Make your own free website on Tripod.com

"Kami Bukan Peminta Sedekah"-YB Tun Salleh Abas

Mengenai hal minyak, isu ini boleh mensabitkan kredibiliti kerajaan mengenai kedaulatan undang-undang sepertimana yang diagung-agungkan kerajaan (Umno) dalam Rukun Negara kerana salah satu daripada Rukun Negara ialah mendaulatkan undang-undang.

Jika kerajaan mengatakan undang-undang masih didaulatkan dan dituruti tetapi mereka sendiri yang memecahkannya, bagaimanakah kredibiliti kepercayaan rakyat kepada kerajaan ini? Bukan sahaja melibatkan kepercayaan rakyat bahkan termasuk juga kepada pelabur-pelabur di luar dan dalam negara kerana ia akan menjejaskan syarikat gergasi kita yang membuat pelaburannya di luar negara seperti di Vietnam, Sudan, Iran dan Jepun.

Beberapa bulan lalu ada orang bertanya kepada saya bagaimana keadaan isu minyak nanti kerana pada masa itu ada ura-ura mengatakan kerajaan pusat akan cuba menghalang kerajaan Terengganu daripada menerima royalti minyak.

Pada masa itu saya tidak terfikir bahawa kerajaan pusat akan hilang akal untuk menarik balik royalti minyak yang diberi kepada kerajaan Terengganu sejak 1978.

Pada bulan lepas ada beberapa pengumuman yang dibuat oleh kerajaan pusat dan dijawab oleh pihak Terengganu menerusi Exco Kanan Kerajaan Terengganu, Hj Mustafa Ali dan saya hanya mendiamkan diri sahaja kerana tidak mahu mencampuri urusan kerajaan pusat dengan kerajaan negeri.

Tetapi apabila dengan terangnya kerajaan pusat telah menjalankan atau melaksanakan hasrat yang terpendam di dalam hati mereka maka pada masa itu saya berasa bertanggungjawab untuk mara ke depan memberi penjelasan kepada rakyat tentang tuntutan royalti minyak ini.

Sebenarnya polisi atau dasar petroleum di negara ini telah dicipta oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Dr Ismail Ali yang pada masa itu menjadi Gabenor Bank Negara, Tengku Razaleigh bin Tengku Mohd Hamzah, Tun Abdul Rahman Yaakub dan saya sendiri.

Semenjak itu satu dasar minyak telah dipersetujui dan langsung dibuat undang-undang yang dinamakan Akta Kemajuan Petroleum 1974. Jadi, ini satu penyelesaian yang menyeluruh bukan sahaja melibatkan hak kerajaan Sabah dan Sarawak juga hak kerajaan negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu (Malaysia) supaya royalti minyak ini jika didapati di mana-mana sahaja mesti diberikari kepada negeri-negeri yang menjumpai minyak dan mengusahakannya.

Jadi caranya kita tidak mengira di mana minyak itu dijumpai sama ada di darat atau di dasar lautan sama ada di dasar lautan itu dalam kawasan perairan Malaysia ataupun antarabangsa, selagi minyak itu dijumpai di mana-mana sahaja ia akan diletakkan kepunyaan/hakmilik itu kepada satu syarikat yang akan ditubuhkan di bawah akta itu.

Syarikat itu tidak lain ialah Syarikat Petronas. Pada masa itu di Indonesia, pengusaha minyak dilakukan oleh satu syarikat bernama Pertamina. Pertamina mempunyai pelbagai masalah seperti penyalahgunaan kuasa, nepotisme dan korupsi sehingga Pertamina telah didakwa di mahkamah London kerana berkaitan dengan hutang-hutang yang mereka tanggung serta menyalahgunakan kedudukan dan tujuan syarikat.

Bagi kita mengenai polisi baru dasar petroleum ini, kita terpaksa mengalih pandangan supaya tidak berlaku seperti di Pertamina. Dengan sebab itu, dasar baru ini telah meletakkan kepunyaan milik minyak ini kepada Petronas, di mana-mana sahaja sama ada dijumpai atau tidak dijumpai.

Petronas menerima hak milik ini dengan cara satu surat acara yang ditandatangan oleh setiap negeri dalam Malaysia. 13 buah negeri semuanya menandatangani surat hak kepunyaan minyak ini kepada Petronas.

Sebagai menerima balasan Petronas kepada kepunyaan hakmilik tadi diwajibkan membayar satu jumlah wang tunai yang dipersetujui oleh Petronas dan negeri-negeri kepada negeri-negeri berkenaan. Negeri-negeri berkenaan tidak diberi takrif di dalam undang-undang tersebut.

Dan sudah termaklum, bahawa negeri-negeri berkenaan ialah negeri-negeri yang mana kawasan minyaknya dijumpai, diusahakan dan dikeluarkan hasil minyaknya.

Mengapa disebut wang tunai dalam undang-undang? Ini ialah kerana untuk mengelakkan sensiviti sesetengah orang kerana ada satu pihak mengatakan royalti mesti dibayar sepenuhnya sebanyak 100 peratus. Jadi, untuk mengelakkan sensiviti ini maka disebut sejumlah wang tunai.

Tetapi walau apa nama sekalipun ia tidak lari daripada nama royalti. Royalti dari segi undang-undang bermakna satu bayaran yang wajib dibuat oleh seseorang atau sesebuah syarikat yang menerima hak untuk membuat sesuatu atau kepunyaan sesuatu dan orang yang menerima atau yang memberi hak itu ialah tuan yang empunya. Jadi jumlah bayaran itu adalah seperti mana yang dijanjikan.

Jadi perkataan royalti ini semua orang tahu bahkan dalam amalan peniaga-peniaga terutama antara amalan syarikat-syarikat minyak, apa yang mereka bayar untuk mendapat konsesi daripada mana-mana negeri atau negara, mereka akan membayar royalti.

Perkataan royalti juga dipanjangkan dalam bahagian pencipta buku, pengarang, pencipta lagu dan sebagainya itu juga dipanggil royalti kerana pengarang buku misalnya mereka memiliki "harta intelektual". Jadi sesiapa sahaja memiliki hak cipta itu berhak mendapat bayaran royalti sekiranya kepunyaan itu diserahkan kepada orang lain dan digunakan serta diniagakan.

Dalam hal ini royalti tadi juga digunakan di dalam perjanjian antara Pertonas dengan syarikat-syarikat minyak yang mengusahakan minyak di Malaysia. Ada tiga syarikat yang mengusahakan minyak pada masa itu iaitu syarikat Esso, Shell dan Conoco.

Tetapi akhirnya syarikat Conoco telah melepaskan perjanjian ini jadi tinggallah dua syarikat minyak sahaja. Dalam perjanjian antara syarikat Esso dan Shell, ada peruntukan yang menyatakan royalti itu akan dibayar. Itulah hakikat dasar minyak kerajaan persekutuan dan dasar itu dibuat undang-undang melalui Akta Kemajuan Petroleum 1974.

Akta Kemajuan Petroleum dibuat pada 1974 dan berkuatkuasa pada 1 Oktober 1974. Tarikh ini amat mustahak kerana pada masa itu minyak hanya ditemui, diusahakan di Sabah dan Sarawak sahaja. Belum lagi dijumpai di mana-mana tempat di Semenanjung Malaysia.

Minyak tidak ada di Terengganu, Pahang dan sebagainya tetapi akta berkenaan dengan minyak sudah ditubuhkan. Akta ini telah menunjukkan dasar petroleum pada masa itu. Antara lain akta itu menyebut: "Hak minyak pertoleum yang berada di darat atau di lautan akan diserahkan kepada Petronas tetapi hak sebenar adalah kepunyaan Malaysia.

"Apa itu Malaysia? Malaysia adalah satu persekutuan atau satu persatuan yang mengandungi 13 buah negeri kerana pada 1965, Singapura telah keluar daripada Malaysia (asalnya 14 negeri termasuk Singapura). Jika tidak ada negeri tidak akan wujud persekutuan atau persatuan. Apabila kita menyatakan kepunyaan minyak itu terletak di Malaysia, ia bukanlah terletak kepunyaan di kerajaan pusat.

Ini kerana kerajaan pusat tidak ada negeri, tidak ada tanah bahkan ia sebagai satu pertubuhan sahaja yang diwujudkan oleh negeri-negeri berkenaan. Jika tidak ada negeri-negeri, tidak akan adanya persatuan.

Jika tidak ada persatuan tidak ada Yang Dipertuan Agong dan tidak ada Perdana Menteri atau mana-mana menteri pun. Masing-masing merdeka dan mempunyai hak yang penuh sebagai negeri yang merdeka.

Pada masa sebelum merdeka, 13 buah negeri ini yang belum bersekutu seperti sekarang ialah sebagai tanah jajahan British atau tanah jajahan yang dilindungi British. Selepas merdeka, semua negeri merdeka dengan mempunyai semua hak di luar negeri, mempertahankan negeri, pendidikan dan sebagainya yang dipunyai kerajaan negeri.

Oleh kerana kita ada persekutuan terdapat satu perjanjian melalui perlembagaan Malaysia, maka kuasa-kuasa ini telah diagih-agihkan dan dibahagi-bahagikan yang mana kerajaan negeri bersetuju memberi kuasa yang begitu banyak kepada kerajaan persekutuan sehingga kerajaan negeri hanya tinggal tiga kuasa besar iaitu hal ehwal Islam, hal ehwal tanah, hal ehwal perhutanan, dan kerajaan tempatan seperti majlis daerah dan kampung.

Kita juga menyerahkan kuasa membiayai (mengurus) wang ringgit kepada kerajaan persekutuan. Kerajaan negeri tidak ada hak meminjam wang di bank atau mana-mana sumber melainkan meminjamnya daripada kerajaan persekutuan.

Mengenai pinjaman wang ini kerajaan pusat (persekutuan) telah menyalahkan kerajaan negeri Kelantan tidak ada wang untuk menyiapkan bekalan air bagi negeri itu. Kelantan memang tidak ada wang tetapi jika Kelantan berjaya mendapatkan wang pinjaman daripada bank tentulah boleh melaksanakan projek ini.

Malangnya di bawah undang-undang dan kuasa perlembagaan, peminjaman hanya boleh dibuat kepada kerajaan pusat. Jika kerajaan negeri hendak meminjam wang juga, ia terpaksa meluluskan satu undang-undang memberi tauliah kepada kerajaan negeri. Tetapi sekarang kerajaan Kelantan ingin meminjam wang sebanyak RM600 juta, itupun tidak diberi.

Siapa yang salah? Berbalik kepada isu minyak yang kepunyaan Malaysia tetapi Malaysia itu mengandungi 13 buah negeri maka masing-masing negeri berhak mempunyai minyak sebagai hak milik mereka. Oleh kerana kita di dalam persekutuan, kita menyerahkan kuasa kepada kerajaan pusat untuk megeluarkan lesen dan sebagainya untuk minyak.

Ini jelas dinyatakan dalam Akta Lombong Minyak 1966, "Segala kuasa untuk melombong, mengeluarkan minyak ialah kepunyaan Malaysia tetapi kuasa itu dijalankan oleh kerajaan pusat." Jadi minyak itu adalah kepunyaan negeri masing-masing tetapi yang menjalankan usaha itu diberikan kepada kerajaan pusat.

Jikalau minyak itu dipunyai kerajaan pusat kenapakah kerajaan negeri mesti membuat surat acara untuk menyerahkan kepunyaan atau hak minyak itu kepada Petronas? Jadi perkara ini jelas mengatakan bahawa minyak itu kepunyaan kerajaan negeri.

Kemudian Petronas pula sebagai balasan kepunyaan tadi di bawah Seksyen 4, Petronas diwajibkan membayar pembayaran wang kepada kerajaan pusat dan juga kerajaan negeri-negeri berkenaan di mana minyak dijumpai dan diusahakan.

Tetapi pada masa itu minyak belum dijumpai di Terengganu atau di mana-mana sahaja di Semenanjung. Minyak dijumpai di Terengganu pada 1976, dua tahun selepas akta atau perjanjian itu dibuat. Dua tahun kemudian, pada tahun 1978 barulah minyak dikeluarkan dari telaga-telaga minyak di Terengganu.

Pada masa undang-undang dibuat, tiada siapa tahu minyak akan dijumpai di Terengganu tetapi dengan berkat dan rahmat Allah swt kepada orang Terengganu tiba-tiba minyak dijumpai di situ. Padahal untuk mencari atau menjelajah minyak, kerajaan telah memberi kepada dua syarikat besar untuk mencari minyak di pantai timur.

Syarikat pertama ialah Esso dan kedua; Conoco. Kemudian pantai Semenanjung ini telah dibahagikan atau digariskan; dari utara Pahang ke Thailand diserahkan kepada syarikat Esso dan dari Pahang ke Johor diserahkan kepada syarikat Conoco.

Apabila dicari oleh Conoco, mereka tidak menjumpai minyak lalu mereka keluar dari projek berkenaan. Jadi semenjak 1978, Terengganu menerima royalti sebanyak 5 peratus sahaja.

Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh kementerian kewangan pada September lalu, Perdana Menteri berkata Allahyarham Tun Abdul Razak memberi royalti minyak kepada Terengganu kerana Terengganu miskin.

Kenyataan ini amat bercanggah sekali kerana Allahyarham tidak tahu minyak akan dijumpai pada 1976 kerana dia sudah pun meninggal dunia pada masa itu.Kenyataan ini betul-betul hendak menyeleweng, membuta dan memperbodohkan rakyat. Saya tahu keadaan ini kerana tangan inilah yang menulis, dan kepala ini yang berfikir tentang menyediakan akta petroleum.

Kemudian mereka memberitahu perjanjian tersebut silap. Silap di mana? Adakah mereka ini silap? Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarhan Tun Dr Ismail Ali, Tengku Razaleigh dan yang lain-lain adakah mereka silap? Mereka yang kata silap dan menafikan hak Terengganu di manakah mereka pada masa itu padahal sesetengah daripada mereka belum masuk politik lagi?.

Sebab mengapa Tun Abdul Razak mengatakan royalti minyak akan diberi kepada kerajaan negeri berkenaan?. Ini kerana pada pemikirannya jika Sabah dan Sarawak boleh mendapat royalti minyak, kenapakah negeri-negeri di Tanah Semenanjung Melayu tidak dibayar royalti itu sekiranya negeri-negeri itu mendapat atau menjumpai minyak?.

Ini adalah satu sikap adil yang dikeluarkan oleh Allah-yarham Tun Abdul Razak. Ini sebagai ekuiti undang-undang, sebagai persamaan perlembagaan bermakna rakyat Terengganu yang mendapat minyak juga diberi layanan yang serupa seperti Sabah dan Sarawak dan sebagainya.

Bagaimanapun mereka cuba juga menghalang pembayaran minyak dengan cara mengubah nama royalti kepada ihsan. Ihsan ialah satu bayaran sukarela atau bayaran sedekah. Kalau nak beri boleh beri, kalau tak beri pun tak mengapa. Berapa banyak mereka nak beri ikut suka mereka.

Tetapi kenapa mereka terpaksa memberi (?) kerana ia sudah menjadi satu kewajipan kerana ia tidak boleh lari dari hakikat undang-undang. Tetapi caranya bukan terus memberi kepada kerajaan Terengganu tetapi melantik satu jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Peringkat Persekutuan (JPP).

JPP inilah yang akan menentukan segala projek yang diadakan di Terengganu dan ia akan membuat kaedah baru tetapi sampai sekarang kita tidak tahu bagaimana kaedah itu akan dijalankan.

Apakah jenis pembangunan yang akan mereka buat? Pembangunan itu sekadar bangunan-bangunan sahajalah. Bangunan seperti sekolah, hospital, pejabat....mereka boleh buat di Terengganu tetapi siapakah yang menguasai tanah-tanah di Terengganu?.

Baru-baru ini JPP telah mengadakan mesyuaratnya di hotel Terengganu tanpa memanggil Exco-Exco PAS/BA dan hanya memanggil orang-orang Umno dan pegawai-pegawai persekutuan. Ini bermakna seolah-olah Terengganu diketepikan, seolah-olah tidak wujud dan menganggap Terengganu sebagai tanah jajahan Kuala Lumpur.

Cara mereka menafikan hak Terengganu dengan mengubah nama kepada ihsan. Jadi ihsan itu merupakan pemberian sukarela sahaja tetapi oleh kerana berasa walau seburuk-buruk perangai mereka, mereka juga terpaksa memberi tetapi memberi bukan untuk seluruh kerajaan Terengganu tetapi memberi untuk membiayai parti Umno di Terengganu. Rampas hak orang tetapi beri pada orang lain.

Berbalik pada perjanjian pada 22 Mac 1975 di Kuala Terengganu, yang ditandatangani oleh MB Terengganu pada masa itu dan Tengku Razaleigh Hamzah, dua dokumen telah ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak. Satu dokumen mengenai penyerahan hak milik petroleum kepada Petronas dan dokumen kedua ialah berkenaan pembayaran kepada Terengganu.

Selain itu selepas royalti minyak dibayar, timbul pula cara hendak menghitung jumlah-jumlah yang akan dibayar. Sebab itu pada 1978, satu lagi perjanjian ditandatangani dan dengan jelasnya menyebut tentang royalti. Jadi memang hak Terengganu mendapat royalti dan perlu dibayar.

Oleh kerana mereka ada agenda politik mereka, mereka cuba menafikan Terengganu daripada mendapat royalti dan caranya dengan menutup mata rakyat dengan mengatakan pembayaran itu ialah bayaran ihsan.Bayaran royalti itu kata mereka sebagai satu kesilapan yang dibuat pada 1978.

Akhir sekali, bagi saya minyak adalah kepunyaan kerajaan negeri-negeri di Malaysia dan kepunyaan itu diserah kepada Petronas dan Petronas wajib membayar royalti kepada negeri-negeri berkenaan. Cara kerajaan persekutuan menghalang kerajaan Terengganu boleh mendapat minyak ialah dengan mengubah nama royalti kepada ihsan.

Kemudian ditambah lagi kononnya hendak berbuat baik dengan orang Terengganu, dipilih daripada orang-orang Umno dan diberi wang itu kepada orang parti mereka (Umno).Ini satu kesalahan yang amat besar dari segi undang-undang dan juga perlembagaan.

-------------------------------------------------------------------------
Petikan Majalah Fokus editor Suria Janid-Dapatkan dipasaran!