Make your own free website on Tripod.com


KAMI TELAH DIMINTA MENYIARKAN EMAIL BERIKUT.MOGA MOGA ADALAH PA DR MAHATHIR YANG MEMBACANYA DAN MENYAMPAIKANNYA PADA DR MAHATHIR DAN SEKIRANYA TIDAK IA TETAP AKAN MENJADI SATU BUKTI DALAM SEJARAH PENENTANG RAKYAT TERHADAP BELIAU

From: "umar faruq" <umar_faruq@hotmail.com>  
To: hh_98@hotmail.com
Subject: surat terbuka
Date: Sun, 13 Dec 1998 15:19:05 PST
Reply Reply All Forward Delete Previous Next Close
Saudara,

Saya tak pernah tulis-tulis surat terbuka ni. Tapi sekali ni saya kena 
tulis. Nampak sangat keadilan ditolak tepi. Takkan nak diam! Tapi saya 
tulis dengan bahasa yang elok. Ya lah sebagai seorang Islam kita patut 
guna kata-kata yang baik, walaupun menegur orang yang zalim. Tak macam 
homepage anti-reformasi yang saya lawati…. bahasa kesat, mencarut…. Ya 
Rabbi!!!

Harap dapat siarkan surat di bawah.



SURAT TERBUKA


YAB Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad
Perdana Menteri Malaysia

YAB Dato' Seri,

Assalaamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan. Terlebih dahulu 
ingin saya memperkenalkan diri saya kepada YAB Dato' Seri. Saya adalah 
seorang profesional yang bertugas di Kuala Lumpur. Selang beberapa bulan 
lagi saya akan menimang cahaya mata saya yang pertama. Saya telah 
menuntut ilmu di dalam dan di luar negara. Saya telah dibesarkan dengan 
didikan agama yang cukup (tetapi tidaklah sehingga boleh menjadi lancar 
sebagai khatib di masjid pada hari Jumaat!). Oleh itu saya bukanlah 
orang yang mengikut perasaan semata-mata - saya tahu membezakan antara 
yang benar dengan yang salah, antara yang baik dengan yang buruk, antara 
yang rasional dengan yang dogeng.

YAB Dato' Seri, saya akui yang YAB Dato' Seri telah banyak berjasa 
kepada Malaysia. Umum mengetahui bahawa YAB Dato' Seri memang seorang 
yang berpandangan jauh dan mempunyai wawasan. Pendek kata, YAB Dato' 
Seri memang seorang pemimpin yang bijak dan berkaliber. Tiada siapa yang 
boleh menafikannya. Ya lah, YAB Dato' Seri telah mengilhamkan kereta 
nasional, membangunkan ekonomi, mendirikan infrastruktur dll. Adalah 
tidak rasional jika saya atau sesiapa pun menafikan semua itu!

Namun YAB Dato' Seri, saya amat-amat kesal dengan tindakan YAB Dato' 
Seri beberapa bulan kebelakangan ini. Akibat dari tindakan YAB Dato' 
Seri itu segala budi baik YAB Dato' Seri sepanjang 17 tahun lalu 
seolah-olah sudah tenggelam! YAB Dato' Seri, kenapa Dato' Seri Anwar 
dihukum sebelum dibicarakan? YAB Dato' Seri, kalau alasannya ialah 
kerana Dato' Seri Anwar sedikit sahaja lagi akan jadi PM, maka dia harus 
disingkirkan segera, itu bukan alasan yang munasabah. Undang-undang 
tidak membezakan antara yang kaya dengan yang miskin, yang tua atau yang 
muda, yang bakal jadi PM (atau yang telah jadi PM) dengan orang biasa! 
Rahim Thamby Chik bagaimana? Muhammad Taib bagaimana? YAB Dato' Seri 
sendiri yang cakap 'innocent until proven guilty'. Habis dalam kes Dato' 
Seri Anwar, kenapa ungkapan itu tidak digunakan? YAB Dato' Seri, adalah 
bertentangan dengan 'principles of natural justice' apabila Dato' Seri 
Anwar dipecat dari serba-serbi jawatan (termasuk dari menjadi ahli UMNO) 
hanya kerana pendapat/kepercayaan satu orang, iaitu YAB Dato' Seri 
sendiri. Seolah-olah YAB Dato' Seri, dengan kuasa yang ada, boleh 
memutuskan segala-galanya. Bukankah itu perbuatan bahaya? Ia seolah-olah 
mengajar kepada rakyat Malaysia bahawa jika seseorang itu berkuasa, dia 
boleh membuat keputusan apa saja tanpa merujuk kepada proses-proses yang 
ada! Kalau begitu apa gunanya mahkamah? Adakah ianya digunakan sebagai 
'rubber stamp' untuk keputusan orang-orang yang berkuasa? YAB Dato' 
Seri, tidak ingatkah kepada slogan 'Kepimpinan Melalui Teladan'!? Saya 
tak sanggup membesarkan anak yang bakal saya sambut dalam masyarakat 
yang menggunakan kuasa dengan sewenang-wenangnya! 

Isunya ialah tentang kebenaran dan keadilan. Saya telah dibesarkan dalam 
suasana keluarga yang tahu menghormati agama, meskipun kami bukanlah 
dari keturunan ulamak-ulamak ataupun tuan-tuan guru. Seringkali saya 
terbaca tentang bagaimana keadilan itu ditegakkan di zaman Rasulullah 
SAW (maaf, saya bukan ingin berceramah, tapi saya perlu tuliskan di 
sini). Begitu juga, saya mengamati kisah hidup pemimpin-pemimpin besar 
yang lain, seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan tak kurang juga 
manusia seperti Abraham Lincoln dan lain-lain. Mereka mendapat tempat di 
dalam sejarah dunia kerana sifat mereka yang berani untuk menegakkan 
kebenaran dan menjauhi dari perkara-perkara yang buruk dan bertentangan 
dengan rasional manusia ataupun 'common sense'. Maaf jika saya katakan 
bahawa setakat ini YAB Dato' Seri tidak akan dinilai sebagai tergolong 
dalam mana-mana golongan pemimpin yang dihormati kerana sifat-sifat 
baiknya. Ini kerana tindakan YAB Dato' Seri yang melampau sejak beberapa 
bulan kebelakangan ini. Memang juga YAB Dato' Seri pernah berkata bahawa 
YAB Dato' Seri tidak mau dikenang sebagai 'Darling of the West' ataupun 
mendapat apa-apa pujian dari mana-mana orang asing. Tapi saya tahu 
bahawa sebagai seorang pemimpin, YAB Dato' Seri memang mahu 
sekurang-kurangnya YAB Dato' Seri dikenang oleh rakyat Malaysia dengan 
kenangan yang baik-baik. Maaf sekali lagi, ini juga suatu yang agak 
mustahil sekarang akibat tindakan YAB Dato' Seri sendiri! 

Tahukah YAB Dato' Seri bahawa Mat Saleh di London telah mentertawakan 
YAB Dato' Seri apabila YAB Dato' Seri menyatakan bahawa kemungkinan 
Dato' Seri Anwar mencederakan dirinya sendiri (mata lebam) untuk 
mendapatkan simpati? Saya rasa malu bercampur marah apabila terdengar 
Mat Saleh mentertawakan pemimpin Malaysia. Tapi saya sedar YAB Dato' 
Seri sendiri yang memalukan diri YAB Dato' Seri… dan Malaysia!

YAB Dato' Seri, sememangnya saya tidak tahu sama ada Dato' Seri Anwar 
melakukan perbuatan-perbuatan terkutuk dan tidak bermoral tersebut 
ataupun tidak (saya tak kata Dato' Seri Anwar itu bebas dari dosa), 
tetapi sebagai seorang Islam, dan sebagai seorang profesional yang 
mempelajari undang-undang di universiti dulu, adalah menjadi satu 
'insult' kepada Islam dan kepada ilmu yang telah saya pelajari jika saya 
meng 'ya' kan perbuatan terkutuk dan tidak bermoral yang YAB Dato' Seri 
sendiri telah terang-terang lakukan kepada Dato' Seri Anwar. Seseorang 
itu adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah yang 
bebas. Kalaupun Dato' Seri Anwar itu kepala penyamun sekalipun, 'he must 
be tried according to the due process of the law'!Selepas dibuktikan 
bersalah dengan bukti-bukti yang kukuh (dan bukan dibuat-buat) barulah 
seseorang itu dihukum dengan hukuman yang setimpal. Apakah dengan 
tindakan YAB Dato' Seri memecat Dato' Seri Anwar itu YAB Dato' Seri 
sebenarnya ingin menyampaikan mesej kepada saya dan rakan-rakan saya 
yang lain bahawa masa yang kami luangkan serta wang yang telah 
dibelanjakan oleh pihak MARA/JPA/PETRONAS untuk membiayai pendidikan 
kami di institusi pengajian tinggi itu membazir sahaja kerana segala 
prinsip asas keadilan sebenarnya tertakluk kepada siapa yang berkuasa 
dan bukan kepada proses keadilan sebagaimana yang telah kami pelajari? 
YAB Dato' Seri pernah berkata bahawa dunia sekarang ini terletak di 
tangan mereka yang mempunyai kuasa - ekonomi, ketenteraan dll. "Might is 
Right" kata YAB Dato' Seri, cuba memperli Barat, tapi kini slogan itu 
dipakai oleh YAB Dato' Seri sendiri!

YAB Dato' Seri, tak perlu saya ulas satu persatu tentang apa yang telah 
berlaku - sama ada isunya tentang Dato' Seri Anwar, tentang nepotism, 
tentang kronism ataupun tentang politik kotor. Cukuplah dengan 
rakan-rakan saya, rakyat Malaysia yang lain, yang telah dengan beraninya 
menyuarakan pendapat mereka sepanjang beberapa bulan ini. Kami juga 
tahu, kami sebenarnya tidak akan dapat 'melaungkan' suara kami di dalam 
media-media di Malaysia, itulah sebabnya kami menggunakan internet. Dan 
kami seringkali tidak dapat menggunakan nama-nama sebenar kami, kerana 
pihak-pihak yang menyalahgunakan kuasa pastinya akan bertindak untuk 
mencari dan menangkap kami. YAB Dato' Seri, sedarlah bawa saya dan ramai 
lagi rakyat sebenarnya amat kecewa dengan tindakan YAB Dato' Seri 
kebelakangan ini, dan tak sabar-sabar lagi menunggu pilihanraya untuk 
menunjukkan kepada YAB Dato' Seri bawa kami memang tidak mahukan YAB 
Dato' Seri lagi sebagai pemimpin kami dalam kerajaan! YAB Dato' Seri 
kata demonstrasi itu tidak baik, sebab rakyat boleh tunjukkan 
ketidakpuasan hati mereka melalui pilihanraya. Maka rakyat telah pun 
meminta agar diadakan pilihanraya. Tapi YAB Dato' Seri jawab bahawa YAB 
Dato' Seri tidak akan tunduk kepada permintaan-permintaan sedemikian. 
Habis, macam mana lagi rakyat nak tunjukkan apa yang terbuku di hati 
mereka kalau tak berdemonstrasi, menulis risalah-risalah dan memenuhkan 
ruangan dalam internet? Nak tulis ke akhbar pun tak diterbitkan, nak 
tunggu pilihanraya pun jauh lagi! YAB Dato' Seri, if this whole thing 
didn't happen, I would have voted for BN in the coming elections. But 
now, all I can say is that you've  just lost my vote!

YAB Dato' Seri, saya tidak mahu membesarkan anak yang bakal saya timang 
dalam keadaan yang menakutkan ini. Nampaknya siapa yang berkuasa, dialah 
yang benar. Yang lemah ditindas. Itulah sebabnya rakyat perlu bertindak, 
sebelum kezaliman menjadi satu kelaziman dalam masyarakat. Sewaktu kecil 
saya sering membaca kisah-kisah teladan berkenaan dengan pemerintah yang 
menzalimi rakyat yang akhirnya ditewaskan oleh orang-orang yang adil 
lagi saksama. Saya tak sangka orang zalim dan kuncu-kuncunya kini 
'hidup' diluar buku cerita tersebut di Malaysia! Maka dengan itu saya 
berdoa agar 'orang-orang yang adil lagi saksama' akan membawa kemenangan 
kepada rakyat yang tertindas!

Percayalah YAB Dato' Seri, bahawa selagi nafas saya masih ada, selagi 
lidah saya boleh bertutur, selagi akal saya masih waras dan selagi 
tenaga saya masih ada, saya akan khabarkan tentang apa yang telah 
berlaku dalam perjuangan untuk menegakkan hak dan menghindarkan yang 
bathil kepada anak-anak saya, dan jika dipanjangkan umur, kepada 
anak-anak mereka juga, agar mereka semua tahu apa itu erti keadilan, 
kebenaran, kebebasan dan perjuangan untuk menegakkannya. Saya akan 
pastikan bahawa mereka semua tahu siapakah  YAB Dato' Seri yang 
sebenarnya dan akan saya khabarkan juga bagaimana YAB Dato' Seri, 
seorang pemimpin yang pada mulanya amat-amat disegani sekalian rakyat 
kerana jasa-jasanya, telah melakukan perbuatan-perbuatan terkutuk yang 
akhirnya telah membuatkan sekalian rakyat amat-amat segan untuk mengakui 
YAB Dato' Seri sebagai pemimpin mereka. Saya akan pastikan orang tidak 
lupa pada apa yang YAB Dato' Seri telah lakukan, dan apabila nama YAB 
Dato' Seri disebut-sebut dua atau tiga puluh tahun dari sekarang oleh 
generasi muda waktu itu, percayalah, saya akan terangkan kepada mereka 
siapa YAB Dato' Seri sebenarnya!

Sehingga dilain masa YAB Dato' Seri.

Wassalaamualaikum.


______________________________________________________
Reply Reply All Forward Delete Previous Next Close