman web saudara "reformasi nasional", "mahazalim 1 dan 2" ,"anjung reformasi" dan yang lain lain. Malah ada satu artikel tulisan pengunjung Gerak-Net forum membidas kita sebagai perjuang yang hanya berselindung dibalik laman mereka. Satu bidasan yang amat menyakitkan kerana tanpa mereka sedari bahawa menganjur laman web adalah juga terdiri dari mereka yang telah hadir dalam demonstrasi dan telah menerima habuan deraan dari keganasan polis.

Usahlah kita sesama kita mengira perjuangan siapa lebih hebat kerana tidak siapa antara kita yang dapat menyaingi pengorbanan Sdr Anwar Ibrahim dan keluarga mereka.Kita selaku ahli ahli yang telah menerima lauangan reformasi perlu memberi semangat sesama kita demi meneruskan perjuangan kita. Kita harus saling memahami dan takkala rakan kita hilang daya ketahanan dalam perjuangan segeralah kita usaha untuk meniupkan semangat perjuangan. Kita manusia biasa dan tidak ada antara kita yang mahu melihat keadilan yang wujud adalah keadilan dimata kroni Mahathir.Kita tidak mahu kuasa yang wujud hanya dalam gengaman Mahathir, kita tidak mahu kezaliman berleluasa keatas rakyat malaysia dan kita mahukan Mahathir segera undur atau pilihanraya segera dijalankan.

Saudara Web Master RN,

Kita berbangga dengan apa yang telah dicapai oleh rakan web master lain dalam memperjuangkan keadilan dan menyampaikan berita berita bagi meningkatkan kesedaran rakyat. Sehubungan dengan itu saya percaya kehadiran rakan web master seperti laman RN, Anjung Reformasi, Mahazalim 1 dan 2, dan lain lain akan dapat membantu dalam membentuk satu pengharapan yakni menghapuskan kezaliman pemerintahan Dr Mahathir dan menyedarkan rakyat akan perkara sebenar benarnya berlaku dibumi Malaysia kita ini. Saya percaya NGO dan lain lain badan secara senyap menyokong usaha kamu semua. Saya tetap berusaha dalam memperjuangkan keadilan dari laman saya yang tidak seberapa dan berbangga dengan pencapaian laman rakan web master lain. Walauapa pun kita berusaha,dan sekiranya kita dapat mengusahakan satu penyatuan antara kita maka itu adalah satu kejayaan tambahan.

 

SATU PENGHARGAAN DARI SAYA

KOMENTAR