KOMENTAR DIMINTA MENYALURKAN TULISAN INI TANPA OLAHAN

Komentar 15/2/2000

(setelah melihat artikel-artikel Komentar)

Saya terpanggil untuk menulis artikel ini kerana membaca pendedahan Sdr dalam Laman Sdr. Bahan yang disajikan khususnya untuk Kuala Lumpur dan Wangsa Maju membuat saya mahu menulis. Saya adalah antara mereka yang mengelar Kumpulan kami sebagai Reformasi Kecil Wangsa Maju. Sdr boleh ingat tak artikel yang sdr siarkan dahulu dalam arkib. Kini Kumpulan kami menjerumus kepada Parti Keadilan Nasional dan kini saya berdepan dengan 2 musuh, kerajaan yang zalim yakni Barisan Nasional dan Parti yang mempunyai beberapa kepimpinan yang sama zalim.

Nukilan Reformis Wangsa Maju.

Reformis Sdr Nasir Husin,

Perjuangan itu menuntut keberanian mu, perjuangan itu menuntut pengorbanan mu, perjuangan itu menuntut segala-galanya dari hidup yang dahulu harmoni. Kamu telah laungkan, kamu telah banjirkan Kuala Lumpur dengan nada lantang kamu lantas membangkitkan semangat juang kami. Kamu antara mereka yang berjuang untuk menjahamankan sistem kejam yang penuh kezaliman. Kamu antara mereka yang cuba membela Sdr Anwar Ibrahim. Kamu sambut perjuangan Sdr Anwar Ibrahim tanpa takut pada risikonya, tanpa memikirkan keluarga kamu, tanpa memperdulikan keselamtan diri. Kamu bangkit dan kamu tentang bersama reformis lain dengan semangat LAWAN TETAP LAWAN. Kamu sambut motto perjuangan Sdr Anwar Ibrahim "kalau takut menanggung risiko jangan bicara tentang perjuangan".

Lalu pada hari malang itu kamu di campakkan dalam penjara mengikuti Akta Kejam Dunia yang menjadi senjata bagi kerajaan. Akta ISA yang menyebabkan perjuangan itu menuntut titisan darah kamu. Akta itu yang di sahut dengan kezaliman polis. Darah kamu menitis setiap kali kamu enggan membantu mereka untuk mendustai perjuangan Sdr Anwar Ibrahim. Sebatan-sebatan menghiris kulit,mengoyakkan daging,dan mencalar hidup kamu sehingga kesaat ini. Bibir yang kini membusut diwarnakan biru kehitaman tanda perjuangan. Kamu tetap tidak mahu berganjak dari memperjuangkan keadilan dan pembebesan Sdr Anwar Ibrahim. Sdr Fadhil, Sdr Lokman, Sdr Malik Hussien dan beberapa mereka digigit kehidupannya dan tercatat seumur hidup dalam lipatan sejarah hidup kamu. Walauapapun REFORMASI adalah tuntutan kamu dan pembebasan Sdr Anwar pengukur kemenangan perjuangan ini. Darah yang membasahi malam semalam belum diubati dan hari ini ianya perlu dicederakan lagi. Lebam dipipi ditambahi dari hari kehari selama hampir 1 bulan kamu menuntut dalam ISA. Celaka hari-hari itu. Celaka kepada mereka yang tidak tahu nilai kemanusian. Celaka kepada mereka yang menganggap kamu sebagai manusia khianat bersama rakan kamu dan Sdr Anwar Ibrahim. Celaka kepada sistem perundangan yang telah dijahamankan oleh kerajaan ini. Inilah tidak pernah menjadi ukuran untuk kamu banggakan. Ini tidak pernah jadi bahan untuk kamu laungkan. Kerana pada kamu pujian bukan menjadi matlamat tetapi perjuangan menuntut keadilan dan pembebasan Sdr Anwar Ibrahim menjadi hasrat.

Sekarang kamu berjuang dengan tuntutan demokrasi. Sekarang kamu lalui wadah perjuangan berlandaskan Parti Keadilan Nasional. Kamu tetap berusaha dan berjuang. Kini kamu pula dihumban sebagaimana Sdr Anwar dikhianati. Kamu dihumban dengan keji. Tiada langsung pembelaan dari mereka yang kononnya pejuang dalam parti. Mereka yang hanya mahu menambahkan kekuasaan dan meningkatkan pengaruh. Mereka mengelarkan diri mereka pejuang tetapi mereka memperjuangkan agenda mereka sendiri. Mereka adalah politikus yang memainkan politik hina untuk tempat dan pengaruh.

Perjuangan yang selama ini kamu sambut nampak hambar akibat pengkhianatan yang dilakukan keatas kamu. Mereka kini tidak langsung nampak kehadiran kamu dalam perjuangan ini. Mereka hanya mahu kamu berlalu pergi. Andai ini yang ada dalam parti itu syukur pada Allah kerana semua ini berlaku sekarang sebelum ianya lebih hina diperlakukan mereka.

Saudara,

Nampaknya Datin Presiden juga tidak mampu membuat sebarang pembelaan. Nampaknya rakan-rakan kamu turut sertai mereka berpolitik. Jelas mereka lupa semangat setia kawan semasa kamu dijalanraya dan mereka bersembunyi entah dimana. Jelas mereka hilang apabila kamu disumbat kedalam ISA.

Biarlah, kalau mereka yakin tanpa reformis mampu mengorat perubahan maka lakukanlah. Rakyat hakim kita dan rakyat perlu tahu. Maka disini saya selaku mereka yang nampak,melihat dan merasa akan tetap menyanjungi perjuangan kamu biar mereka tidak.

Saya sendiri sedar kini erti perjuangan ini. Saya sendiri lihat apakah perjuangan mereka. Saya sendiri merasai susah senang perjuangan ini. Namun saya yakin kita tidak pernah menyesal. Kita tidak sesal atas perjuangan lalu.

Sdr ,

Mereka, rakyat tahu. Mereka pasti akan disedarkan kerana perkara buruk akan terbongkar juga kelak. Terpulanglah sdr, perjuangan ini kini lebih kritikal lagi. Kalau dahulu kita hanya ada satu musuh kini kita ada dua laluan dalam menyemarakkan kebenaran yang perlu ada di negara kita ini. Yang pasti sdr sebagaimana yang pernah dimaklumkan oleh Web Master laman ini:

Hilang mereka tidak dicari, pergi mereka tak siapa merindui. NASIB REFORMIS KITA

TUAH YANG DIKHIANATI