Make your own free website on Tripod.com
 

Surat susulan Ummi Hafilda
kepada Dr M bertarikh 18 Ogos 1997       ARTICLE SETERUS NYA SURAT BAPA UMMI

Yang Amat Berhormat,
Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad,
Perdana Menteri Malaysia,
Jabatan Perdana Menteri,
Kuala Lumpur

 PENGAKUAN UMMI HAFILDA ALI BERHUBUNG
SALAHLAKU TIMBALAN PERDANA MENTERI

 Dengan segala hormatnya, merujuk kepada perkara di atas, saya ingin menjelaskan laporan khas yang telah saya kemukakan kepada Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri pada 5 Ogos 1997.

 Untuk maklumat YAB, sebab utama saya mengirimkan laporan itu ialah untuk mendapatkan pertimbangan dan tindakan YAB ke atas salah laku Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang saya percaya mempunyai hubungan sulit dengan Puan Shamsidar Taharin, isteri Setiausaha Sulitnya sendiri, Mohamed Azmin bin Ali yang juga abang saya.

 Selain itu, saya percaya Datuk Seri Anwar Ibrahim menjalin hubungan homoseksual dengan bekas pemandunya, Azizan Abu Bakar.

 Pendirian dan pandangan saya pada masa itu berdasarkan maklumat yang saya terima berhubung tindak tanduk Puan Shamsidar di mana beliau sering menerima panggilan misteri daripada seseorang setiap kali saya melawatnya.

 Pandangan saya diperkuatkan oleh pendedahan pembantu rumah Shamsidar, Aton, yang mengesahkan bahawa Puan Shamsidar mempunyai seorang kekasih dengan orang atasan.

 Saya yakin daripada penyiasatan ringkas bahawa pemanggil itu ialah YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim. Selain itu pemandu Shamsidar, Azmin, telah memberi maklumat lengkap modus operandi perbuatan keji mereka yakni Anwar-Shamsidar di kondominium mewah, Trivoli Villa Bangsar.

 Saya telah menjalankan penyiasatan pada 30 Jun 1997 yang membuktikan bahawa Shamsidar telah dibawa naik kereta mewah Daimier WBV 37 menuju ke Trivoli Villa untuk bertemu dengan orang Datuk Seri Anwar.

 Ini menyakinkan saya bahawa mereka ada hubungan sulit. Saya telah membincangkannya dengan teman rapat saya, Zeila Jalil, dan Dr Ristina Majid.

 Datuk Megat Junid kemudian membawa perkara itu kepada Tun Daim Zainuddin, kerana dia rapat dengan Perdana Menteri.

 Menyusuli laporan itu, satu pertemuan telah diadakan di pejabat Tun Daim Zainuddin pada awal Ogos antara dia, saya dan Zeila.

 Dalam mesyuarat itu, beliau menasihati saya supaya mengemukakan laporan bertulis kepada Perdana Menteri. Pada masa yang sama, Dr Ristina Majid mengaturkan pertemuan dengan Datuk Aziz Shamsuddin, setiausaha politik Perdana Menteri.

 Datuk Aziz Shamsuddin kemudian memperkenalkan kami kepada dua pegawai daripada unit SB di Jabatan Perdana Menteri, iaitu Taib yang dipecat pada 1993 dan Tan yang pengenalannya tidak saya pasti.

 Dalam pertemuan itu, perbincangan kami telah dirakam. Pada masa yang sama, saya telah dimaklumkan bahawa aduan saya akan dikemukakan kepada Perdana Menteri secepat mungkin.

 Sewaktu pertemuan itu, mereka berjanji akan memelihara keselamatan kami berdua. Sebelum itu Taib yang mengaku daripada SB, menasihati kami agar menyatakan kami berada di luar negeri apabila menerima sebarang panggilan.

 Bagaimanapun, daripada siasatan susulan, saya dapati kebanyakan perkara yang dibangkitkan berdasarkan kepada fakta tidak penuh, sementara kebanyakan pandangan dibangkitkan ialah andaian dan imaginasi yang tidak boleh digunakan untuk membuktikan tuduhan saya.

 Proses menghantar surat itu ialah salah kerana terdapat banyak orang tengah, yang kejujurannya boleh dipersoalkan. Ini mungkin didorong oleh kepentingan politik atau peribadi.

 Terdapat bukti kedua pegawai SB itu sebenarnya telah menyamar.

 YAB, saya kini cuba menjernihkan keadaan dengan cuba mendapatkan kembali semua salinan yang disimpan oleh rakan-rakan untuk menghentikan pengedarannya.

 YAB, oleh kerana terdapat anggota keluarga saya yang terlibat, saya merayu supaya YAB dapat menjernihkan keadaan kerana ada pihak yang percaya saya melakukannya untuk memfitnah, tetapi saya melakukannya kerana ingin membetulkan keadaan.

 YAB, bagi pihak keluarga saya, saya meminta maaf jika laporan ini menyebabkan kekeliruan.

 Kerjasama dan pertimbangan YAB menangani masalah ini amat dihargai.

 Yang Benar, Ummi Hafilda Ali.