Kepada

Sdr Anwar Ibrahim

Penjara Sg Buluh Selangor

Daripada

Ahli Jawatankuasa Negeri

Parti Keadilan Nasional

Sdr,

Assalamualaikum dan semoga Sdr Anwar diberkati Allah sepanjang masa Insyallah. Tujuan surat ini ditulis adalah untuk memohon ribuan maaf kepada Sdr atas kegagalan saya dalam perjuangan membela keadilan di bumi Malaysia ini. Saya begitu kesal atas kegagalan Barisan Alternatif membentuk kerajaan di Malaysia dan kekesalan ini juga adalah kerana saya gagal membela Sdr sebagai seorang BAPA REFORMASI yang telah banyak berkorban demi mengembalikan keadilan di negara kita ini. Sungguhpun saya sedia maklum bahawa saya sebagai individu tidaklah membawa impak yang besar dalam parti tetapi kekesalan ini bangkit kerana saya rasakan sumbangan yang saya buat tidak cukup dan terlalu sedikit buat membela Sdr. Saya kecewa dengan keputusan pilihanraya tersebut walaupun saya yakin bahawa antara sebab kekalahan tersebut adalah kerana permainan kotor kerajaan dalam mencaturkan kemenangan untuk mereka. Saya kesal kerana kemungkinan kekalahan keADILan khusus di tempat saya adalah kerana kelemahan tersendiri dicampurkan dengan tidaktelusan SPR. Saya masih ingat pada 6 Disember 1998 saya menerima perutusan dari Sdr agar Reformasi ini diteruskan sehingga berjaya. Seperti apa yang telah Sdr katakan " jika takut dengan risiko jangan bicara pasal perjuangan. Hari keramat 6 Disember 1998 adalah seumpama satu hari yang memberi semangat yang amat kuat untuk saya meneruskan perjuangan itu. Dari jalanan sehingga ke perjuangan di media internet sehinggalah ke platform parti. Saya dan rakan seperjuangan yang turut menerima semangat yang serupa telah bergerak sehingga berada diperingkat tertinggi dalam bahagian dan saya meneruskan hingga keperingkat AJK Perhubungan Negeri. Malangnya beradanya saya diperingkat negeri menyaksikan ramai antara kita yang mengunakan isu kebangkitan rakyat untuk memperolehi sesuatu buat mereka. Tidak kurang pula antara kita yang telalu daif berpolitik sehinggakan keadilan itu sendiri disalah interpretasikan.Apa yang paling menyedihkan ialah sesetengah antara kami di Perhubungan Negeri tahu akan kesalahan-kesalahan yang dilakukan tetapi enggan bersuara kerana takutkan kehilangan tempat dan seterusnya tersingkir. Ramai antara kita tahu bahawa perbuatan atau arahan perlaksanaan oleh Ketua Perhubungan Negeri akan memberi kesan yang negetif kepada Parti tetapi gagal menyuarakan nya kerana takut akan dirinya tersingkir dari pandangan Ketua Perhubungan Negeri. Amat sedih sekali senario ini dan walaupun telah berkali-kali saya mencuba untuk memperbaiki situasi namun keputusan ketua adalah muktamat. Contoh yang paling ketara adalah Mesyuarat antara Ketua Bahagian & Setiausaha Bahagian SeMalaysia pada kalau tidak silap saya 16hb September 1999. Berkali saya telah menasihati Sdr Annuar Tahir bahawa bukan lah ini masa kita untuk mengadakan pertandingan dalam bahagian tetapi nasihat ini yang disokong oleh beberapa bahagian lain tidak di endahkan oleh MPT. Seingat saya Mesyuarat itu telah menetapkan agar Sdr Annuar Tahir meminta mandat dari MPT agar pertandingan tidak dibuat terlebih dahulu memandangkan kita masih baru dan kita seharusnya menyalurkan setiap kerja kita untuk menjana kemenangan sewaktu pilihanraya umum bukan pilihanraya dalaman. Apa yang difahamkan selepas itu adalah Biro Perlembagaan Parti Keadilan Nasional (selaku penasihat perundangan) yakni Sdr Zainol Zakaria telah menolak atas alasan kita perlu menunjukkan keadilan. Ini adalah satu interpretasi keadilan yang lemah oleh Biro Perlembagaan kerana dari sudut politiknya kita akan terdedah kepada perpecahan sekira pertandingan diadakan diperingkat kita masih muda. Apa yang saya faham dari tindakan menyokong pertandingan diadakan diperingkat bahagian ialah 6 dari 10 bahagian Kuala Lumpur terus terpecah dan pergolakkan hebat berlaku. Antara bahagian yang diberitakan berpecah adalah bahagian Zainol Zakaria sendiri. Kalau dilihat dari sudut statistik bahagian yang berpecah teruk adalah bahagian yang terus tewas dalam pilihanraya umum ke 10.

Sdr Anwar Ibrahim,

Mengetahui hakikat pemecahan itu saya telah membuat beberapa analisa tersendiri dalam menunjukkan bahawa sungguhpun wujud penipuan dalam pilihanraya ke 10 yang dibuat oleh kerajaan BN tetapi kelemahan kita tidak harus ditutupi. Kita mahu kelemahan ini diperbaiki dalam kita menuju ke arah pilihanraya ke 11. Disamping itu saya secara lantang membidas mereka yang mahu menunjukkan LEBIH KEADILAN DARI KEADILAN sehingga parti yang begitu muda terdedah kepada landasan perpecahan. Menurut sumber-sumber yang saya terima Sdr Zainol Zakaria selaku Biro Perlembangaan (penasihat perundangan) parti telah mengarah beberapa bahagian (secara tidak langsung) menjerumus kepada pemecahan. Antara bahagian yang paling teruk berpecah adalah bahagian bahagian di Kuala Lumpur yang diterajui oleh Sdr Zainol sendiri sebagai Ketua Perhubungan Negeri. Baru hari ini saya tersedar beberapa email dari onelist telah secara terbuka mengutuk tindakan Biro Perlembagaan Parti Keadilan Nasional. Kekalahan beberapa kawasan dalam pilihanraya ini berpunca juga dari pemecahan bahagian. Ini amat mengecewakan.

Sdr Anwar Ibrahim yang saya kasihi,

Semangat perjuangan yang Sdr hembuskan dalam jiwa saya ini tidak pernah luntur dan tidak pernah padam. Semangat ini jugalah digunakan oleh saya bagi berusaha untuk menjana kemenangan serta membebaskan Sdr. Malangnya Sdr sehingga hari ini saya diberitakan bahawa Parti Keadilan Nasional khusus nya tidak melapurkan dengan tetap kedudukan bahagian-bahagian yang berpecah akibat satu tindakan yang tidak matang dan tidak wajar dilaksanakan oleh mereka sebagai kepimpinan tertinggi. Saya kesal tidak dapat menghalang keadaan ini. Maka hari ini saya bersuara dengan harapan Sdr Anwar Ibrahim dapat melakukkan sesuatu dari dalam Sg Buluh untuk memperbaiki keadaan. Saya terlalu kecil untuk menasihati mereka walaupun saya sedar mereka bertanggung jawab atas kesalahan dan kesilapan mereka. Perkara ini perlu diatasi sebelum kita menghadapi masalah yang sama sewaktu menghadapi pilihanraya 11.

Sdr Anwar Ibrahim,

Saya telah banyak membicarakan perkara ini kepada MPT tetapi ianya seolah-olah bicara tanpa didengari. Antara mereka yang pernah saya ketengahkan bantahan saya adalah dengan Sdr Zainol Zakaria, Sdr Ng Lam Yong dan Sdr Annuar Tahir. Walau apa pun saya yakin pandangan dari Biro Perlembagaan adalah pandangan yang mereka ikuti dan kini jelas pandangan dari Biro tersebut nyata tidak memberi sebarang keuntungan malah ia membawa kepada perpecahan yang tidak lagi dapat diperbaiki.

Sdr Anwar Ibrahim,

Satu yang menguntungkan Parti Keadilan Nasional adalah kerana kami masih memegang pada satu perjuangan iaitu mahukan sdr bebas dari tohmahan dan fitnah yang dilemparkan keatas sdr. Sedang antara kami berpegang kepada sumpah perjuangan tersebut,mereka mengikat kami atas nama perjuangan sdr untuk membuat sebarang tindakan yang melulu.

Sdr Anwar Ibrahim,

Jutaan maaf saya pohon andai warkah ini mencacatkan perjuangan ini. Walaubagaimana pun adalah saya berpendapat sekiranya ini tidak dibetulkan dari sekarang maka kita akan terus tewas dalam perjuangkan menegakkan keadilan lantas memusnahkan perjuangan membebaskan sdr. Saya secara ikhlas mahukan kejayaan bagi Parti Keadilan Nasional agar kerajaan yang selama ini melaksanakan kekejaman serta kezaliman keatas rakyat dapat ditumbangkan. Perjuangan saya hanyalah pada keadilan dan kepercayaan bahawa sdr kelak akan dapat merubah kerajaan yang ada kepada kerajaan yang lebih adil dan saksama.

Sdr Anwar Ibrahim,

Dengan sumpah keramat yang saya lafaskan saya akan tetap bersama sdr dalam memperjuangkan reformasi ini tanpa mengira risikonya.

LAWAN TETAP LAWAN