MAHATHIR DIJANGKA LETAK JAWATAN?

 

Komentar 29hb April 1999

 

Berwawanca dengan Ketua Reformasi Kecil Wangsa Maju membuka minda kami kepada beberapa persoalan strategi dalam UMNO yang mungkin diambil untuk meningkatkan kebolehan UMNO untuk terus memegang teraju kepimpinan dalam negara kita ini. Beberapa langkah kemungkinan diambil oleh UMNO sebagai langkah terakhir untuk meningkatkan keupayaan bersaing mereka.

Dalam wawancara tersebut satu persoalan menarik dikemukakan oleh Ketua Reformasi tersebut kepada kami yang sehingga ini bermain diminda kami dengan pelbagai implikasi tanpa sebarang jawapan konkrit.

UMNO mahu tidak mahu harus menyedari bahawa kemelut politik yang ada dalam masyarakat kita dewasa ini akan menyukarkan mereka dalam menghadapi pilihanraya yang akan datang. Sokongan yang kian bertambah serta penentangan terhadap UMNO dapat dirasakan dan ini merisaukan UMNO. Kerajaan Alternatif yakni Barisan Pembangkang kian hari kian bertambah kekuatannya dan kelewatan pilihanraya akan hanya memberi peluang Parti KeADILan Nasional untuk memantapkan parti mereka. Harus apakah tindakan UMNO sekarang? Pilihanraya harus dijalankan secepat mungkin untuk tidak memberi peluang Barisan Pembangkang memantapkan Barisan mereka atau tetap menjalankan kegiatan memecah belahkan pembangkang dan sekiranya keyakinan diperolehi maka baru pilihanraya dijalankan. Apa langkah mereka?

Kami di Komentar percaya bahawa UMNO akan mengambil alternatif mempercepatkan pilihanraya untuk menghalang kemantapan Barisan Pembangkang. Mempercepatkan pilihanraya akan mengurangkan peluang PKN untuk memperkemaskan jentera pilihanraya dan musuh UMNO cuma tinggal PAS, DAP dan PRM. Sungguhpun UMNO tahu para penyokong PKN ini akan juga menyokong parti alternatif lain tetapi berdepan dengan PAS, akan menyenangkan fokus mereka kerana penentangan dengan PAS akan cuma melibatkan pengundian kaum melayu berbanding dengan berdepan dengan PKN yang melibatkan lebih dari hanya "all malays affair". Sekiranya UMNO memperlewatkan pilihanraya maka ini memberi peluang PKN mengembangkan sayap perjuangan mereka melangkaui batasan kaum melayu. Ini akan menyukarkan UMNO dalam menghadapi pilihanraya. Kita semestinya tahu UMNO tidak akan memberi laluan mudah. Kita tahu jenteranya telah mula berfikir dan mula bergerak. Sesudah semua jentera digerakkan dan sekiranya pilihanraya dijalankan lebih awal dari di jangka tetapi UMNO masih melihat rakyat tetap memberikan sokongan kepada Pembangkang apakah alternatif terakhir mereka?

Apakah kemungkinan alternatif mereka adalah perletakkan jawatan Dr Mahathir di saat akhir menjelang pilihanraya? Kemungkinan ini tidak dapat di tolak. UMNO mampu melakukannya dan Mahathir akan bersetuju demi untuk mengelakkan kuasa ditangan Parti Pembangkang. Apakah implikasi perletakkan beliau. Adakah golongan UMNO yang dahulu berhijrah ke PAS dan PKN akan pulang kepangkuan UMNO setelah Mahathir meletak jawatan?. Apakah apabila Pak Lah mengajak semula ahli UMNO kembali dengan perletakkan jawatan Dr Mahathir maka ahli UMNO tersebut akan mengikutinya.? Ini tidak mustahil dilakukan sebagai langkah terakhir mengajak rakyat kembali bersatu dalam UMNO. Mungkinkah rakyat akan terima? Mungkinkah perjuangan reformasi ini akan terbantut. Apakh keseluruhan rakyat sedar bahawa penentang bukan sahaja pada Mahathir malah mereka yang berkompromi dengan Mahathir dan ini melibatkan keseluruhan anggota kanan UMNO? Apakah kita menuntut reformasi dalam UMNO atau sistem pentadbiran keseluruhan?